- Berita
- Global
- XPeng G9 2025 Diberikan 66 Peningkatan – Bakal Tiba Di Malaysia?
XPeng G9 2025 Diberikan 66 Peningkatan – Bakal Tiba Di Malaysia?
Selain XPeng G6 2025, SUV elektrik XPeng G9 turut menerima kemas kini model tahun 2025 (MY2025) untuk pasaran China. Menurut Pengerusi XPeng Motors, He Xiaopeng, model ini menerima kira-kira 66 peningkatan, termasuk sistem pemanduan pintar Turing AI generasi baharu, sistem trenkuasa yang lebih baik dan sebagainya.
Lebih Segar dengan Elemen Premium
Dari segi rekaan, XPeng G9 kini menampilkan reka bentuk X Robot Face 3.0, sama seperti pada model lebih kecil, G6. Antara perubahan yang diberikan di bahagian luaran ialah pintu soft-close dengan pemegang jenis terbenam, but belakang dengan bukaan automatik, rim aloi baharu bersaiz 20 inci. Selain itu, rim, logo dan fender kini hadir dalam versi khas ‘Black Warrior’ dengan kemasan hitam.
Dari segi ukuran, model ini kekal sama seperti versi terdahulu, iaitu panjang 4,891 mm, lebar 1,937 mm, tinggi 1,680 mm, serta jarak roda 2,998 mm. Sebagai perbandingan, XPeng G6 lebih kecil, dengan panjang 4,753 mm, lebar 1,920 mm dan tinggi 1,650 mm.
Kabin Kini Lebih Mewah dan Canggih
Bergerak masuk ke bahagian kabin, versi kali ini hadir dengan pilihan warna baharu Moon Shadow Coffee, memperbanyakkan lagi pilihan warna sedia ada selain Morning Glory Brown dan Elegant Grey.
Jentera ini masih kekal menggunakan tiga skrin yang terdiri daripada dua skrin infotainmen 14.96 inci, panel kluster instrumen digital 10.25 inci, dikuasakan oleh cip Qualcomm Snapdragon 8295P dengan kemampuan kemas kini over-the-air (OTA).
Walaupun SUV ini kelihatan besar dari luar, hanya dua baris atau lima tempat duduk ditawarkan, namun ini bermakna ia jauh lebih lapang berbanding G6.
Untuk keselesaan SUV ini dilengkapi dengan ciri tempat duduk penumpang hadapan yang boleh direbahkan sepenuhnya dengan sokongan ottoman. Penumpang belakang juga dapat menikmati keselesaan dengan kehadiran saluran pendingin hawa khas dan beberapa port USB untuk pengecasan peranti. Ciri menarik lain yang ditawarkan ialah bumbung kaca panoramik yang luas.
Sistem Pemanduan Pintar AI Generasi Baharu
Salah satu penambahbaikan paling ketara pada G9 ialah kehadiran sistem pemanduan pintar AI Turing generasi baharu. Berbeza dengan versi sebelumnya, sistem ini tidak lagi memerlukan sistem LiDAR, sebaliknya menggunakan 26 sensor, 11 kamera, 3 radar gelombang milimeter dan 12 radar ultrasonik.
Gabungan teknologi ini meningkatkan jarak penglihatan sebanyak 125% serta menjadikan kelajuan pengecaman objek 40% lebih pantas berbanding sistem sebelumnya.
Trenkuasa Lebih Berkuasa, Pengecasan Lebih Pantas
Selain teknologi AI baharu, XPeng G9 2025 turut menerima peningkatan trenkuasa yang mana varian pacuan roda belakang (RWD) kini dikuasakan oleh motor tunggal 346 hp (258 kW), meningkat daripada 308 hp (230 kW) sebelum ini. Sementara itu, varian pacuan semua roda (AWD) kini menghasilkan 567 hp (423 kW) dan tork maksimum 695 Nm.
Walaupun model ini masih menggunakan platform silikon karbida (SiC) 800V, versi kali ini dilengkapi dengan bateri AI 5C dan teknologi pengecasan cecair super S5, membolehkannya mencapai kelajuan pengecasan sehingga 530 kW, yang membolehkan pengecasan 10-80% dilakukan dalam hanya 12 minit.
Kapasiti bateri kekal sama dengan versi sebelum ini iaitu 79 kWj untuk varian RWD dan 93.1 kWj untuk varian AWD.
Dengan semua peningkatan ini, jarak pemanduan maksimum kini meningkat kepada 725 km, berdasarkan piawaian CLTC yang lebih longgar.
Bakal Tiba ke Pasaran Global Termasuk Malaysia?
XPeng dijangka akan memulakan jualan rasmi G9 2025 pada penghujung tahun ini, namun harga rasminya masih belum diumumkan.
Pengedar rasmi XPeng di Malaysia, Bermaz XPeng, sebelum ini telah mengesahkan bahawa lebih banyak model XPeng akan dibawa masuk ke pasaran tempatan, ini bermakna tidak mustahil G9 akan menjadi model seterusnya yang bakal dilancarkan di Malaysia dalam masa yang terdekat.
Baca: XPeng G6 2025 Diperkenal – Lebih 80 Peningkatan, Rekaan Lebih Futuristik!
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv