- Berita
- Berita Auto
- APAD Gantung Lesen Aeroline – Berulang Kali Langgar Arahan

Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah menggantung operasi syarikat bas ekspres, Zulco Sdn. Bhd. yang beroperasi di bawah jenama Aeroline, selama 30 hari bermula 6 November sehingga 5 Disember 2025.
Tindakan tegas ini diambil setelah agensi tersebut mendapati syarikat berkenaan melakukan kesalahan berulang dalam penyalahgunaan lesen bas ekspres.
Menurut APAD, pemeriksaan yang dijalankan mendapati syarikat tersebut telah menyalahgunakan lesen bas ekspres dengan mengambil dan menurunkan penumpang di lokasi yang tidak dibenarkan.
“Bas syarikat juga dikesan dikesan beroperasi di luar terminal tanpa kebenaran APAD pada 3 Februari, 21 Mei dan 10 Oktober lepas," kata APAD dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Kesalahan ini melibatkan operasi bas di kawasan yang tidak diluluskan, menyalahi syarat lesen yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa. Tindakan syarikat ini bukan sahaja melanggar peraturan, malah turut menjejaskan sistem pengangkutan awam yang teratur.

Penggantungan Lesen Pengendali dan Permit Kenderaan syarikat tersebut dilakukan di bawah Seksyen 27 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010. Tindakan ini diambil kerana syarikat gagal mematuhi syarat lesen yang ditetapkan. Khususnya, syarikat didapati melanggar Perkara 16 dan Perkara 19, Syarat Am Keperluan Tahap Perkhidmatan Bas Ekspres
Ini bukan kali pertama syarikat berkenaan dikenakan tindakan penggantungan. APAD mendedahkan bahawa sebelum ini, agensi tersebut turut mengenakan tindakan penggantungan sementara terhadap dua buah bas milik syarikat itu.
Senarai penggantungan yang dikenakan terhadap syarikat sama:
- Penggantungan Pertama: 37 hari (3 April – 9 Mei 2025)
- Penggantungan Kedua: 30 hari (24 Julai – 22 Ogos 2025)
- Penggantungan Semasa: 30 hari (6 November – 5 Disember 2025)
Pada 21 Oktober lepas, Jawatankuasa Penggantungan dan Pembatalan Lesen telah memutuskan bahawa syarikat tersebut bersalah atas kesalahan berulang dan dengan itu mengenakan penggantungan Lesen Pengendali selama 30 hari sebagai hukuman.
Berikutan keputusan tersebut, Zulco Sdn Bhd tidak dibenarkan mengendalikan sebarang perkhidmatan di bawah Lesen Pengendali berkenaan sepanjang tempoh penggantungan 30 hari tersebut.
Ini bermakna syarikat tersebut perlu menghentikan sepenuhnya operasi bas ekspres mereka dalam tempoh yang ditetapkan.
Baca: Malaysia Gazette
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv