- Berita
- Global
- Porsche 911 Carrera S 2025 Kini Lebih Berkuasa – 473 HP, Tiada Versi Manual
Porsche 911 Carrera S 2025 Kini Lebih Berkuasa – 473 HP, Tiada Versi Manual
Pengeluar kereta sport mewah Jerman, Porsche, membuka tirai tahun baharu dengan pengenalan varian terkini bagi model generasi 992.2, iaitu Porsche 911 Carrera S 2025. Model ini diberikan pelbagai peningkatan dalam aspek mekanikal dan rekaan.
Prestasi Hampir Setanding GTS?
Diposisikan antara Carrera T dan model elektrik, 911 GTS T-Hybrid, Carrera S kini memiliki prestasi yang setanding dengan model GTS sebelumnya. Ini dapat dicapai hasil keupayaan enjin ‘boxer’ enam silinder turbo berkembar yang dipasang di bahagian belakang.
Enjin 3.0 liter ini kini dilengkapi pengecas turbo baharu dan sistem penyejukan yang lebih baik, menghasilkan kuasa 473 hp dan tork 530 Nm, lebih tinggi berbanding 444 hp sebelum ini. Kuasa disalurkan ke roda belakang melalui sistem transmisi automatik 8 kelajuan PDK dwi-klac milik Porsche.
Tiada Lagi Transmisi Manual
Versi transmisi manual 7 kelajuan tidak lagi ditawarkan, namun transmisi PDK yang digunakan ini membolehkan Carrera S mencapai pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.3 saat dan kelajuan maksimum 308 km/j, menjadikannya lebih pantas berbanding versi terdahulu.
Carrera terbaru ini juga lebih menarik dengan penambahan aksesori standard yang termasuk rim aloi unik berukuran 20 inci di depan dan 21 inci di belakang, sistem ekzos sport dengan muncung berwarna perak, serta teknologi Porsche Torque Vectoring Plus.
Selain itu, sistem brek juga diperbaharui dengan rotor lebih besar, iaitu 408 mm di hadapan dan 380 mm di belakang, yang diambil daripada varian GTS Hybrid. Ciri tambahan seperti Porsche Carbon Ceramic Brakes (PCCB) dan suspensi sport dengan ketinggian lebih rendah sebanyak 10 mm turut ditawarkan.
Menurut Porsche, suspensi hidraulik yang dioptimumkan memberikan tindak balas lebih tepat, manakala stereng yang diperbaharui menjadikan pemanduan lebih tangkas, terutama ketika mengambil selekoh.
Rekaan Luaran & Kabin Diperbaharui
Dari segi rekaan, model ini menerima beberapa perubahan kecil. Bahagian belakang yang lebih lebar dengan komponen ambilan udara daripada model 911 Turbo membuatkannya kelihatan lebih agresif.
Bahagian kabin pula mengekalkan gaya yang sama seperti varian generasi 992.2 lain. Namun, pelanggan kini boleh memilih kemasan mewah iaitu balutan kulit untuk laci simpanan, panel sisi dan pangkal tempat duduk sebagai pilihan tambahan.
Pilihan Bentuk Badan Coupe & Cabriolet
Porsche 911 Carrera S 2025 ditawarkan dalam dua versi, iaitu Coupe bumbung keras (hard-top) dan Cabriolet bumbung lembut (soft-top). Tempahan kini dibuka di pasaran Eropah dan Amerika Utara, dengan pasaran lain dijangka akan menerima kedatangan model ini tidak lama lagi.
Baca: Porsche Macan Elektrik, Ada 4 Varian, Harga Bermula Serendah RM430,000
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv