- Berita
- EV
- Gentari Rancang Kerjasama Dengan Mercedes-Benz Malaysia – Sedia Pengecas DC, Pelan Langganan
Gentari Rancang Kerjasama Dengan Mercedes-Benz Malaysia – Sedia Pengecas DC, Pelan Langganan
Gentari Green Mobility, yang kini mengendalikan 79 pengecas DC di sembilan negeri termasuk Wilayah Persekutuan kini sedang aktif memperluaskan rangkaiannya di serata Asia Pasifik
Penyedia penyelesaian tenaga bersih, Gentari Sdn Bhd (Gentari), merancang untuk menjalinkan kerjasama dengan Mercedes-Benz Malaysia (MBM) melalui anak syarikatnya, Gentari Green Mobility Sdn Bhd, dengan tujuan mempercepat peralihan kepada kenderaan elektrik (EV) di negara ini.
Melalui kolaborasi ini, kedua-dua syarikat akan bekerjasama meneroka potensi pembangunan infrastruktur pengecasan EV dan perkhidmatan tambahan seperti pelan langganan pengecasan yang dirangka khas, yang akan meningkatkan pengalaman pemilik EV Mercedes-Benz.
Gentari Green Mobility, yang kini mengendalikan 79 pengecas DC di sembilan negeri, sedang memperluaskan rangkaiannya di Asia Pasifik. Dalam usaha ini, Gentari juga akan bekerjasama dengan EV Connection Sdn Bhd (EVC) dalam operasi pemasangan titik pengecasan di lokasi-lokasi strategik terpilih di seluruh Malaysia.
Pengecas EV yang disediakan Gentari
Timbalan Ketua Eksekutif Gentari & Ketua Pegawai Eksekutif Gentari Green Mobility Sdn Bhd, Shah Yang Razalli, berkata, "Gentari berbesar hati untuk memperluaskan hubungan dengan rakan memiliki matlamat yang sama seperti Mercedes-Benz Malaysia. Kami faham bahawa memberikan keyakinan perjalanan jarak jauh adalah penting untuk pemandu EV. Oleh itu, sebagai pengendali rangkaian DC terbesar di negara ini, Gentari komited untuk terus membina pengecas bertenaga tinggi dan menubuhkan jaringan di seluruh negeri Malaysia, ini secara tidak langsung akan menyumbang kepada peningkatan penerimaan EV dan peralihan kepada mobiliti elektrik."
Model elektrik yang baru dilancarkan, Mercedes-Benz EQE 500 4Matic SUV, ditawarkan pada harga bermula dari RM485,888
Ketua Pegawai Eksekutif & Presiden Mercedes-Benz Cars Malaysia, Amanda Zhang, menyatakan bahawa pihaknya gembira untuk meneruskan kerjasama dengan Gentari bagi menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik di Malaysia. Tambah beliau, kerjasama ini merupakan langkah penting ke arah mobiliti lestari di Malaysia, selaras dengan visi Electric Only syarikat.
Pengarah Urusan EV Connection Sdn Bhd (EVC), Ir Lee Yuen How, turut berkongsi pandangan positif terhadap kolaborasi ini. Menurutnya, peralihan kepada EV memerlukan usaha bersama dari pihak berkepentingan, dan kerjasama ini menunjukkan komitmen Mercedes-Benz Malaysia dan Gentari untuk membawa negara ke arah masa depan yang bersih dan mampan.
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv