- Berita
- Pandu Uji
- Bukan Sahaja Comel Tapi Cukup Pintar
Syarikat Sino - Jerman Berkolaborasi?
Ya, jenama smart Automobile sebenarnya diasaskan oleh Mercedes-Benz dan pembuat kereta dari China, Geely.
smart yang sebelum ini milik Daimler AG, kini merupakan jenama yang akan menghasilkan kereta elektrik sepenuhnya (EV) selepas ia secara rasmi menjalinkan kerjasama dengan gergasi automotif China iaitu Geely.
Dikhabarkan Mercedes bertanggungjawab untuk reka bentuk, manakala Geely untuk kejuruteraan.
Apapun, Geely dilihat cukup serius dalam menghasilkan kenderaan elektrik dan ia jelas terbukti melalui penawaran model smart#1.
Apa yang cukup penting ialah ia tidak seperti varian Brabus yang kami cuba sebelum ini.
Ini kerana varian Premium yang ditampilkan ini boleh dikatakan antara pilihan yang lebih baik.
Varian Premium ini sebenarnya agak berbeza berbanding model kontemporari bersaiz yang serupa.
GAYA COMEL
Melihat kepada model smart#1, sudah pastinya ia menang dari segi penggayaannya yang cukup comel dan ia tampil dengan lebih ringkas.
Sentuhan pada varian Premium sebenarnya dapat dilihat dalam SUV EV berjenama Mercedes-Benz EQ.
Namun apa yang membezakan Premium dengan pesaing terdekatnya ialah ia dipadankan dengan rim aloi bersaiz 19 inci, menggunakan lampu depan dan belakang LED dengan lampu belok jenis berurutan manakala cermin sisi dihiasi dengan dua warna.
Selain itu, ia kelihatan agak moden kerana pembuka pintunyaw yang tenggelam, bumbung panaromik, tiang-C yang tebal dan kesemua pintunya hadir dengan cermin tingkap tanpa bingkai.
Secara fizikalnya, rupanya yang comel ini sebenarnya berjaya menawan hati si pembeli di luar sana terutamanya pembeli yang terdiri daripada kalangan wanita.
KABIN MEWAH
Menjengah bahagian kabinnya, dari segi kejuruteraan ergonomiknya, ia wajar dipuji.
Ini kerana tempat duduk smart #1 mempunyai tempat duduk belakang yang paling selesa dalam mana-mana crossover EV sebesar ini yang pernah kami pandu uji.
Selain itu, lantainya tidaklah dinaikkan dengan sehingga sokongan pada paha terhalang.
Malah, tempat duduk belakangnya boleh dilaraskan ke hadapan dan belakang.
Ini bermakna anda boleh meningkatkan atau mengurangkan ruang but atau ruang kaki belakang dengan begitu mudah.
Di sebalik tempat duduknya, kabinnya wakar dipuji kerana pihak penggeluar kereta ini menggunakan material yang mewah selain sentuhan lembut.
Lain-lain perkara sebenarnya agak sama dengan varian Brabus.
Selain trim mewah dan reka bentuknya, apa yang tidak dinafikan ialah ciri teknologi yang digunakan jentera ini.
Pendek kata, kesemua elemennya kelihatan hampir sama dengan kereta Jerman namun ia diterjemahkan kepada varian Premium ini.
PAKEJ TEKNOLOGI
Dari segi ciri-ciri teknologi, ia boleh disifatkan teknologi yang agak moden dan canggih kerana Premium smart#1 ini didatangkan dengan kawalan iklim automatik dwi-zon, port USB-C dan pad pengecasan wayarles dan pencahayaan ambien 64 warna.
Selain itu, ia hadir dengan skrin sentuh pusat bersaiz 12.8 inci iaitu sama seperti seterunya selain terdapat juga arahan suara, navigasi, penstriman media, serta ketersambungan aplikasi.
Tidak ketinggalan, ia turut menawarkan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto dan sistem audio Beats dengan 13 pembesar suara iaitu buat julungnya hadir dalam industri automotif.
Seperti biasa, EV ini juga tidak ketinggalan dalam menawarkan pelbagai ciri sistem bantuan pemandu aktif (ADAS) yang biasanya terdapat pada kebanyakan EV bertaraf premium.
Apa yang cukup menarik, ia turut menawarkan kebolehan memandu separa autonomi Tahap 2+ serta tempat letak kenderaan autonomi .
Maka, saya dapat simpulkan bahawa ia adalah salah satu kereta yang boleh dipandu dengan sendiri walaupun anda akan berasa kecut perut jika masih belum terbiasa dengan kecanggihan kereta seumpama ini.
Dengan adanya sistem bantuan ADAS, ia sebenarnya tidak membosankan sebaliknya ia membuatkan kami teruja untuk memandunya.
Keseluruhan kabin smart #1 ini jelas terdapat kesan dari rekaan Mercedes, dan dapat dirasakan kualiti binaannya cukup tinggi dan premium.
PANDU UJI
Secara jelas, varian Premium sebenarnya cukup sesuai untuk kegunaan harian dan boleh juga digunakan untuk berulang alik ke tempat kerja.
Apa tidaknya, ia yang didatangkan dengan persediaan motor belakang tunggal dan pemacu belakang (RWD) membuatkan ia lebih seronok dipandu.
Untuk itu, varian Premium yang menggunakan kuasa daripada motor elektrik membolehkan ia menghasilkan kuasa setakat 268 hp dan tork 343 Nm.
Ia boleh memecut dari 0-100 kilometer sejam hanya dalam 6.7 saat manakala kelajuan maksimumnya ialah 180 km/j.
Berbalik pada pandu ujinya, ia sebenarnya sangat berbeza dari segi pemanduan dan pengendalian varian pertengahan ini kerana ia lebih memfokuskan kepada keselesaan.
Ia menawarkan pemanduan lebih lembut berbanding varian Brabus yang dirasai lebih agresif sedikit.
Tidak kedengaran bunyi bising dalam kabin walaupun ia didatangkan dengan cermin tanpa bingkai.
Ini jelas terbukti, Geely telah menyempurnakan tugas yang cukup hebat kerana menggunakan platform modular khas untuk EV, Sustainable Electric Architecture (SEA) Geely.
Ia disokong dengan pengendalian yang hampir dengan kereta buatan Jerman.
Bagaimanapun, ini hanya separuh keajaiban platform SEA tersebut…
CEPAT CAS
Separuh keajaibannya adalah tentang jarak gerak dan tempoh pengecasannya.
Untuk makluman anda, varian Premium smart#1, ini tidak seperti sebahagian besar pesaingnya yang lebih murah atau harga yang lebih tinggi.
Ia sebaliknya menawarkan kebolehan pengecasan yang begitu pantas.
Dengan pek bateri NCM bersaiz 66kWj, ia mengambil masa tiga jam untuk baterinya penuh dari 10 hingga 80%.
Sementara itu, jika menggunakan pengecas pantas DC 150 kW, jumlah cas yang sama boleh dicapai dalam masa hanya 29 minit.
Apa juga jenis pengecasnnya, kami mendapati kedua-duanya menawarkan pengecasan yang cukup pantas.
Malah, ia menawarkan perjalanan sejauh 440 kilometer dengan hanya sekali cas.
Kira oklah walaupun ia bukan peneraju dalam segmennya.
Bagaimanapun, tempoh perjalanan itu dilihat sudah mencukupi untuk kebanyakan penumpang di kawasan bandar terutamanya bagi mereka yang menggunakan EV untuk kegunaan harian.
Ini tidak bermakna varian ini tidak boleh bergerak jauh kerana rakan sekerja saya, Mukhlis telah memandu varian ini sehingga Pulau Pinang dengan hanya sekali cas .
Apa yang benar-benar membantu di sini ialah semua kemudahan mengakses pengecas sudah boleh diakses menerusi sistem navigasinya.
Lagipun, jangan risau untuk mencari stesen pengecas memandangkan dengan adanya Hello smart, ia membolehka anda mencari lokasi pusat pengecasan, siap dengan paparan kapasiti kuasa dan kadar yang ditawarkan sekali.
Bagi saya, penggunaan EV sebenarnya mengajar anda tentang aspek pemanduan berhemah, kepekaan dengan baki bateri dan memerlukan perancangan perjalanan.
HARGA

Mungkin ramai yang tertanya-tanya dengan harga varian Premium ini?
Untuk makluman anda, ia dijual pada harga RM219,000. Ya, ia bukanlah murah namun dengan reka bentuk, kabin serta ciri teknologi yang ditawarkan, saya menganggap harga itu adalah setimpal.
Jika anda tidak bersetuju , apa kata anda pandu uji dulu?
Jangan lupa kongsikan pengalaman anda bersama kami.
SPESIFIKASI
smart #1 Premium
MOTOR | 1x rear e-motor |
TRENKUASA | Single-ratio, rear-wheel-dive (RWD) |
KUASA | 268 HP |
TORK | 343 NM |
0-100 KM/HJ | 6.7 saat |
V-MAKS | 180 KM/J |
BATERI&PENGECAS | Bateri: 66 kWj (jenis NMC)
Tempoh Pengecasan: AC @ 22 kW - 10-80% dalam 3 jam DC @ 150 kW - 10-80% dalam 29 minit |
JARAK | 440 KM (WLTP) |
BERAT | 1,800 KG (kerb) |
HARGA | RM219,000 |
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/