- Berita
- Global
- Toyota GR Yaris Sebastien Ogier 9x World Champion Edition Dilancarkan, Hanya Ada 200 Unit
Toyota GR Yaris Sebastien Ogier 9x World Champion Edition Dilancarkan, Hanya Ada 200 Unit

Toyota GR Yaris Sebastien Ogier 9X World Champion Edition dihasilkan bagi meraikani kejuaraan Pemandu Kejohanan Rali Dunia (WRC) ke-9 yang dinobatkan kepada legenda rali Perancis, Sébastien Ogier.
Ia sudah pun dilancarkan secara rasminya di peringkat global dimana hanya 200 unit ditawarkan di seluruh dunia.
Dibina dan dibangunkan sendiri oleh Toyota Gazoo Racing, GR Yaris Ogier Edition ini diasaskan daripada versi GR Yaris Aero Performance Package yang sememangnya ekstrem, selain ditambah beberapa ciri prestasi yang membawa hot hatch rali ini ke tahap seterusnya.

Salah satu daripadanya ialah dua mod pacuan semua roda (AWD) baharu yang dipesan khas, yang dibangunkan oleh Gazoo Racing bersama Ogier sendiri.
Mod pertama dinamakan “Seb” mode, yang menggantikan mod pemanduan Track sedia ada. Mod ini menawarkan pembahagian tork 40:60 bagi memberikan rasa lebih berorientasikan kereta sport dengan kecenderungan ke belakang, tanpa menjejaskan cengkaman bahagian hadapan.
Mod kedua pula dikenali sebagai Morizo mode, dinamakan sempena nama samaran perlumbaan Pengerusi Akio Toyoda. Mod ini dikhususkan untuk pemanduan luar jalan, di mana gandar hadapan dan belakang akan terkunci bersama ketika pendikit ditekan bagi memaksimumkan cengkaman, sebelum dilonggarkan semula ketika membrek.
Menurut Toyota, tetapan ini menggabungkan input sebenar Ogier dan Morizo hasil pengalaman pemanduan rali dunia sebenar.


Dari segi penampilan, Ogier Edition kelihatan hampir sama seperti GR Yaris lain yang dilengkapi pakej Aero Performance yang disebutkan, dengan beberapa perincian kecil tambahan.
Selain warna khas Black Gravite, model istimewa ini dipadankan dengan rim 18 inci berwarna hitam matte serta angkup brek biru dengan tandatangan Ogier.


Pelekat tiga warna bendera Perancis pada gril hadapan merupakan penghormatan terus kepada negara asal Ogier, manakala lencana peringatan khas di bahagian belakang membezakan Ogier Edition daripada GR Yaris biasa.
Sentuhan istimewa ini diteruskan ke bahagian dalaman, dengan yang paling menonjol ialah stereng GR gaya rali baharu yang lebih kecil, lengkap dengan beberapa suis yang diilhamkan daripada jentera Rally2 milik Toyota.
Tema tiga warna bendera Perancis turut diketengahkan, terutamanya melalui jahitan kontras pada stereng, sementara paparan meter digital kini hadir dengan grafik unik untuk dua mod pemanduan khas yang baharu.
Pengeluaran Toyota GR Yaris Sebastien Ogier 9X World Champion Edition edisi terhad ini dijadualkan berlangsung pada akhir tahun ini.

Seperti yang dinyatakan, hanya 200 unit akan dihasilkan, dengan 100 unit diperuntukkan untuk pasaran Eropah, manakala baki 100 unit akan diedarkan secara eksklusif di Jepun melalui sistem undian.
Harga masih belum diumumkan setakat ini, namun dijangka jauh lebih tinggi berbanding GR Yaris standard.
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/

