- Berita
- Kereta Baru
- Proton e.MAS 5 Ditayang, Harga Dalam RM80,000?
Pihak Proton mengadakan satu sesi pratonton eksklusif untuk para pengamal media mengenai kenderaan elektrik (EV) terbaharunya, Proton e.MAS 5, pada awal minggu lalu.
Apa yang menarik, Proton e.MAS 5 akan menjadi salah satu hatchback EV paling mampu milik yang pernah dijual di pasaran tempatan.
Selepas pembentangan, kami cuma diberikan selama 30 minit untuk membelek bahagian luaran dan dalaman prototaip pra-pengeluaran yang tidak dilitupi dengan pelekat dan satu lagi unit dipenuhi dengan pelekat penyamaran.
Berikut adalah 6 perkara yang kami ringkaskan!
1. KECIL TETAPI BUKANLAH KECIL SANGAT!
Melihat bahagian luarannya, Proton e.MAS 5 ini sememangnya bersaiz kecil namun ia tidaklah begitu kecil. Walaupun ukuran model ini tidak didedahkan namun versi asal berjenama Geely Star Wish dilaporkan berukuran panjang 4,135 mm, lebar 1,805 mm dan tinggi 1,570 mm.
Nampak gayanya, Proton e.MAS 5 ini sebenanya hampir sama saiz dengan Proton Iriz 1.3 Standard, yang sedikit lebih pendek (3,945 mm), sempit (1,740 mm) dan rendah (1,554 mm). Sebagai perbandingan lain, Perodua Myvi 1.3G juga lebih pendek (3,895 mm), sempit (1,735 mm) dan rendah (1,515 mm) berbanding e.MAS 5.
Akhirnya, ukuran jarak roda adalah yang paling penting. Dengan jarak roda 2,650 mm, saiz e.MAS 5 sebenarnya melebihi Iriz (2,555 mm) dan Myvi (2,500 mm). Inilah yang mungkin menjelaskan fakta seterusnya, dan membuktikan EV ini jauh daripada kategori ‘comel’.
2. KABIN SANGAT LUAS?
Walaupun saiznya kecil namun anda jangan terpedaya!
Ini kerana bukaan pintu 65 darjah membolehkan sesiapa sahaja, tidak kira tinggi, gemuk atau kurus, janji Bawah 6 kaki sudah membolehkan anda kelua masuk dengan mudah .
Apa yang mengejutkan, Ketika saya melabuhkan punggung di kerusi belakang, bukan sahaja luas tetapi cukup selesa. Ini adalah satu kelebihan jarang yang ditemui kepada mana-mana hatchback yang bersaiz kecil.
Berdasarkan pemerhatian saya, dengan menyumbat tiga orang dewasa sebenarnya tidak menjadi masalah namun hakikatnya untuk keselesaan yang lebih sempurna, dua orang sudah memadai dan seorang kanak-kanak.
Selain itu, ketika membelek bahagian kabinnya, model ini sebenarnya hadir dengan kemasan tempat duduk kulit sintetik yang empuk, Ada penghawa dingin di belakang – satu kelebihan besar dan terdapat port pengecas USB di belakang.
Pendek kata, Proton e.MAS 5 cukup mesra penumpang belakang. Buat masa ini, kami yakin ruang dan keselesaan kabin akan memenuhi jangkaan ramai.
3. SANGAT PRAKTIKAL!
Apa yang paling win mengenai kereta ini adalah reka bentuk dalamanannya kerana ia menawarkan 32 ruang penyimpanan.
Melihat bahagian hadapannya, terdapat kotak sarung tangan termasuk di ruang pintu ruang simpanan di perehat tangan tengah dan bahagian konsol tengah. Turut hadir ialah dua pemegang cawan dan slot telefon pintar di hadapan perehat tangan.
Di belakang, terdapat poket belakang kerusi, ruang pintu, dan slot peranti yang terbina pada perumah ventilasi pendingin hawa belakang. Malah ada ‘laci’ bersaiz 28 liter di lantai tempat duduk belakang. Untuk apa ruang ini digunakan, kami tidak pasti.
Malah Proton e.MAS 5 juga dilengkapi pintu but berkuasa elektrik. Ruang butnya berkapasiti 375 liter dan ia boleh dibesarkan hingga 1,320 liter dengan merebahkan kerusi belakang. Tidak ketinggalan, ia turut mempunyai ruang simpanan depan (frunk) 70 liter.
4. SARAT DENGAN CIRI TEKNOLOGI
Bagi sebuah kereta kecil, e.MAS 5 menawarkan pelbagai ciri seperti panel instrumen digital interaktif 8.8 inci, dan skrin infotainmen tengah 14.6 inci yang besar. Ia dikuasakan cip automotif baharu dimana kedua-duanya dikatakan ‘terbaik dalam kelas’.
Skrin ini menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar selain tidak perlu mengemas kini perisian OTA. Turut menjanjikan ialah ‘Peta Pengecasan Langsung’ terbina dan sistem arahan suara dwibahasa.
Pemilik smart Automobiles dan e.MAS 7 pasti menghargai ciri peta tersebut, manakala sistem suara ini adalah hasil pembangunan ‘Aisyah’ iaitu sistem arahan suara dalam Bahasa Melayu yang turut ada pada Proton X50 facelift 2025.
Selain itu, terdapat kemudahan premium seperti kemasukan tanpa kunci, butang mula enjin, dan aplikasi sambungan telefon pintar.
5. PELBAGAI CIRI KESELAMATAN
Seperti sedia maklum, Proton kini turut menitikberatkan soal ciri keselamatan. Untuk itu, model ini juga diberikan enam beg Udara, brek ABS dan disertakan dengan ‘G-TCS’ – sistem kawalan cengkaman semua cuaca baharu.
Selain itu, terdapat 12 ciri ADAS yang membawakan pemanduan separa autonomi Tahap 2. Antaranya Kawalan Jelajah Adaptif (ACC), Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW), Brek Kecemasan Autonomi (AEB). Amaran Keluar Lorong (LDW) dan Bantuan Tukar Lorong (LCA).
Malah, terdapat juga, Pengesan Titik Buta, Amaran Pergerakan Kenderaan Hadapan (LVDA), Amaran Pelanggaran Belakang (RCW), Amaran Bukaan Pintu, Bantuan Brek Kecemasan dan banyak lagi.
6. KELAJUAN, JARAK EV BOLEH TAHAN?
Proton tidak mendedahkan banyak maklumat mengenai trenkuasa, prestasi, atau jarak pemanduan. Mereka hanya menonjolkan motor elektrik ‘11-dalam-1’ yang dipasang di belakang dan memacu roda belakang.
Sebagai rujukan, versi asal Geely di China menawarkan kuasa maksimum 116 HP dan 150 Nm, sekali gus membolehkan ia memecut dari 0-50 km/j hanya dalam 3.9 saat.
Bateri LFP daripada CATL turut digunakan, tetapi kapasiti tidak diumumkan. Versi Geely menawarkan pilihan 30.12 kWh atau 40.16 kWh. Versi lebih besar menjanjikan jarak 410 km mengikut CLTC, namun angka sebenar di dunia nyata mungkin lebih rendah. Pengecasan pantas DC pada 86 kW membolehkan cas 30-80% dalam 21 minit, manakala kelajuan pengecasan AC belum didedahkan.
Difahamkan, Proton akan mempamerkan e.MAS 5 menerusi jelajah khas ‘MISI 5’.
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/