- Berita
- Kereta Baru
- Kia EV9 2024 Dilancarkan Di TRX, Rasmi Di Malaysia – 2 Varian, Capai 505 KM, Dari RM369K!
Kia EV9 2024 Dilancarkan Di TRX, Rasmi Di Malaysia – 2 Varian, Capai 505 KM, Dari RM369K!
Kia EV9 telah dilancarkan secara rasmi sebentar tadi untuk pasaran Malaysia di The Exchange TRX.
Selepas sebulan ia dipertontonkan secara eksklusif buat pertama kali di Malaysia, Dinamikjaya Motors Sdn Bhd hari ini membawa Kia EV9 2024 ke The Exchange TRX untuk kemunculan umum pertamanya dan juga pelancaran rasminya di negara ini.
Kia EV9 2024 merupakan kenderaan elektrik bateri (BEV) keduanya di pasaran kita yang ditawarkan dalam dua varian iaitu EV9 GT-Line tujuh tempat duduk dan EV9 GT-Line enam tempat duduk, model ini kini boleh ditempah dengan harga yang bermula daripada RM369,668.00, atas jalan, tanpa insurans.
TRENKUASA KIA EV9 2024
Dibangunkan berdasarkan Electric Global Modular Platform (E-GMP), EV9 merupakan model kedua yang menggunakan platform ini, menampilkan teknologi bateri generasi keempat dengan ketumpatan tenaga yang dipertingkat.
EV9 dikuasakan oleh bateri berkapasiti 99.8 kWj yang dipadankan dengan dua motor elektrik untuk menggerakkan gandar depan dan belakang kenderaan (AWD) pada output 380 hp dan 700 Nm. Dengan cas penuh, ia boleh mencapai jarak perjalanan sehingga 505 km. Bateri boleh dicas dengan pengecas DC 350 kW daripada 10-80% dalam masaa sepantas 24 minit.
Ia menggunakan sistem pengecasan unit kawalan pengecas terintegrasi (ICCU) yang membolehkan fungsi pengecasan vehicle-to-load (V2L) untuk pengecasan peralatan elektrik menggunakan bateri kenderaan sehingga 3.6 kWj.
REKAAN KIA EV9 2024
Model yang kini ditawarkan di Malaysia bukanlah model yang boleh dipandang sebelah mata kerana ia telah merangkul pelbagai anugerah berprestij antarabangsa termasuk Anugerah Kereta Terbaik Dunia 2024 dan Anugerah Yang Terbaik Daripada Yang Terbaik oleh Red Dot Award: Product Design 2024.
Dari segi dimensi, Kia EV9 berukuran 5,010 mm (panjang), 1,980 mm (lebar) dan 1,755 mm (tinggi) dengan jarak antara roda 3,100 mm.
Antara yang menarik pada Kia EV9 adalah penggunaan lampu yang menegak di bahagian hadapan dan rekaan “Digital Tiger Face” yang diserlahkan oleh unsur canggih iaitu gril cahaya bercorak digital (Digital Pattern Lighting Grille).
Selain itu, lampu nyalaan siang (DRL) dan lampu belakang Star Map yang menghasilkan corak pencahayaan sofistikated menyerlahkan lagi model ini. Ciri lain di bahagian luar Kia EV9 ialah penggunaan rim aloi berukuran 21 inci.
Reka bentuk futuristik dan rangginya bukan sekadar menarik dilihat, tetapi memberikan ciri aerodinamik dengan pekali seret (coefficient drag) hanya pada 0.28 cd.
KABIN KIA EV9 2024
Bergerak masuk ke bahagian dalam kabinnya, anda akan disajikan dengan satu ruang yang cukup selesa dan luas, sarat dengan teknologi canggih. Model ini menggunakan dua skrin sentuh berukuran 12.3 inci, yang mana sistem infotainmennya boleh disambungkan dengan Apple CarPlay dan Android Auto. Sistem hiburan ini dilengkapkan dengan sistem audio Meridian® 14 speaker. Kemudahan lain ialah pad pengecas tanpa wayar, port pengecas USB-C dan pencahayaan ambien.
Kia EV9 enam tempat duduk (kiri) dan tujuh tempat duduk (kanan).
Bukan itu sahaja, menurut laman web rasmi Kia , model ini diberikan kaca akustik yang membantu membuatkan ruang kabin kekal senyap pada tahap 58.2 desibel semasa meluncur di lebuh raya.
TEKNOLOGI KESELAMATAN KIA EV9 2024
Kia EV9 dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan standard yang termasuk 10 beg udara SRS (pemandu depan & penumpang, lutut pemandu, sisi, tirai dan sisi tengah), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Sistem Bantuan Keluar dengan Selamat (SEA) yang memberikan amaran dan mengunci pintu jika kenderaan yang mendekati dari belakang dikesan dalam titik buta. Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), Agihan Kuasa Brek Elektronik (EBD), Bantuan Brek (BA), Amaran Penumpang Belakang (ROA), cagak ISOFIX untuk tempat duduk kanak-kanak dan Bantuan Mula-Daki (HAC).
Ciri Keselamatan Canggih (ADAS) EV9 termasuk Bantuan Lampu Suluh Tinggi (HBA), Bantuan Pengelak Pelanggaran Parkir PCA), Bantuan Pengelak Pelanggaran Titik Buta (BCA), Bantuan Lintasan Trafik Belakang (RCCA) dan banyak lagi.
PILIHAN WARNA, HARGA & TEMPAHAN KIA EV9 2024
Ditawarkan dalam lima pilihan warna iaitu Ocean Blue, Snow White Pearl, Pebble Gray, Aurora Black Pearl dan Iceberg Green, Kia EV9 GT-Line kini boleh ditempah daripada mana-mana cawangan pengedaran Kia di Malaysia pada harga yang bermula daripada RM369,668.00 untuk versi tujuh tempat duduk dan daripada RM374,668.00 untuk versi enam tempat duduk. Harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan, tanpa insurans.
Pembelian adalah termasuk jaminan pengeluar selama 5 tahun atau 150,000 km (mana yang terlebih dahulu) dan juga jaminan bateri selama 8 tahun atau 160,000 km (mana yang terlebih dahulu).
Tempahan sesi pandu uji boleh dibuat secara dalam talian di www.kia.com/my.
Anda juga boleh menyaksikan model ini dengan lebih dekat di Central Exchange, The Exchange TRX bermula esok, 12 hingga 16 Jun 2024 ini dari jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam.
Baca: EV9 Bolot Anugerah World Car Of The Year, World Electric Vehicle
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv