- Berita
- EV
- ACO Tech, Geno, MARii Berkolaborasi Teroka Teknologi Blockchain Untuk Ekosistem EV
ACO Tech, Geno, MARii Berkolaborasi Teroka Teknologi Blockchain Untuk Ekosistem EV
Kiri - Kanan: CEO ACO Tech, Li Pu, CEO MARii, Azrul Reza Aziz dan CEO Geno, Zhang Yi Ian semasa majlis penandatanganan MoC
Penyedia mobiliti pintar ACO Tech telah menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) dengan Geno dan Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii). Kerjasama ini menyaksikan ketiga-tiga organisasi bergabung tenaga dalam penerokaan penyelesaian blockchain untuk infrastruktur kenderaan elektrik (EV) tempatan di Malaysia.
Hadir semasa majlis penandatanganan MoC ini ialah Ketua Eksekutif ACO Tech, Li Pu, Ketua Eksekutif MARii, Azrul Reza Aziz dan Ketua Eksekutif Geno, Zhang Yi Ian.
Perjanjian ini selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), serta Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang ditetapkan oleh kerajaan, yang menyasarkan untuk mencapai 20% Kenderaan Elektrik (xEV) menjelang tahun 2030, 50% menjelang 2040 dan 80% menjelang 2050.
Melalui kerjasama ini, ACO Tech, Geno dan MARii akan meneroka penggunaan kontrak pintar, pengurusan jejak digital rantaian bekalan, penyelesaian tokenomics, serta teknologi perlindungan privasi. Tujuannya adalah untuk melengkapkan penyelesaian ACO Tech bagi Platform Perkhidmatan E-Mobiliti (E-MSP).
Menurut ACO Tech, teknologi blockchain dapat memudahkan banyak pihak termasuk pengeluar EV, penyedia perkhidmatan dan pemilik kenderaan.
Kolaborasi ini diadakan dengan tujuan untuk mengurangkan keraguan orang ramai untuk beralih kepada EV seperti isu kekurangan stesen pengecasan dan kadar pengecasan yang tidak konsisten. Penggunaan teknologi blockchain dapat memperkasa pengeluar EV, pembekal perkhidmatan dan pengguna untuk terlibat secara interaktif melalui sistem lejar tidak berpusat kalis gangguan.
Sistem yang akan diperkenalkan itu nanti dapat mengurangkan kos dan meningkatkan dan keyakinan pengguna, serta membentuk rekod penjejakan dan penyelenggaran yang lebih lancar.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ACO Tech Li Pu berkata kerjasama ini merupakan langkah ke hadapan untuk mempercepatkan pembangunan ekosistem EV yang komprehensif dan kondusif di Malaysia, dengan tumpuan kepada aspek keselamatan.
Ketua Pegawai Eksekutif MARii, Azrul Reza berkata, "Ini merupakan langkah penting dalam pembentukan masa depan ekosistem EV Malaysia. Penerokaan penyelesaian blockchain tidak hanya dapat menangani cabaran semasa dalam sektor EV tetapi juga membina asas bagi infrastruktur yang selamat dan boleh skala yang selari dengan Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP 2020)."
Sementara itu, Ketua Eksekutif Geno, Zhang Yi Ian pula berkata, "Inisiatif strategik ini bertujuan untuk meningkatkan interaksi dengan pelanggan pengguna akhir, membolehkan interaksi lebih awal, mendalam dan berkekalan.”
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv