- Berita
- Kereta Baru
- Volvo ES90 2026 Rasmi Di Malaysia – CKD, Cecah 651 KM, Dari RM339K
Volvo ES90 2026 Rasmi Di Malaysia – CKD, Cecah 651 KM, Dari RM339K

Volvo Car Malaysia (VCM) hari ini secara rasmi melancarkan sedan elektrik (EV) flagship terbaru, Volvo ES90 2026. Menariknya, model ini hadir sebagai unit pemasangan tempatan (CKD), membolehkannya ditawarkan pada harga yang kompetitif.
Tampil dengan rekaan minimalis Scandinavia yang elegan, Volvo ES90 ditawarkan dalam hanya satu varian berbanding tiga varian yang ditawarkan di pasaran global. Versi yang ditawarkan ialah Volvo ES90 Ultra - Single Motor Extended Range pada harga RM 339,888 (atas jalan).
Sejauh Mana Kehebatan Prestasi Dan Jarak Perjalanan EV Volvo ES90?
Volvo ES90 Ultra - Single Motor Extended Range dikuasakan oleh bateri berkapasiti 88 kWj yang apabila dicas penuh boleh mencapai jarak perjalanan maksimum 651 km (WLTP). Kuasa yang dihamburkan oleh motor elektriknya ialah 333 hp dan tork 480 Nm. Pecutan 0-100 km/j boleh dibuat dalam masa sepantas 6.6 saat.
Menariknya, ia menggunakan binaan elektrikal 800 volt yang membolehkan pengecasan pantas DC sehingga 350 kW. Masa yang diambil untuk dicas dari 10% ke 80% hanyalah 22 minit sahaja. Sementara itu, dengan pengecas wallbox atau AC 11 kW, masa yang diambil adalah kira-kira 10 jam.
Apakah Yang Menarik Dari Segi Rekaan Volvo ES90?
Walaupun mengekalkan profil sedan tiga kotak yang elegan, Volvo ES90 tampil lebih berani dengan elemen moden yang menggabungkan ciri liftback dan bumbung aerodinamik. Menariknya, ia mempunyai jarak kelegaan tanah yang sedikit tinggi, memberikan imej seakan sebuah crossover mewah.
Identiti ikonik Volvo diperkukuh menerusi lampu hadapan LED bermotifkan ‘Tukul Thor’ serta lampu belakang LED berbentuk ‘C’ yang cukup menyerlah. Bagi mengoptimumkan kecekapan angin, ia dilengkapi pemegang pintu jenis terbenam serta rim aloi gergasi bersaiz 22 inci dengan 5 jejari berwarna hitam berkilat.
Dari segi dimensi, ES90 mempunyai ukuran fizikal seperti berikut:
- Panjang: 5,000 mm
- Lebar: 1,942 mm
- Tinggi: 1,546 mm
- Jarak Roda: 3,102 mm
Saiz ini meletakkan Volvo ES90 sebagai pesaing kepada model elektrik premium lain seperti BMW i5 dan Mercedes-Benz EQE di pasaran Malaysia.
Antara ciri luaran lain termasuklah Bumbung Matahari Panoramik Elektrokromik (boleh dilaraskan ketelusannya) dan tingkap berlapis (laminated windows) untuk kesenyapan kabin maksimum.
Apakah Kecanggihan & Ciri Mewah Yang Disematkan Dalam Kabin Volvo ES90?
Melangkah masuk ke ruang kabin, anda akan disambut oleh suasana "Scandi-Luxe" yang sarat dengan teknologi digital:
- Sistem Digital: Skrin tengah 14.5 inci, Head-up Display (HUD), dan sokongan Wireless Apple CarPlay. Perkhidmatan Google (Maps, Assistant, Play Store) disertakan percuma selama 5 tahun.
- Keselesaan Maksimum: Kerusi hadapan dan belakang mempunyai fungsi ventilasi (pengudaraan), manakala kerusi hadapan turut dilengkapi fungsi urutan dan memori.
- Sistem Audio: Peminat muzik akan dimanjakan dengan sistem audio Bowers & Wilkins High Fidelity yang sangat imersif.
Bagaimanakah Tahap Keselamatan "Safe Space Technology" Volvo?
Sebagai jenama yang sinonim dengan keselamatan, Volvo ES90 dilengkapi dengan teknologi canggih iaitu pakej lengkap Safe Space Technology merangkumi Pilot Assist dengan bantuan tukar lorong, amaran pembukaan pintu, perlindungan pelanggaran dari semua arah dan sebagainya.
Apakah Pilihan Warna Yang Tersedia Untuk Pasaran Malaysia?
Volvo menawarkan tujuh pilihan warna eksklusif yang menyerlahkan lagi garis badan sepanjang 5,000 mm model ini iaitu Vapour Grey, Crystal White, Denim Blue dan Onyx Black.
Apakah Promosi Yang Ditawarkan Sempena Pelancaran?
Model ini dipasang secara tempatan (CKD) di Shah Alam, dan ditawarkan pada harga RM339,888. Sempena pelancaran, VCM menawarkan insentif untuk 100 pembeli terawal, dengan potongan sebanyak 2% daripada harga asal, sehingga 31 Mac 2026.
Setiap pembelian didatangkan dengan waranti kenderaan selama 5 tahun tanpa had perbatuan dan waranti bateri BEV selama 8 tahun atau 160,000 km.
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv









