- Berita
- Teknologi
- Apple Car Tak Akan Jadi Kenyataan, Digantikan Dengan Projek Baharu...
Apple Car Tak Akan Jadi Kenyataan, Digantikan Dengan Projek Baharu...
Setelah hampir satu dekad projek pembangunan kenderaan elektrik (EV) yang digelar “Project Titan,” dimulakan, Apple telah menghentikan projek tersebut secara serta-merta.
Raksasa teknologi itu dilaporkan telah mengeluarkan notis pemberhentian projek itu semalam dan memindahkan sebahagian kakitangan yang terlibat ke bahagian kecerdasan buatan (AI) Apple.
Menurut Ben Bajarin dari Creative Strategies, perkembangan terbaru Apple ini menandakan bahawa syarikat tersebut kini sedang memberikan tumpuan terhadap pembangunan teknologi AI yang berpotensi dapat menarik pelaburan yang lebih besar. Ini satu peralihan yang besar memandangkan Apple sebelum ini enggan untuk terlibat dalam projek AI, berbeza dengan pesaingnya yang lain seperti Alphabet dan Microsoft.
Projek itu berhadapan dengan pelbagai cabaran sepanjang pembangunan seperti kes kecurian rahsia teknologi tanpa pemandu (swapandu) Apple oleh bekas juruteranya, kehilangan rakan pengeluaran Hyundai, Sir Jony Ive yang meninggalkan syarikat dan isu peletakan jawatan pihak pengurusan.
Sebelum ini, "Project Titan" dilaporkan telah beberapa kali mengubah sasarannya, iaitu daripada penghasilan EV swapandu sepenuhnya kepada swapandu Tahap 2+ dengan waktu pelancaran yang kerap ditangguhkan.
Selain itu, permintaan terhadap EV juga semakin berkurang ekoran kenaikan kadar faedah untuk meredakan kadar inflasi. Perkara ini menyebabkan ramai pekerja dihentikan dan pengeluaran dikurangkan dalam sektor EV.
Mengulas mengenai penamatan "Project Titan" ini, seorang YouTuber teknologi terkenal di sebalik saluran yang bernama MKBHD, Marques Keith Brownlee berkata, Apple mungkin sedar bahawa mereka tidak perlu mengeluarkan EV untuk berada dalam ekosistem EV, kerana jenama EV sedia ada tidak memiliki kepakaran untuk membangunkan perisian yang baik.
Oleh itu, Apple boleh menjalinkan kerjasama dengan pengeluar-pengeluar EV bagi memperbaik dan melancarkan ekosistem mereka.
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv