- Berita
- Global
- Nissan Navara 2026 Buat Kemunculan Rasmi, Kembar Triton Yang Lebih Garang
Nissan Navara 2026 Buat Kemunculan Rasmi, Kembar Triton Yang Lebih Garang

Nissan Navara 2026 buat kemunculan rasmi di Australia, negara di mana model ini dibangunkan.
Setelah lebih sedekad, Nissan akhirnya mendedahkan trak pikap Navara generasi terbaru minggu ini. Model yang diberikan kod casis 'D27' ini membuat kemunculan globalnya di Australia.
Jentera yang pada dasarnya adalah 'kembar' kepada Mitsubishi Triton generasi ketiga ini berkongsi kerangka ladder frame dan sistem trenkuasa diesel turbo 2.4 liter yang sama dengan model tersebut. Namun, Nissan telah berjanji untuk memastikan Navara kelihatan dan menawarkan pengalaman pemanduan yang berbeza daripada kembarnya itu.
Reka Bentuk Perisai Depan yang Lebih Menggerunkan

Tidak lagi menyembunyikan dirinya, kini kita dapat melihat sepenuhnya rekaan fascia hadapan yang berbeza, menampilkan gril eksklusif 'V-strut' Nissan, pencahayaan LED yang unik, di samping gaya bampar yang sangat berbeza berbanding Triton.
Pereka Nissan dilaporkan menghasilkan 'perisai hadapan' (front shield) dengan inspirasi rekaan bull bar untuk menyerlahkan lagi aura garang trak. Sisipan gril menampilkan motif 'V-strut' Nissan dalam versi lebih kecil.
Di bahagian belakang juga, sentuhan baharu terserlah di pelbagai sudut termasuk palang sport pada ruang kargo, lampu, pintu kargo dan bampar, berbeza sama sekali berbanding Triton.
Varian Pro-4X Kekal Yang Tertinggi, Hanya Kabin Berkembar






Varian tertinggi Nissan Navara Pro4X, tampil lebih garang dengan aksen merah menyala.
Varian tertinggi yang ditawarkan, Pro-4X, tampil menyerlah dengan aksen merah Lava Red. Di bawahnya pula terdapat varian ST-X yang diberikan sentuhan rekaan lebih sederhana dengan aksen perak.
Bagaimanapun, Navara generasi D27 baharu ini hanya ditawarkan dalam gaya badan kabin berkembar atau double-cab memandangkan lebih daripada 90% jualan model D23 Navara sebelum ini tertumpu pada versi kabin tersebut.
Enjin Sama, Dinamik Pemanduan Berbeza



Nissan Navara ST-X
Dari segi mekanikal, Navara D27 berkongsi enjin diesel turbo 4 silinder 2.4 liter yang sama seperti Triton. Bagi pasaran Australia dan New Zealand, sistem trenkuasa ini menghasilkan 201 hp dan tork 470 Nm. Transmisi automatik 6 kelajuan dan sistem pacuan empat roda (4WD) juga sama.


Navara D27 dikuasakan oleh enjin diesel turbo 4 silinder 2.4 liter yang dipadankan dengan sistem transmisi automatk 6 kelajuan, sama seperti Triton.

Hanya varian tertinggi, ST-X dan Pro-4X menerima sistem 'Super 4WD'. Varian lebih rendah didatangkan dengan sistem 'Easy 4WD.'
Untuk 4WD, varian terpilih mendapat sistem 'Easy 4WD' yang pintar. Sistem ini berupaya untuk beralih secara automatik kepada 4WD apabila memerlukan cengkaman yang lebih baik, dan kembali kepada pacuan roda belakang (2WD) ketika meluncur di lebuh raya bagi menjimatkan penggunaan bahan api. Selain itu, ia turut didatangkan secara standard dengan kunci pembeza belakang elektronik untuk prestasi pemanduan off-road yang lebih mantap.

Varian yang lebih tinggi seperti ST-X dan Pro-4X mendapat pakej 'Super 4WD'. Ini menawarkan mod julat tinggi sepenuh masa (full-time high-range mode) dengan pembeza tengah terbuka (open centre diff). Varian-varian ini turut mendapat manfaat daripada pembeza gelincir terhad Torsen dan tujuh mod pemanduan dan permukaan.
Perincian penting lain termasuk kapasiti tundaan dengan brek (braked towing capacity) sehingga 3,500 kg standard pada semua varian.
Baca: Nissan Navara Generasi Terbaru Dijamin "Tidak Akan Dipandu Seperti Sebuah Triton"
Kabin Lengkap Ciri Moden



Walaupun reka bentuk kabin ini secara asasnya mencerminkan model Triton, Nissan telah membuat perubahan pada motif warna di dalamnya. Ciri-ciri utama yang dimuatkan termasuk panel instrumen digital TFT 7 inci dan skrin sentuh tengah 9 inci yang menawarkan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto. Varian yang lebih tinggi turut dilengkapi dengan pad pengecasan tanpa wayar.
Fokus Terhadap Keselamatan
Dari segi keselamatan, model ini dilengkapi 8 beg udara, serta pakej keselamatan ADAS yang merangkumi kawalan jelajah adaptif, pengecaman tanda trafik, amaran keluar lorong, pemantauan titik buta, bantuan lorong kecemasan, brek kecemasan autonomi dan banyak lagi.
Nissan juga telah berusaha untuk membuat talaan semula dinamik pemanduan Navara. Pakar yang berpangkalan di Australia, Premcar, telah bekerjasama untuk memantapkan lagi kualiti pemanduan Navara di jalan raya dan off-road.
Perincian harga dan spesifikasi penuh akan didedahkan dalam suku pertama tahun hadapan. Selain Australia dan New Zealand, Nissan menyasarkan untuk memperkenalkan Navara 2026 di ASEAN, dengan Thailand sebagai pasaran utama.
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv