- Berita
- EV
- Zeekr X, MG MGS5 EV Raih ASEAN NCAP 5 Bintang – Buktikan EV Terbaru Semakin Selamat
Zeekr X, MG MGS5 EV Raih ASEAN NCAP 5 Bintang – Buktikan EV Terbaru Semakin Selamat


Dua model SUV elektrik terbaru telah menerima penarafan tertinggi daripada Program Penilaian Kereta Baharu untuk Negara Asia Tenggara (ASEAN NCAP) di bawah protokol penilaian 2021–2025. Zeekr X dan MG MGS5 EV berjaya meraih penarafan penuh sebanyak 5 bintang, membuktikan piawaian keselamatan yang semakin baik dalam kalangan kenderaan elektrik (EV) generasi baharu yang memasuki pasaran serantau.
Keputusan ini menunjukkan Zeekr X dan MG MGS5 EV telah mempamerkan prestasi keselamatan yang cemerlang dalam kesemua empat kategori ujian iaitu Perlindungan Pemandu & Penumpang Dewasa (AOP), Perlindungan Penumpang Kanak-Kanak (COP), Bantuan Keselamatan (SA) dan Keselamatan Penunggang Motosikal (MS). Dalam ujian ini, Zeekr X mendahului dengan skor keseluruhan 94.64 mata, manakala MG MGS5 EV mengikuti rapat dengan 92.39 mata.
Perlindungan Penumpang Terbaik Dalam Kelasnya


Dalam kategori Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP), kedua-dua EV ini menunjukkan kekuatan struktur yang luar biasa:
- Zeekr X: Model ini mencatatkan skor penuh 32.00 mata dalam AOP. Sel penumpangnya kekal stabil semasa ujian hentaman offset hadapan, menawarkan perlindungan yang baik kepada kedua-dua penumpang depan. Ia dilengkapi tujuh beg udara, termasuk beg udara lutut pemandu.
- MG MGS5 EV: EV ini menerima 30.32 mata dalam AOP. Dalam ujian, model ini mengekalkan struktur yang stabil, memberikan perlindungan yang mencukupi pada bahagian kaki bawah. Menariknya, MGS5 EV (untuk pasaran Malaysia dan Singapura) turut dilengkapi dengan beg udara tengah.


Bagi Perlindungan Penumpang Kanak-Kanak (COP), Zeekr X mendahului dengan 43.70 mata, berbanding MGS5 EV yang memperoleh 43.33 mata. Kedua-dua model ini didatangkan standard dengan cangkuk penambat atas dan ISOFIX, manakala sistem sekatan kanak-kanak dari Joie, Maxi-Cosi, Britax dan Combi lulus ujian pemasangan tanpa sebarang masalah.
Sistem Bantuan Pemandu (ADAS) Komprehensif




Kedua-dua SUV elektrik ini mencatat pencapaian yang mengagumkan dalam kategori ujian Bantuan Keselamatan (SA), setelah masing-masing berjaya meraih 21.00 mata penuh. Ini membuktikan kelengkapan sistem ADAS mereka yang komprehensif:
- Sistem Standard: Kedua-dua model dipasang dengan Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Peringatan Tali Pinggang Keledar untuk semua penumpang dan Brek Kecemasan Autonomi (AEB) dengan fungsi City dan Inter-Urban.
- AEB Berfungsi Sempurna: ASEAN NCAP mengesahkan sistem AEB dalam kedua-dua model beroperasi dengan berkesan semasa senario brek kecemasan.
- Ciri Tambahan: Turut dimuatkan ialah Amaran Keluar Lorong (LDW), Bantuan Kekal Lorong (LKA) dan Amaran Perlanggaran Hadapan (FCW). Zeekr X menambah ciri unik iaitu Pengesanan Penumpang Tempat Duduk Belakang.
Keselamatan Penunggang Motosikal Turut Diberikan Perhatian
Dalam kategori Keselamatan Penunggang Motosikal (MS), kedua-dua Zeekr X dan MGS5 EV berjaya mencatat 14.00 mata. Skor ini diberikan berdasarkan fungsi-fungsi keselamatan seperti Sistem Pengesan Titik Buta (BSD), rekaan sistem perlindungan pejalan kaki dan fungsi Lampu Suluh Tinggi (AHB).
Zeekr X dan MG MGS5 EV masing-masing dihasilkan di China dan Thailand untuk pasaran eksport serantau. Zeekr X ditawarkan di Malaysia bermula dari RM155,800, manakala MG MGS5 EV bermula dari RM107,900.
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv