- Berita
- EV
- Chery iCaur V23 Sudah Tiba Di Thailand, Seterusnya Malaysia Pula
Chery iCaur elektrik V23 baru sahaja dilancarkan di Thailand dan ini memberi bayangan bahawa ia akan dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi.
Ini kerana foto intipan terkini mula yang tersebar di media sosial baru-baru ini. Imej tersebut dimuat naik di platform media sosial Threads hujung minggu lalu, menunjukkan dua unit iCaur V23 dilihat di sebuah hab pengecasan EV tempatan.
Apa menariknya, kedua-dua unit itu memakai nombor pendaftaran tempatan, menandakan bahawa ia telah didaftarkan secara rasmi di Malaysia.
Kemungkinan besar, kedua-dua unit ini sedang digunakan sebagai kenderaan ujian untuk tujuan kelulusan jenis kenderaan (VTA).
Ia adalah salah satu langkah terakhir sebelum sesebuah model dilancarkan secara rasmi. Kehadiran dua unit tersebut menunjukkan bahawa pelancaran rasmi mungkin akan dibuat dalam masa terdekat ini
Untuk makluman, model ini bersaiz lebih besar dan dijangka akan berada di atas model iCaur 03 yang dilancarkan bulan lalu.
Jika dibandingkan dengan model iCaur 03, iCaur V23 adalah 186 mm lebih pendek dengan panjang keseluruhan 4,220 mm, namun ia menawarkan jarak roda 20 mm lebih panjang iaitu 2,735 mm. Ia juga 5 mm lebih lebar (1,915 mm) dan 130 mm lebih tinggi (1,845 mm).
Versi yang dilancarkan di Thailand ditawarkan dalam dua pilihan, iaitu pacuan roda belakang (RWD) dan pacuan semua roda (AWD).
Varian RWD dilengkapi dengan satu motor elektrik yang mampu menghasilkan 136 PS dan 180 Nm, dikuasakan oleh bateri LFP 59.93 kWh.
Sementara itu, varian AWD menampilkan sistem dwi-motor yang lebih berkuasa dengan output 211 PS dan 292 Nm, serta dilengkapi bateri NMC 81.76 kWh yang lebih besar.
Kedua-dua versi menyokong pengecasan AC 6.6 kW, tetapi pek bateri yang lebih besar mempunyai kelebihan dengan kadar pengecasan pantas DC 104 kW.
Untuk itu, mengikut piawaian WLTP, ia menawarkan pemanduan sekitar 300 KM (RWD) dan 360 KM (AWD).
Dari segi harga, ia masih belum diumumkan secara rasmi. Namun, dijangka harga pelancarannya akan menyamai dengan model iCaur 03, yang dilancarkan bulan lalu dengan harga antara RM119,800 hingga RM129,800.
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/