- Berita
- EV
- Jangan Cas Lebih 70%! Volvo EX30 Dipanggil Semula Termasuk Malaysia

Berita penting buat pemilik Volvo EX30 di Malaysia. Jenama automotif dari Sweden tersebut telah mengeluarkan arahan pemanggilan semula model tersebut minggu ini. Langkah ini diambil susulan penemuan risiko kebakaran yang berpunca daripada pek bateri NMC 69 kWj pada model berkenaan.
Walaupun kes ini dilaporkan sangat jarang berlaku, langkah berjaga-jaga ini adalah prosedur standard Volvo demi memastikan keselamatan pengguna kekal di tahap tertinggi.
Apakah Punca Sebenar Risiko Kebakaran Ini?
Bateri yang dibekalkan oleh firma dari China, Sunwoda Electronic, dilaporkan mempunyai kemungkinan kecacatan pada sel bateri tertentu. Kecacatan ini boleh mengakibatkan suhu bateri meningkat secara mendadak atau overheating apabila ia dicas sehingga ke tahap kapasiti tinggi. Keadaan panas melampau ini berisiko mencetuskan kebakaran pada unit bateri tersebut.
Sejauh Mana Pengguna Volvo EX30 Perlu Risau?
Walaupun wujud risiko, Volvo mengesahkan kes ini sangat jarang berlaku, merangkumi hanya 0.02% daripada unit yang terlibat dalam panggilan semula.
Tiada sebarang laporan kecederaan atau kematian diterima setakat ini. Volvo memberi jaminan bahawa langkah keselamatan sedang diambil untuk melindungi semua pemilik kenderaan mereka
Apa Yang Perlu Dilakukan Oleh Pemilik EX30 Di Malaysia?
Carz.com.my difahamkan, Volvo Car Malaysia (VCM) sudah sedia maklum mengenai isu ini dan akan mengeluarkan notis rasmi kepada pemilik yang terjejas dalam masa terdekat. Sementara menunggu panggilan rasmi, pemilik dinasihatkan untuk:
- Hadkan Pengecasan: Jangan cas bateri melebihi 70%.
- Buat Tetapan Tahap Cas: Anda boleh menetapkan had pengecasan ini dengan mudah melalui skrin infotainmen di dalam kereta.
Semua unit EX30 yang dijual secara rasmi oleh VCM dilindungi oleh waranti bateri selama 8 tahun atau 160,000 km.
Juga Menarik: Volvo EX60 2026 Sah Masuk Malaysia – Capai 810 KM!
Adakah Kedua-Dua Versi CKD Dan CBU Terlibat?
Untuk makluman pembaca, Volvo EX30 mula dilancarkan di Malaysia pada September 2024 sebagai unit import sepenuhnya (CBU). Kemudian, pada Januari 2025, versi pemasangan tempatan (CKD) pula diperkenalkan.
Proses pemanggilan semula ini dijangka akan melibatkan unit yang dikenal pasti menggunakan kumpulan bateri daripada pembekal yang sama, tanpa mengira status pemasangannya.
Bagaimana Pula Dengan Nasib Smart #1, #3 Dan Zeekr X?
Ini adalah persoalan yang sedang bermain di fikiran. Oleh kerana smart #1, smart #3 dan Zeekr X berkongsi platform SEA2 yang sama (pembangunan Geely) dan menggunakan pek bateri daripada pembekal Sunwoda yang sama, adakah model-model ini turut terkesan.
Setakat ini, belum ada pengesahan rasmi sama ada jenama tersebut akan membuat arahan pemanggilan semula yang sama atau tidak.
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv






