- Berita
- EV
- BYD Lancar 2 Model Baharu, Yang Menarik Boleh Cas Penuh Dalam 5 Minit

Pembuat kereta berpangkalan di China, BYD yang melancarkan bateri dan sistem baharu sekali gus membolehkan kenderaan elektrik (EV) keluarannya kini mampu dicas hanya dalam masa 5 minit.
Ia susulan BYD kini menggunakan platfrom voltan tinggi 1000V baharu yang dilengkapi pengecasan ultra pantas 5C.
Ini bermakna, dua model baharunya, Han L Flagship dan Tang L Flagship yang turut menggunakan platform itu, mampu melakukan pengecasan untuk 400 km, hanya dalam masa 5 minit.


Kejayaan terbaharu BYD ini adalah satu lonjakan besar dalam dunia pengecasan EV kerana mampu mengatasi pengecas pantas yang lain.
Berbalik kepada model baharu BYD, Han L yang dilengkapi dengan pek bateri LFP 83.2 kWh mampu melakukan pergerakan antara 601 km hingga 701 km.

HAN L FLAGSHIP
Sedikit latar belakang mengenai Han, ia dilihat menampilkan lampu hadapan jenis tajam, pemegang pintu jenis tersembunyi dan terdapat logo Han pada grilnya.
Dari segi dimensi, ia berukuran 5,050 mm (panjang) dengan jarak roda 2,970 mm, lebar 1,960 mm, dan tinggi 1,505 mm.
Menjengah bahagian kabinnya, Han L hadir dengan kemasan dua warna manakala konsol tengahnya menampilkan skrin terapung bersaiz besar dengan diameter 15.6 inci.
Ia yang dilengkapi dengan bateri berkapasiti 83.2 kWj boleh bergerak sejauh antara 601 km hingga 701 km.

BYD Han L elektrik yang menggunakan platform voltan tinggi 1000V dan pek bateri LFP 83.2 kWj boleh bergerak sejauh antara 601 km hingga 701 km.
Difahamkan, pek bateri ini menyokong pengecasan 10C melalui sistem pengecasan megawatt BYD, yang mampu menambah jarak pemanduan sejauh 400 km dalam masa hanya 5 minit.
Teknologi pengecasan ini menjadikannya setanding dengan proses mengisi minyak petrol. Selain itu, bateri ini juga dapat menghantar kuasa secara efektif kepada motor elektrik.
Varian standard BYD Han L dilengkapi dengan satu motor elektrik dimana ia boleh menghasilkan kuasa setakat 500 kW (670 hp).
Bagi varian pacuan semua roda (4WD) pula, ia menampilkan sistem dwi-motor 4WD (580 kW + 230 kW), dimana kuasa keseluruhan adalah sebanyak 810 kW (1,086 hp).
Han L EV mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j hanya dalam 2.7 saat, manakala pecutan dari 100 hingga 200 km/j mengambil masa 4.74 saat. Kelajuan maksimumnya pula mencecah 305 km/j.
Harga prajualan untuk Han L adalah 270,000 yuan (RM166,000) hingga 350,000 yuan (RM215,000).
BYD TANG L:
BYD Tang L elektrik pula adalah sebuah SUV yang menawarkan susun atur tempat duduk 2+3+2.
SUV ini menampilkan lampu nyalaan siang yang nipis, lampu hadapan yang disepadukan ke bampar depan, serta bonet yang aerodinamik.
Menjengah dari belakang, BYD Tang L EV dilengkapi jalur lampu belakang yang agak moden.

Dari segi dimensi, ia berukuran 5,040 panjang dengan jarak roda 2,950 mm, lebar 1,996 mm dan setinggi 1,760 mm.
Bahagian dalaman BYD Tang L pula, ia dilihat menampilkan skema warna dwi-tona, dengan sebahagian besar kawasan dilitupi material berwarna jingga dan dihiasi kemasan kelabu matte.
Skrin kawalan tengahnya pula bersaiz 15.6 inci dan menyokong paparan AR-HUD. Selain itu, terdapat panel instrumen di belakang stereng berbentuk-D selain , digabungkan dengan saluran pendingin hawa tersembunyi untuk reka bentuk yang lebih kemas.
Mengenai trenkuasa, BYD Tang L EV berkongsi rangkaian kuasa dengan sedan Han L.
Oleh itu, varian standardnya menawarkan kuasa 500 kW (670 hp), manakala versi 4WD mampu menjana kuasa setakat 810 kW (1,086 hp). Namun, Tang L EV dilengkapi dengan pek bateri LFP yang lebih besar, iaitu 100.5 kWj.
SUV ini hadir dengan tiga pilihan jarak pemanduan berdasarkan kitaran CLTC, iaitu 560 km, 600 km, dan 670 km. Dari segi prestasi, BYD Tang L EV mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.6 saat, manakala pecutan dari 100 km/j hingga 200 km/j mengambil masa 6.19 saat. Kelajuan maksimumnya pula mencecah 287.4 km/j.

Harga prajualan untuk Tang L pula antara 280,000 yuan (RM172,000) dan 360,000 yuan (RM220,000).
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/

