- Berita
- EV
- EV Baharu, Hatchback MG4 & SUV MG ZS Dilancarkan Esok, Ini Yang Kita Tahu...
EV Baharu, Hatchback MG4 & SUV MG ZS Dilancarkan Esok, Ini Yang Kita Tahu...
MG Motor Malaysia telah mengesahkan bahawa kedua-dua model MG4 dan ZS EV bakal membuat kemunculan pada 27 Mac ini.
MG Motor Malaysia telah mengumumkan melalui media sosial bahawa tarikh pelancaran rasmi untuk dua model elektrik iaitu MG4 dan MG ZS ialah esok, 27 Mac.
Tempahan bagi kedua-dua model, MG4 dan MG ZS telah dibuka sejak acara previu media khas yang diadakan bulan lalu.
HATCHBACK ELEKTRIK, MG4
Ditawarkan dalam empat varian iaitu MG4 Standard, MG4 Lux, MG4 Lux Extended Range dan varian berprestasi MG4 XPower.
Varian asas, Standard, dikuasakan oleh bateri berkapasiti 51 kWj kepada satu e-motor yang menggerakkan sistem pacuan roda belakang (RWD) kereta. Varian ini boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.5 saat dengan kuasa maksimum 170 ps (125 kW) dan 250 Nm. Varian ini boleh mencapai jarak EV sejauh 350 km (WLTP).
Varian MG4 Lux diberikan bateri berkapasiti lebih tinggi, 64 kWj serta output lebih besar pada 203 ps (150 kW), namun dengan angka tork sama seperti Standard pada 250 Nm. Varian ini mengambil masa lebih panjang untuk melakukan pecutan 0-100 km/j iaitu pada 7.7 saat kerana beratnya lebih tinggi. Varian ini beleh mencapai jarak EV lebih jauh iaitu sehingga 435 km (WLTP).
MG4 Lux Extended Range, menggunakan bateri 77 kWj yang memberikannya output lebih tinggi pada 245 ps (180 kW) dan 350 Nm, serta masa 0-100 km/j lebih pantas, 6.1 saat. Varian ini boleh mencapai jarak EV paling jauh iaitu 520 km (WLTP).
Akhir sekali varian tertinggi, MG4 XPower, menggunakan dua motor elektrik serta sistem pacuan semua roda (AWD) dengan output 435 ps (320 kW) dan 600 Nm, membolehkannya membuat pecutan 0-100 km/j dalam masa sepantas 3.8 saat! Kapasiti bateri yang digunakan adalah sama dengan varian Lux, 64 kWj.
SUV ELEKTRIK, MG ZS
EV kedua yang akan dilancarkan pada hari yang sama ialah MG ZS. SUV ini bakal hadir dalam versi facelift dan ditawarkan dalam satu pilihan spesifikasi. MG ZS dikuasakan oleh motor elektrik tunggal yang dipasang di bahagian hadapan (FWD) dengan output 176 ps dan 280 Nm menggerakkan kenderaan daripada 0-100 km/j dalam masa 8 saat. Model ini menggunakan bateri LFP berkapasiti 51.1 kWj memberikannya jarak EV maksimum 320 km (WLTP).
HARGA TENTATIF
Walaupun tempahan bagi kedua-dua model ini telah pun dibuka, MG Motor Malaysia belum mendedahkan harga jualan. Secara tentatif, MG4 berkemungkinan dijual pada harga kira-kira RM104,000 bagi varian Standard dan sekitar RM169,000 untuk varian XPower.
Sementara itu, MG ZS dijangka akan dijual pada harga RM129,000 menandingi pesaing utamanya dari China, seperti Chery Omoda E5 baharu (RM146,800) dan BYD Atto 3 Standard Range (RM149,800).
Untuk harga jualannya yang sebenar, nantikan laporan secara langsung semasa hari pelancaran 27 Mac ini! Ikuti kami di Facebook supaya tidak terlepas.
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv