- Berita
- EV
- Proton e.MAS Mengganas Di Awal 2026! Serah Lebih 100 Unit Sehari
![]()
Jenama kenderaan tenaga baharu (NEV) nasional, Proton e.MAS, memulakan tahun 2026 dengan langkah kanan apabila mencatatkan angka penyerahan kenderaan yang cukup luar biasa bagi bulan Januari. Berdasarkan perkongsian di laman media sosial rasmi mereka, sebanyak 3,276 unit telah berjaya diserahkan kepada pelanggan sepanjang bulan lalu.
Jika dikira secara purata, angka ini bermakna lebih daripada 100 unit kenderaan Proton e.MAS keluar dari bilik pameran setiap hari. Pencapaian ini sekali gus memberi isyarat bahawa penerimaan rakyat Malaysia terhadap jenama elektrik nasional ini semakin memuncak.
Sejauh Mana Peningkatan Jualan Proton e.MAS Berbanding Tahun Lalu?
Peningkatan yang dicatatkan pada Januari 2026 merupakan satu lonjakan yang cukup tinggi jika dibandingkan dengan prestasi yang dicatatkan pada hujung tahun 2025.
Angka 3,276 unit pada Januari tahun ini adalah hampir tiga kali ganda berbanding 1,106 unit yang direkodkan pada Disember tahun lalu, berdasarkan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Menariknya, jumlah penyerahan bagi bulan Januari sahaja sudah menyamai kira-kira satu pertiga daripada keseluruhan jualan tahun 2025 yang berjumlah 9,336 unit.
Untuk makluman pembaca, daripada keseluruhan jualan tahun lalu, sebanyak 8,677 unit adalah untuk pasaran tempatan manakala 659 unit lagi telah dieksport ke luar negara.
Model Manakah Yang Mencuri Jiwa Rakyat Malaysia?
Walaupun data rasmi daripada JPJ bagi pecahan model Januari 2026 belum dikeluarkan, model terlaris PRO-NET dijangkakan Proton e.MAS 5. Syarikat tersebut sebelum ini mengesahkan bahawa tempahan e.MAS 5 telah pun melebihi 10,000 unit sehingga hujung tahun lalu. Harga yang kompetitif dan saiz yang praktikal menjadikannya pilihan ramai peminat EV di Malaysia.
Juga Menarik: Betul Ke EV Lagi Murah? Ini Analisis Kos Pemilikan Proton e.MAS 5 Selama 10 Tahun!
Adakah Proton e.MAS 7 PHEV Bakal Menjadi Pencetus Fenomena Baharu?
Belum lagi reda kehangatan jualan Januari, Proton e.MAS sudah bersedia untuk melancarkan model ketiganya, Proton e.MAS 7 PHEV, pada 4 Februari ini (Rabu).
Apa yang anda perlu tahu tentang model ini:
- EV Dwi-Kuasa Pertama Negara: Ini merupakan model hibrid plug-in (PHEV) pertama daripada Proton, menggabungkan kecekapan motor elektrik dengan kuasa enjin petrol.
- Anggaran Harga: Tempahan kini telah dibuka dengan harga sasaran antara RM110,000 hingga RM130,000.
- Segmen SUV: Model ini dijangka akan bersaing sengit dalam pasaran SUV segmen C versi hibrid.
Juga Menarik: Jangan Risau, Proton e.MAS 7 PHEV Boleh Gerak Lebih 1,100 KM

Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv



