- Berita
- Teknologi
- Auto China 2024: CATL Dedah Bateri Capai 600KM Hasil Cas 10 Minit, Jarak EV 1000KM Satu Cas
Auto China 2024: CATL Dedah Bateri Capai 600KM Hasil Cas 10 Minit, Jarak EV 1000KM Satu Cas
CATL memperkenalkan bateri dengan teknologi tercanggih setakat ini, Shenxing Plus di Auto China 2024, bateri ferum fosfat litium pertama di dunia yang mampu memberikan jarak perjalanan kenderaan elektrik (EV) sehingga 1,000 km dengan hanya satu cas. Ia juga dilengkapi dengan keupayaan pengecasan ultra-pantas, 4C, yang memberikan jarak perjalanan sehingga 600 km selepas dicas hanya 10 minit.
Semasa pelancarannya, dinyatakan bahawa bateri ferum fosfat litium biasa mempunyai kepadatan tenaga kira-kira 140Wj/kg, sementara sistem bateri Shenxing Plus mencapai kepadatan tenaga maksimum 205Wj/kg, meningkatkan perjalanan kenderaan sebanyak 40% berbanding bateri biasa sekaligus membolehkan perjalanan jarak jauh.
Untuk menghasilkan teknologi ini, CATL membuat kemajuan yang ketara dalam reka bentuk dan pemilihan bahan yang digunakan. Kuncinya adalah penggunaan bahan berbentuk sarang lebah 3D pada anod, yang meningkatkan kepadatan tenaga dan mengurangkan peningkatan volumetrik semasa kitaran cas.
Pada masa yang sama, katod menggunakan penskalaan zarah untuk mencapai pemampatan dan kepadatan ultra-tinggi. Selain itu, struktur bateri juga telah dioptimumkan dengan teknologi CTP3.0 untuk memaksimumkan penggunaan ruang dan melepasi batasan fizikal, meningkatkan kecekapan volum sebanyak 7%.
CATL juga mengatasi kekangan suhu rendah yang biasa berlaku pada bateri ferum fosfat litium dengan melakukan pelbagai peningkatan sistem. Pada suhu serendah -20° C, Shenxing PLUS meningkatkan kecekapan cas sebanyak 50%, mempercepatkan cas sehingga dua kali ganda, dan meningkatkan pengeluaran kuasa dalam tahap cas (SoC) rendah, ini menjanjikan prestasi yang baik walaupun dalam cuaca sejuk.
CATL juga telah membangunkan model polarisasi canggih yang menggunakan algoritma teras sistem pengurusan bateri (BMS) dan kecerdasan buatan (AI). Model ini dapat menganggarkan dan menyesuaikan arus cas secara dinamik dengan menganalisis data voltan, suhu dan arus semasa secara langsung. Ini dapat mengoptimumkan keseimbangan antara keselamatan dan kelajuan cas, tanpa mengira ketepatan pengiraan kadar cas bateri (SoC).
CATL juga mendedahkan bahawa mereka kini mengendalikan tiga kilang khas untuk pengeluaran bateri. Kilang tersebut menggunakan teknologi seperti 300 CCD, sinar-X standard klinikal dan pengimbas CT untuk mengesan dan menghapuskan ketidaksempurnaan kecil dan isu potensi pada awal proses pembuatan.
Dalam majlis yang sama, CATL turut melancarkan rangkaian pengecas mereka di China dengan kerjasama Huawei, Star Charging, Shudao New Energy dan Cloud Fast Charging.
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv