- Berita
- EV
- Toyota Bakal Ambil Alih Neta Untuk Dominasi EV Di China?
Syarikat automotif Jepun, Toyota, dilaporkan sedang mempertimbangkan langkah strategik baharu dalam misi untuk memperkukuhkan kehadirannya dalam pasaran kenderaan tenaga baharu (NEV) terbesar dunia, China. Antara strategi yang sedang dipertimbangkan adalah termasuk pengambilalihan Neta Auto, sebuah syarikat EV tempatan yang kini sedang bergelut dengan krisis kewangan serius.
Sasaran: 3 Juta Unit Setahun, 15 Model EV Baharu
Menurut portal automotif CarNewsChina, langkah ini berpotensi memberikan dua kelebihan iaitu mempercepat pelan pengembangan EV Toyota di China, dan dalam masa sama menjadi penyelamat Neta Auto yang kini sedang mengalami krisis kewangan.
Toyota menyasarkan untuk menghasilkan tiga juta unit kenderaan setahun menjelang 2030, termasuk 15 model EV baharu yang dibangunkan khusus untuk pasaran China menjelang 2027.
Krisis Kewangan Neta: Nilai Menjunam 80%
Neta Auto, yang ditubuhkan oleh Hozon New Energy Auto pada 2014, dilaporkan berdepan masalah kewangan sejak pertengahan 2024. Syarikat itu telah menghentikan pengeluaran, melepaskan tenaga kerja secara besar-besaran dan gagal mendapatkan pembiayaan pusingan E bernilai lebih CNY 4 bilion (~RM2.4 bilion).
Nilai syarikat itu juga menyusut secara drastik, daripada CNY 42.3 bilion (~RM25.4 bilion) pada 2023 kepada hanya CNY 6 bilion (~RM3.6 bilion), merosot lebih 80% dalam tempoh dua tahun.
Neta turut merekodkan kerugian terkumpul mencecah CNY 18.3 bilion (~RM10.9 bilion) dalam tempoh tiga tahun. Selain itu, syarikat tersebut masih berhutang sebanyak RM3.6 bilion kepada pembekalnya.
Sebagai usaha untuk menyelamatkan syarikat, Neta dilaporkan telah mencadangkan agar 70% daripada hutang kepada pembekal ditukar kepada pegangan ekuiti, manakala selebihnya akan dibayar secara ansuran.
Tekanan Di Luar Negara: Gagal Capai Sasaran di Thailand?
Operasi antarabangsa Neta juga tidak terkecuali daripada tekanan. Di Thailand, Neta berisiko dikenakan penalti kewangan sekiranya gagal memenuhi sasaran pengeluaran tempatan menjelang 2025.
Sasaran tersebut penting untuk mengekalkan kelayakan subsidi bernilai sehingga THB 150,000 (~RM19,475) bagi setiap unit, termasuk insentif cukai dan rebat kerajaan Thailand.
Toyota Bakal Manfaatkan Aset Teknologi Neta
Walaupun terperangkap di dalam krisis, Neta masih memiliki nilai dari sudut teknologi dan penguasaan pasaran EV tempatan. Jika pengambilalihan oleh Toyota menjadi kenyataan, ia mampu memberi kelebihan strategik kepada jenama Jepun itu dalam memahami selok-belok pasaran China serta mempercepat pembangunan EV mereka.
Toyota bukanlah asing dalam kerjasama dengan syarikat automotif China. Model seperti Toyota bZ3 dan bZ3X terhasil daripada kerjasama dengan GAC Motor, dan formula yang sama mungkin akan digunakan bersama Neta sekiranya rundingan tersebut berjaya.
Sumber: CarNewsChina, IT Home
Baca: Neta Bakal Terkubur? Krisis Kewangan Meruncing, Bubar Pasukan R&D
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv