- Berita
- Global
- Chery Tunjuk Ujian Perlanggaran, Guna Tiggo 9, Kesan Rempuhan Cukup Menakjubkan!
Chery Tunjuk Ujian Perlanggaran, Guna Tiggo 9, Kesan Rempuhan Cukup Menakjubkan!
Chery membuktikan tahap keselamatan keretanya dengan menggunakan dua Tiggo 9 ketika melakukan demonstasi ujian perlanggaran dari arah hadapan di Pusat Ujian Longshan, China, baru-baru ini.
Sebagai sebahagian daripada Ultimate Safety Exploration Tour, syarikat itu mengadakan demonstrasi dengan melakukan perlanggaran pada sudut 15 darjah di hadapan orang ramai dan wakil media.
Ia bertujuan untuk membuktikan sejauh mana kejuruteraan Chery telah berkembang apabila berdepan dengan salah satu senario perlanggaran paling mencabar dalam industri automotif.
Ujian small-overlap ini terkenal kerana tahap kesukarannya yang ekstrem. Tidak seperti perlanggaran hadapan biasa, hentakan kali ini mengelak daripada rangka utama dan mengenai bahagian yang lebih lemah pada kenderaan, menyebabkan struktur terdedah kepada tekanan lenturan dan kilasan yang tinggi.
Dalam ujian ini, kedua-dua kenderaan dipacu pada kelajuan 50 km/j sebelum dirempuh sesama sendiri iaitu bersamaan dengan sebuah kereta yang melanggar dinding pejal pada kelajuan sekitar 100 km/j.
Meskipun kesannya sangat kuat, kedua-dua unit Tiggo 9 mengekalkan bentuk asalnya dengan baik.
Ruang penumpang berada dalam keadaan baik tanpa sebarang herotan pada tiang A, B, atau C. Semua beg udara, termasuk beg udara lutut dan tirai sisi, berfungsi tepat seperti yang direka, manakala penegang tali pinggang keledar (pre-tensioner) diaktifkan serta-merta.
Sistem bahan api kekal tertutup rapat, dan keempat-empat pintu masih boleh dibuka selepas perlanggaran, memudahkan akses segera sekiranya ini merupakan kemalangan sebenar.
Malah, lampu kecemasan diaktifkan secara automatik untuk memberi amaran kepada lalu lintas berhampiran.
Ujian ini merupakan kemuncak kepada siri jelajah keselamatan Chery untuk membuktikan bahawa tuntutan keselamatan jenama ini berasaskan kepada hasil dunia sebenar, bukan sekadar data makmal.
Ketua jurutera Chery, Xu Youzhong, menjelaskan bahawa demonstrasi ini bertujuan untuk meniru situasi yang boleh berlaku dalam pemanduan harian.
“Pada sudut perlanggaran seperti itu, rasuk hadapan sahaja tidak mampu menyerap keseluruhan daya hentaman,” katanya.
Dengan menggabungkan ujian makmal serta cabaran dunia sebenar yang ekstrem, Chery sedang membina pemahaman yang lebih menyeluruh tentang bagaimana kenderaannya bertindak balas dalam situasi yang tidak dapat dijangka.
Semua ini merupakan sebahagian daripada falsafah jenama tersebut iaitu “Safety, for Family” dimana ia merupakan satu peringatan bahawa setiap inovasi teknologi mempunyai satu tujuan utama: melindungi nyawa manusia.
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/