- Berita
- EV
- Struktur Cukai Baharu Lebih Adil Untuk Pemilik Kenderaan Elektrik
Sebaik tempoh pengecualian cukai jalan kenderaan elektrik (EV) ditamatkan sehingga akhir 2025, pengguna EV di Malaysia akan mula dikenakan cukai dengan struktur baharu yang dikuatkuasakan bermula 1 Januari 2026.
Berita baik di sebalik penamatan cukai ini adalah kebanyakan model EV yang digunakan ramai akan dikenakan cukai jalan yang berpatutan, kurang daripada RM200 setahun, menyamai kadar yang dikenakan pada kereta petrol dan hibrid.
Perubahan Struktur Cukai Jalan Berdasarkan Kuasa Motor
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, pada Disember 2024 mengumumkan formula cukai baharu berdasarkan output motor elektrik kenderaan, yang menunjukkan penurunan kadar sehingga 85% berbanding struktur lama pra-2022.
Ini diharapkan dapat merancakkan lagi penggunaan EV dan dalam masa yang sama mengekalkan sistem progresif di mana model mewah berkuasa tinggi akan dikenakan kadar cukai yang lebih tinggi. Kadar cukai ini juga akan disemak semula setiap lima tahun untuk memastikan ia kekal adil dan mampan.
Perbezaan Kadar Cukai EV, Petrol & Hibrid
Portal berita, The Sun, melaporkan bahawa cukai jalan EV adalah dalam lingkungan antara RM20 hingga RM850 setahun, namun kebanyakan EV yang laris di pasaran Malaysia seperti Proton e.MAS 7, BYD Seal 6 EV dan MG S5 mempunyai kadar cukai bawah RM200.
Model berprestasi tinggi seperti Porsche Taycan, Tesla Model S dan Zeekr 7X mencapai kadar cukai RM850, memandangkan kuasa motornya yang tinggi. Sistem cukai ini agak berbeza dengan kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) yang bergantung kepada kapasiti enjin.
Menurut pakar pengangkutan, sistem pengiraan yang berbeza ini bagaimanapun berisiko menimbulkan kekeliruan pengguna, lebih-lebih lagi kerana kereta petrol dan hibrid kini semakin sukar dibezakan dengan kemajuan teknologi.
Sebagai contoh, Proton X70 1.5 liter hanya dikenakan cukai sebanyak RM120, hampir sama dengan kebanyakan EV. Kereta hibrid seperti Honda City RS dan Toyota Corolla Cross juga menawarkan prestasi tinggi dengan cukai tidak lebih dari RM200.
Tetapi, model berprestasi tinggi seperti Toyota GR Yaris 1.6 liter turbo yang menghasilkan lebih 250 hp dikenakan cukai jalan lebih rendah berbanding sesetengah model keluarga versi ICE, hibrid atau EV dengan prestasi yang lebih rendah.
Walaupun begitu, Presiden Kelab Pemilik EV Malaysia, Datuk Shahrol Halmi, masih melihat struktur cukai baharu ini satu langkah maju yang menjamin rakyat biasa tidak dikenakan penalti atas penggunaan EV dan pembeli kenderaan mewah pula memberi sumbangan lebih besar.
Bagaimanapun, pakar menegaskan Malaysia perlu bergerak ke arah model cukai berasaskan pelepasan gas yang lebih mencerminkan kesan terhadap alam sekitar, bukan dengan menggunakan dua parameter yang berbeza.
Baca: MOF Sahkan Pembatalan Cukai Barangan Bernilai Tinggi – Ini Strategi Alternatif...
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv