- Berita
- Global
- Semua Varian SUV Elektrik Lexus RZ Diberikan Ciri Baharu Di Jepun – Lebih Berkuasa & Efisien
Semua Varian SUV Elektrik Lexus RZ Diberikan Ciri Baharu Di Jepun – Lebih Berkuasa & Efisien

Selain pelancaran varian RZ600e F Sport, Lexus turut mengumumkan kemas kini besar-besaran bagi seluruh barisan ‘keluarga’ model RZ di Jepun. Model tahun 2026 bagi RZ350e Version L, RZ500e Version L dan RZ550e F Sport kini hadir dengan prestasi yang lebih mengancam serta tahap kecekapan tenaga yang lebih tinggi.
Lexus RZ 2026 Boleh Capai Jarak Perjalanan Lebih Jauh
RZ500e Version L
Lexus nampaknya berjaya mengerah potensi maksimum daripada bateri sedia ada (75 kWj dan 77 kWj). Hasil daripada pengoptimuman sistem, jarak perjalanannya kini lebih jauh sehingga mencecah antara 579 km hingga 733 km (mengikut varian).
Lexus turut menyertakan sistem pengecasan yang telah diberikan talaan semula (butiran teknikal belum didedahkan sepenuhnya) supaya tidak perlu menunggu lama menanti kenderaan dicas. Model ini kekal ditawarkan dalam versi motor tunggal (RWD) dan juga dwi-motor (AWD).
Varian F Sport Yang Sporty
RZ550e F Sport
Bagi mereka yang mahukan imej lebih garang, Lexus menawarkan varian F Sport yang diberikan pelbagai elemen sporty. Antara ciri yang mencuri tumpuan adalah penggunaan stereng yoke yang unik, persis jet yang diambil daripada model RZ600e.
Stereng ini disambungkan kepada sistem steer-by-wire iaitu teknologi kawalan elektrik tanpa sambungan mekanikal.
Naik Taraf Unik
Lexus menawarkan pakej tambahan yang sangat unik untuk mereka mendambakan aura pemanduan sebenar yang lebih sporty. Dengan tambahan ¥220,000 (~RM5,702), pembeli boleh mendapatkan pakej Performance Upgrade Boost + Interactive Manual Drive.
Sistem ini bukan sahaja meningkatkan output kuasa, malah memberikan simulasi penukaran gear manual yang sangat realistik. Ia direka untuk memberi tindak balas dan bunyi seolah-olah anda sedang memandu kereta berenjin petrol yang biasa untuk pengalaman pemanduan yang lebih imersif.
Adakah Model 2026 Ini Akan Masuk Ke Pasaran Malaysia?
Lexus RZ450e Luxury spesifikasi Malaysia ini ditawarkan bermula dari RM429,888.
Jangan menangis, sebab berita buruknya, walaupun model ini sangat menarik, terdapat beberapa faktor yang mungkin menghalang model ini daripada tiba di Malaysia:
- Isu Cukai 2026: Kerajaan Malaysia dijangka menamatkan insentif pengecualian cukai bagi EV import sepenuhnya (CBU) bermula Januari 2026. Ini akan menyebabkan harga EV CBU melonjak drastik.
- Status RZ450e Sedia Ada: Lexus Malaysia ketika ini menyenaraikan RZ450e Luxury pada harga RM429,888. Dengan tamatnya tempoh pengecualian cukai, kami menjangkakan model ini akan dikeluarkan daripada senarai jualan tidak lama lagi.
Buat masa ini, peluang untuk melihat Lexus RZ 2026 mendarat di pusat pameran Lexus Malaysia dalam masa terdekat adalah sangat tipis memandangkan kos import yang bakal menjadi terlalu tinggi.
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv











