- Berita
- Gaya Hidup
- Porsche Malaysia Realisasikan Impian Bersama Pelukis Istimewa, Krithin Paul Pereira
Porsche Malaysia Realisasikan Impian Bersama Pelukis Istimewa, Krithin Paul Pereira
Walaupun menghadapi penyakit cerebral palsy, Krithin Paul Pereira adalah seorang pengkarya, pereka dan jurutera yang memberi motivasi kepada orang di sekelilingnya kerana mempamerkan semangat yang teguh serta minat mendalam terhadap kereta sport yang membawanya terbang jauh.
Baru-baru ini, Krithin telah bekerjasama dengan Porsche Malaysia untuk menyumbangkan dana kepada organisasi yang istimewa di hatinya.
Organisasi tersebut ialah Amirs Therapy Gym, sebuah pusat pemulihan dan fisioterapi yang telah banyak membantu meningkatkan kemampuan pergerakan Krithin.
Mengulas mengenai pemilihan organisasi pemulihan tersebut sebagai penerima sumbangan, Krithin Paul Pereira berkata, "Saya ingin berterima kasih kepada pasukan Porsche Malaysia atas peluang ini. Amirs Therapy Gym mempunyai tempat istimewa di hati saya, kerana mereka membantu saya membina kekuatan fizikal dan mental."
"Walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran dalam kehidupan, saya sentiasa memberitahu diri bahawa saya boleh melakukannya kerana impian saya tiada batasnya, dan saya juga ingin membantu orang lain merealisasikan impian mereka," katanya.
Bagi menyokong organisasi tersebut, Krithin telah menghasilkan baju t-shirt eksklusif yang memaparkan Cayenne baharu hasil lukisan tangan Krithin.
Sebelum ini, Krithin pernah dijemput oleh Porsche Malaysia untuk menghadiri majlis pembukaan kilang Porsche yang pertama di luar Eropah yang bertempat di Kulim, Kedah. Salah satu lukisan tangan Krithin yang menunjukkan Porsche Cayenne telah dipamerkan di sini.
Selain itu, Krithin juga pernah dijemput oleh Porsche AG ke ibu pejabatnya di Stuttgard, Jerman. Di sini, Krithin berpeluang untuk bertemu dengan pereka-pereka kereta Porsche dan merasai pengalaman memandu 911 GT3 di Hockenheimring.
"Sejak mengenali Krithin, beliau telah memberi inspirasi kepada kami dalam banyak cara. Kami gembira kerana beliau bersama-sama kami untuk pelancaran Cayenne baharu di Malaysia, dan sekarang, kami bersemangat untuk meneruskan perjalanan kerjasama ini untuk membantu lebih ramai individu dengan impian," ujar Christopher Hunter, Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Auto Performance, yang mewakili Porsche Malaysia.
"Kami sangat terharu melihat pencapaian Krithin, beliau telah menempuh perjalanan yang jauh. Kami gembira kerana dapat membantu perkembangan beliau dan kami bersyukur atas sokongan Porsche Malaysia untuk merealisasikan impian," kata Fezia Tyebally, salah seorang pengasas Amirs Therapy Gym.
Kisah Krithin dapat dijadikan inspirasi kepada orang ramai agar tidak berhenti mengejar impian walau apa pun cabaran yang terpaksa ditempuhi, kerana impian tiada batasnya.
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv