- Berita
- EV
- Sedan Elegan Volvo ES90 Didedahkan – 671 HP, 700 KM, Cas Sepantas 20 Minit
Sedan Elegan Volvo ES90 Didedahkan – 671 HP, 700 KM, Cas Sepantas 20 Minit
Selepas imej acahnya didedahkan Februari lalu, Volvo ES90 akhirnya membuat kemunculan global sebagai sedan elektrik premium pertama daripada jenama Sweden itu. Model ini bukan sahaja hadir dengan reka bentuk moden, tetapi turut menampilkan pelbagai teknologi canggih serta jarak pemanduan elektrik mencecah 700 km dengan sekali cas.
Reka Bentuk Elegan dan Sporty
Dari segi reka bentuk, ES90 mengekalkan gaya sedan tiga kotak yang tradisional tetapi diserlahkan dengan elemen moden seperti bumbung aerodinamik, but belakang jenis liftback, serta jarak kelegaan tanah yang sedikit tinggi, menyerupai crossover.
Seperti model Volvo lain, ES90 menampilkan lampu hadapan LED berbentuk ‘T’ atau tukul Thor, lampu belakang LED berbentuk ‘C’, pemegang pintu jenis terbenam dalam untuk aerodinamik, serta rim besar bersaiz 22 inci.
ES90 sebuah jentera yang elegan dengan panjang 5,000 mm, lebar 1,942 mm, tinggi 1,546 mm, serta jarak roda 3,102 mm. Dimensi ini meletakkannya dalam kategori yang hampir sama dengan model seperti BMW i5 dan Mercedes-Benz EQE.
Kabinnya Mewah, Dilengkapi Teknologi Terkini
Sebagai sedan flagship Volvo yang terbaru, sentuhan yang diberikan kepada ruang kabin ES90 cukup istimewa, sarat dengan ciri mewah dan teknologi canggih.
Antara ciri utama termasuk skrin sentuh potret berukuran 14.5 inci dengan sistem Google, kluster instrumen digital 9.0 inci dengan papar pandu (HUD), serta kemasan dalaman bertemakan Scandinavia yang diperbuat daripada bahan kitar semula.
Tempat duduk belakang boleh direbahkan secara berasingan, sementara ruang but standard berkapasiti 425 liter boleh diperluaskan hingga 1,256 liter sekiranya kedua-dua tempat duduk belakang diturunkan.
Ruang storan kecil (frunk) berkapasiti 22 liter turut disediakan di hadapan untuk menyimpan kabel pengecas dan alatan lain.
Sistem Keselamatan Canggih
ES90 hadir dengan sistem teknologi Superset Volvo yang dikuasakan oleh dua cip pemproses Nvidia Orin X. Ini membolehkannya memproses lebih daripada 500 trilion operasi sesaat, menjadikannya antara sedan paling pintar di pasaran.
Model ini juga dilengkapi dengan sensor LiDAR, radar luaran, serta pelbagai kamera dan sensor bagi meningkatkan tahap keselamatan dan keupayaan pemanduan autonomi.
Prestasi dan Keupayaan Cas Pantas
Volvo ES90 dibina atas platform SPA2 dengan sistem 800V, membolehkannya menyokong pengecasan pantas sehingga 350 kW. Dengan sistem ini, masa yang diperlukan untuk dicas dari 10-80% hanya 20 minit, dan dengan hanya 10 minit pengecasan, jentera boleh mampu mencapai jarak perjalanan sejauh 300 km.
Model ini hadir dalam tiga varian dengan prestasi berbeza:
- Single Motor Extended Range – 328 hp, 480 Nm, bateri 88 kWj, pecutan 0-100 km/j dalam 6.9 saat, jarak EV 650 km (WLTP) atau 700 (CLTC)
- Twin Motor AWD – 443 hp, 670 Nm, bateri 102 kWj, pecutan 0-100 km/j dalam 5.5 saat, jarak EV 700 km (WLTP) atau 740 km (CLTC)
- Twin Motor Performance – 671 hp, 870 Nm, bateri 102 kWj, pecutan 0-100 km/j dalam 4 saat, jarak EV 700 km (WLTP) atau 740 km (CLTC)
Walaupun mampu menghamburkan kuasa yang tinggi, kelajuan maksimum semua varian ES90 dihadkan pada 180 km/j.
Jualan Bermula Musim Panas Ini, Pasaran RHD Perlu Menanti
Jualan Volvo ES90 dijangka bermula pada musim panas ini di pasaran pemanduan sebelah kiri (LHD), dengan harga permulaan sekitar €72,000 (~RM343,893) di Eropah. Bagi pasaran pemanduan sebelah kanan (RHD) seperti UK, pelancaran dijangka berlaku dalam tempoh kira-kira setahun lagi.
Di Malaysia, Volvo Car Malaysia (VCM) baru-baru ini membuka pendaftaran minat untuk EX90 dan XC90 facelift, menandakan lebih banyak model Volvo bakal memasuki pasaran tempatan. Walaupun tiada pengesahan rasmi, ES90 mungkin akan tiba di Malaysia seawal tahun depan. Namun, pengecualian cukai EV yang bakal tamat boleh menjadi faktor yang mempengaruhi pelancaran model ini di pasaran tempatan.
Baca: Pendaftaran Minat Volvo EX90 & XC90 Baharu Kini Dibuka
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv