- Berita
- EV
- Isuzu Dedah Prototaip Trak Pikap Elektrik D-Max – Bakal Lancar Tahun 2025
Isuzu Dedah Prototaip Trak Pikap Elektrik D-Max – Bakal Lancar Tahun 2025
Gambar rasmi pertama prototaip Isuzu D-Max BEV, yang akan dipamerkan di BIMS 2024 minggu hadapan.
Pada awal hari ini, syarikat automotif Jepun, Isuzu secara rasminya mengumumkan dan mendedahkan gambar pertama bagi prototaip trak pikap elektriknya, Isuzu D-Max BEV.
Pengumuman ini membuktikan bahawa D-Max BEV telah dibangunkan untuk memenuhi pelbagai keperluan kenderaan komersial serta penumpang, dalam masa yang sama mengekalkan prestasi yang baik seperti yang dijangkakan daripada sebuah trak pikap.
Model BEV ini dijadualkan untuk dilancarkan pada tahun 2025 (Foto: Auto.co.th)
D-Max BEV akan dipamerkan kepada orang ramai buat pertama kalinya pada minggu hadapan semasa Bangkok International Motor Show (BIMS 2024) edisi ke-45. Pameran tersebut akan diadakan di ibu negara Thailand, Bangkok, bermula pada 27 Mac ini hingga 7 April.
Dari segi mekanikal, Isuzu nampaknya telah membangunkan trenpacuan elektrik baharu untuk D-Max BEV, berbeza dengan trenpacuan elektrik yang telah dibangunkan sebelum ini untuk trak komersial Elf EV.
Isuzu membangunkan trenkuasa dua motor baharu yang dinamakan ‘e-Axles’ dengan output 174 hp dan 325 Nm (Foto: Auto.co.th)
D-Max BEV menggunakan trenkuasa dua motor e-Axles terbaru daripada Isuzu yang menyalurkan kuasa kepada kesemua roda (4WD) untuk kemampuan off-road serta prestasi pecutan yang baik di laluan lurus, dalam masa yang sama, sistem ini meminimumkan bunyi bising dan gegaran.
E-motor di bahagian hadapan mengeluarkan kuasa sebanyak 40 kW (54 hp) and 108 Nm, dan belakang pula 90 kW (120 hp) and 217 Nm. Secara keseluruhan, model ini boleh mencapai output 130 kW (174 hp) dan 325 Nm. Untuk perbandingan, model turbo-diesel 1.9 D-Max yang kini di pasaran memiliki kuasa sebanyak 150 hp dan 350 Nm.
E-motor tersebut dikuasakan oleh pek bateri lithium-ion 66.9 kWj. Butiran mengenai keupayaan pengecasan dan jarak maksimumnya dijangka akan didedahkan tidak lama lagi, mungkin semasa trak ini dipamerkan di BIMS 2024 kelak.
Satu imej yang (mungkin) menunjukkan bateri lithium-ion 66.9 kWj prototaip D-Max BEV dipasang di lantai casis. (Foto: Auto.co.th)
Buat masa ini, Isuzu mendedahkan butiran lain seperti kapasiti muatan maksimumnya sebanyak 1,000 kg, kapasiti tundaan sehingga 3.5 tan dan kemampuan untuk mencapai kelajuan maksimum melebihi 130 km/j.
Menurut Isuzu, kapasiti tundaan yang tinggi itu berjaya dicapai kerana penggunaan motor elektrik berkuasa tinggi yang disebutkan sebelum ini, serta reka bentuk rangka dan badan yang kukuh.
Bakal dilancarkan pada tahun 2025 nanti. (Foto: Auto.co.th)
Isuzu merancang untuk memperkenalkan D-Max BEV di pasaran tertentu seperti Norway, UK, Australia dan Thailand bermula 2025 ini. Kemasukan ke pasaran lain bergantung kepada keperluan semasa pasaran tersebut dan kematangan infrastruktur pengecasan EV, tambah Isuzu.
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv