- Berita
- Teknologi
- Zeekr Lancar Kempen Pengumpulan Dana Untuk Naik Taraf Teknologi Bantuan Pemandu Canggih
Zeekr Lancar Kempen Pengumpulan Dana Untuk Naik Taraf Teknologi Bantuan Pemandu Canggih

Jarang kita dengar pengeluar kereta yang telah membina empayar gah menggunakan pembiayaan awam (crowdfunding) untuk pembangunan teknologi. Namun, inilah yang dilaporkan sedang diusahakan oleh jenama kenderaan elektrik (EV) mewah di bawah naungan Geely, Zeekr, di China baru-baru ini.
Melalui kempen pengumpulan dana ini, Zeekr dilaporkan menyasarkan untuk mengumpul modal yang diperlukan bagi membangunkan perisian (software) dan perkakasan (hardware) bagi menaik taraf Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) yang dipasang pada model EV Zeekr 001 dan 009 versi terdahulu, iaitu model tahun 2024 (2024MY).
Sasaran Dana & Pakej Naik Taraf




Zeekr mengumumkan kempen ini melalui laman Weibo rasmi mereka, menjemput pelanggan yang berminat untuk mendaftar dari 24 November hingga 24 Disember tahun ini. Syarikat itu menyasarkan sekurang-kurangnya 3,000 peserta untuk naik taraf model 001, dan tambahan 1,500 peserta bagi model 009.
Sebagai pulangan, pelanggan yang menyertai program ini akan menerima manfaat melalui pakej naik taraf bersubsidi. Harga subsidi berjumlah RMB13,500 (~RM7,858) untuk model 001 dan RMB18,500 (~RM10,768) untuk 009. Tanpa subsidi yang akan diberikan dalam bentuk baucar ini, pakej naik taraf tersebut sebenarnya berharga jauh lebih tinggi, masing-masing berharga RMB33,500 (~RM19,500) dan RMB38,500 (~RM22,410).
Lonjakan Kuasa Komputer Dari 48 TOPS Kepada 700 TOPS

‘Intipati’ naik taraf yang ditawarkan ini adalah penggantian sistem Mobileye EyeQ5H berkapasiti 48 trilion operasi setiap saat (TOPS) yang digunakan pada model 001 dan 009 2024MY, kepada sistem baharu jenama itu, G-Pilot H7. Sistem G-Pilot H7 ini dibangunkan di atas binaan Nvidia Drive Thor-U, yang mampu memberikan kuasa pengkomputeran sehingga 700 TOPS.
Lonjakan besar dalam kuasa pengkomputeran ini memerlukan perubahan perkakasan yang drastik, termasuk penggantian cip, pendawaian semula abah-abah (rewiring harnesses), dan penyusunan semula sistem. Khususnya untuk model 001, naik taraf ini memerlukan penggantian 60 komponen, yang turut memerlukan tenaga kerja lebih 20 jam untuk disiapkan.
Manfaat Pemanduan Autonomi Baharu
-full.jpg)
Meskipun kos tinggi dan usaha yang intensif diperlukan, pemilik Zeekr yang mengambil bahagian akan mendapat manfaat yang sangat berbaloi kerana EV mereka akan dinaik taraf dengan ciri-ciri autonomi berkuasa tinggi yang baharu, seperti:
- Navigation Zeekr Pilot (NZP): Ciri pemanduan autonomi berkelajuan tinggi.
- Hone Zone Park Assist (HPA): Bantuan parkir di zon rumah.
- General Automated Evasion System (G-AES): Sistem pengelakan automatik umum.
Kesemua fungsi ini memerlukan kuasa pengkomputeran ultra tinggi yang disediakan oleh sistem G-Pilot H7 baharu. Walaupun melibatkan usaha pendanaan, sumber di China melaporkan bahawa Zeekr masih menanggung sebahagian besar kos pembangunan dan perbelanjaan, di mana syarikat itu dikatakan mengeluarkan belanja kira-kira RMB200 juta (~RM116 juta) untuk membangunkan dan membuat pengesahan pakej ini.
Baca: Zeekr 7X Kini Rasmi Di Malaysia – Dari RM179,800

Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv