- Berita
- Berita Auto
- Proton Saga MC3 2026 Masuk Brunei, Ada 2 Varian, Harga Bermula Hanya RM52,000
Proton Saga MC3 2026 Masuk Brunei, Ada 2 Varian, Harga Bermula Hanya RM52,000

Susulan pelancaran berjaya All-New Proton Saga di Malaysia, Proton International Corporation Sdn. Bhd. (PICSB) kini memperkenalkan Proton Saga MC3 2026 di Brunei Darussalam sebagai pasaran antarabangsa pertama.
Bagi pasaran Brunei, All-New Proton Saga ditawarkan seperti berikut:
• Varian dan Harga: Executive: B$16,800 | Premium: B$18,800.
• Tawaran Awal: Diskaun B$500 untuk 100 pelanggan terawal.
• Pakej Servis: Waranti lima tahun atau 150,000 km serta tiga kali servis percuma upah buruh.
Pengenalan ini mencerminkan kedudukan Brunei sebagai rakan luar negara utama PROTON, selain menjadikan Saga model kedua dilancarkan di negara itu pada tahun 2026 selepas Proton X50 pada 15 Januari.

Ketua Pegawai Eksekutif, Proton International Corporation Sdn. Bhd. (PICSB), Edmund Lim Meng Thong berkata, pelancaran All-New Proton Saga di Brunei mencerminkan hasrat PROTON untuk meningkatkan volum eksport dengan memperkukuh kehadiran dalam segmen peringkat permulaan di pasaran serantau.
"Dengan memanfaatkan teknologi proprietari seperti platform AMA, kami menyasarkan peningkatan pegangan pasaran di ASEAN serta memperkukuh strategi pertumbuhan berteraskan eksport selaras dengan matlamat jangka panjang syarikat,”katanya dalam satu kenyataan.
Sebagai model eksport pertama yang dibina berasaskan platform Advanced Modular Architecture (AMA), All-New Proton Saga menerima penambahbaikan dari segi struktur, keselamatan dan keterhubungan, termasuk enam beg udara serta unit infotainmen bersaiz 12 inci.
Penambahbaikan ini memperkukuh daya saing model tersebut dalam segmennya, selari dengan peranan eksport sebagai pemacu utama pertumbuhan masa hadapan PROTON.
Platform AMA turut mencerminkan komitmen PROTON terhadap pembangunan kejuruteraan tempatan dan pembuatan bernilai tinggi. Disokong pembangunan Automotive High-Tech Valley (AHTV), PROTON sedang memperkukuh asas pembuatan dan rantaian bekalan berteknologi tinggi bagi memposisikan Tanjong Malim sebagai hab automotif pemanduan sebelah kanan utama di rantau ini untuk pembangunan kenderaan generasi baharu.
Dengan lebih 20,000 unit telah didaftarkan sejak pelancarannya di Malaysia, prestasi All-New Proton Saga memberi keyakinan untuk pengembangannya ke pasaran Brunei.
Momentum ini turut disokong oleh pertumbuhan eksport PROTON yang merekodkan 6,000 unit tahun lalu, selaras dengan sasaran menjadikan eksport menyumbang 30 peratus daripada jumlah jualan menjelang 2030 serta memperluas kehadiran ke sekurang-kurangnya 32 negara.
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/