- Berita
- Global
- BYD Atto 2 DM-i PHEV Didedah, Boleh Gerak Sehingga 1,000KM, Ada Kemungkinan Masuk Malaysia
BYD Atto 2 DM-i PHEV Didedah, Boleh Gerak Sehingga 1,000KM, Ada Kemungkinan Masuk Malaysia

BYD Atto 2 DM-i yang merupakan SUV crossover plug-in hybrid (PHEV) membuat penampilan pertamanya di Eropah, baru-baru ini.
Ia hadir dalam dua varian iaitu Active dan Boost.
Difahamkan, BYD Atto 2 DM-i ini tampil dengan beberapa perubahan kecil dimana ia kini lebih panjang 20mm berbanding kembar BEV.
Dari segi dimensi, BYD Atto 2 DM-i berukuran 4,330 mm panjang, 1,830 mm lebar dan 1,675 mm tinggi manakala jarak roda pula 2,620 mm.
Perubahan yang dibuat pada dimensi ini adalah berikutan daripada bampar hadapan yang direka semula, selain ia kini menampilkan bukaan udara lebih besar dengan dua saluran udara menegak di kedua-dua sisinya.

Selain itu, versi PHEV turut menerima warna luaran khas Midnight Blue, selain terdapat logo DM-i baharu pada pintu belakang, untuk membezakannya daripada versi BEV.
Sebaliknya, antara yang dikekalkan ialah lampu belakang LED penuh dengan lampU signatur Mobius infinity ring, rim aloi dwi-jejari 17 inci, dan banyak lagi.


Walaupun digelar model peringkat permulaan, Atto 2 DM-i hadir dengan kabin yang cukup sempurna, luas serta dilengkapi dengan pelbagai ciri untuk memudahkan urusan si pemandunya.
Antaranya ialah skrin sentuh 12.8 inci dengan kawalan gerak isyarat untuk sistem penghawa dingin, kluster meter digital 8.8 inci, upholsteri kulit vegan untuk semua tempat duduk, lampu ambien, bumbung suria panoramik, pad pengecasan tanpa wayar dan banyak lagi.

Untuk ruang kargo, Atto 2 DM-i mendapat ruang but sedikit lebih besar iaitu 425 liter berbanding 380 liter pada versi BEV, dan ia boleh dibesarkan sehingga 1,335 liter dengan merebahkan tempat duduk belakang.


Mengenai trenkuasa, model ini hadir dengan dua pilihan rangkaian kuasa PHEV dimana kedua-duanya menggunakan enjin petrol 1.5-liter 4-silinder ‘Xiaoyun’ yang menawarkan kecekapan termal 43.04% serta mampu menghasilkan kuasa sehingga 98 PS.
Bagi varian tertingginya, enjinnya dipadankan dengan motor FWD tunggal yang mampu menghasilkan kuasa setakat 166 PS, sekali gus menjadikan ia mampu menghamburkan kuasa keseluruhan setakat 212 PS. I
Maka tidak hairanlah, SUV PHEV ini dikatakan mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j hanya dalam 7.5 saat serta mencapai kelajuan maksimum 180 km/j.

Dari segi bateri, varian Atto 2 DM-i Active dilengkapi dengan bateri 7.8 kWh yang mampu memberikan jarak elektrik sepenuhnya sehingga 39 km, serta jarak gabungan sehingga 929 km.
Sementara itu, varian Boost menerima bateri berkapasiti 18 kWh yang menawarkan jarak EV sahaja sehingga 90 km (WLTP), dengan jumlah jarak WLTP maksimum sehingga 1,000 km.


Untuk pengecasan, varian Active hanya menyokong pengecasan AC 3.3 kW, manakala Boost menyokong sehingga 6.6 kW AC.
Baterinya boleh dicas dari 15% hingga 100% dalam tiga jam. Bagaimanapun, hanya varian Boost menyokong fungsi Vehicle-to-Load (V2L) pada kadar 3.3 kW.
Dari aspek keselamatan, Atto 2 DM-i di Eropah dilengkapi pelbagai fungsi ADAS, termasuk Sistem Pemantauan Pemandu (DMS), Kawalan Jelajah Adaptif dan Pintar (ACC/ICC), Kawalan Had Laju Pintar dan Bantuan Kekal Lorong Kecemasan.
Malah terdapat juga ciri Bantuan Keluar Lorong (LDA), Pengesanan Titik Buta (BSD), Amaran Pintu Terbuka (DOW), Pengecaman Tanda Jalan (TSR), Brek Kecemasan Automatik (AEB), Amaran Pelanggaran Hadapan dan Belakang (FCW, RCW), Amaran Trafik Lintas Belakang (RCTA) dengan Brek Trafik Lintas Belakang (RTCB), dan banyak lagi.
Dikhabarkan, BYD Atto 2 DM-i akan mula dijual di Eropah pada penghujung 2026, dengan penghantaran pertama dijangka bermula sekitar musim bunga tahun depan untuk pasaran UK.
Memandangkan pasaran UK berada dalam senarai penerima SUV PHEV ini, terdapat kemungkinan tinggi bahawa Atto 2 DM-i juga akan memasuki pasaran global pemanduan kanan (RHD) lain seperti Thailand, Australia, dan juga Malaysia.
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/

