- Berita
- Global
- Chery China Panggil Semula Tiggo 7 & Jaecoo J7, Versi Malaysia Selamat
Chery China Panggil Semula Tiggo 7 & Jaecoo J7, Versi Malaysia Selamat
-full_normal.jpg)
Gergasi automotif China, Chery, baru-baru ini telah mengumumkan pemanggilan semula sebahagian kecil unit dua model SUV. Langkah keselamatan ini dibuat selepas model terlibat didapati memiliki kecacatan teknikal yang boleh menjejaskan prestasi pemanduan.
Berdasarkan laporan CarNewsChina, pengumuman panggilan semula yang didaftarkan di bawah nombor S2026M0007V pada 23 Januari 2026 itu melibatkan unit yang dikilangkan antara April hingga Disember 2025. Namun, adakah pengguna di Malaysia turut terkesan?
Apakah Masalah Teknikal Yang Dikesan Pada Model Terlibat?
Isu utama yang dikenal melibatkan bahagian klip pengikat pendawaian unit kawalan elektronik (ECU) enjin. Dalam sesetengah kenderaan, klip tersebut didapati tidak dipasang dengan sempurna atau tidak diketatkan mengikut spesifikasi.
Jika dibiarkan, wayar tersebut boleh bergesel dan haus dalam tempoh jangka panjang. Dalam situasi ekstrem, ia boleh menyebabkan enjin mati secara tiba-tiba ketika kenderaan sedang bergerak, sekali gus mengundang risiko kemalangan.
Model Manakah Yang Terlibat Dalam Proses Panggilan Semula Ini?
Sebanyak 1,108 unit kenderaan terlibat di pasaran China, merangkumi:
- Chery Tansuo 06: Model yang dikenali secara global (termasuk Malaysia) sebagai Jaecoo J7.
- Chery Tiggo 7 1.6T: Termasuk varian Tiggo 7 Sport dan Tiggo 7 Plus di sana.
- Kedua-dua jentera ini menggunakan nadi 1.6 liter turbo (194 hp / 290 Nm) dengan transmisi klac berkembar (DCT) 7-kelajuan.
Adakah Kenderaan Chery Dan Jaecoo Di Malaysia Turut Terjejas?
Berita baik untuk pemilik tempatan, Chery Malaysia mengesahkan bahawa unit spesifikasi Malaysia sama sekali tidak terlibat dalam kempen panggilan semula ini.
Jurucakap syarikat menjelaskan bahawa semua kenderaan yang dijual di Malaysia dipasang secara tempatan (CKD) dan melalui kawalan kualiti pengeluaran yang sangat ketat.
Setiap unit menjalani prosedur pemeriksaan pra-penghantaran (Pre-Delivery Inspection) yang komprehensif sebelum sampai ke tangan pelanggan.
Sehubungan itu, Chery Malaysia memberi jaminan bahawa setiap kenderaan yang dipasang di dalam negara memenuhi piawaian kualiti yang ditetapkan, sekali gus mengesahkan pelanggan di Malaysia tidak terkesan dengan isu berkenaan.
Bagaimana Jaminan Keselamatan Untuk Pembeli Di Malaysia?
Walaupun isu di China tidak melibatkan Malaysia, Chery Malaysia tetap memberi jaminan bahawa ketenangan minda pelanggan adalah keutamaan mereka. Di Malaysia, barisan SUV ini didatangkan dengan pakej jaminan yang menarik iaitu sehingga 7 tahun atau 150,000 km bagi kedua-dua model, Chery Tiggo 7 yang dijual pada harga dari RM123,800 dan Jaecoo J7 dari RM138,800.
Sokongan waranti yang panjang ini membuktikan keyakinan jenama tersebut terhadap kualiti pemasangan dan komponen yang digunakan untuk pasaran tempatan.
Juga Menarik: Jangan Cas Lebih 70%! Volvo EX30 Dipanggil Semula Termasuk Malaysia
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv


-full_normal.jpg)



