- Berita
- Berita Auto
- 4 Remaja Jerut, Belasah Pemandu Grab Sebab Tambang

Kejam dan tidak masuk akal! Hanya kerana tidak mempunyai wang untuk membayar tambang, sekumpulan empat remajatermasuk dua gadis bawah umurtergamak bertindak ganas menjerut dan membelasah seorang pemandu e-hailing wanita dalam satu kejadian ngeri di Kuala Sungai Baru, Alor Gajah Khamis lalu.
Dalam kejadian hitam sekitar jam 12.30 tengah malam itu, mangsa yang berusia 41 tahun bukan sahaja trauma, malah mengalami kecederaan parah termasuk lebam, bengkak pada badan, serta kesan jerutan yang jelas di lehernya.
Diarah Pusing Laluan Sama Sebelum Diserang
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar mendedahkan, segalanya bermula apabila mangsa mengambil kesemua suspek (dua remaja lelaki berusia 15 dan 17 tahun, serta dua remaja perempuan berusia 14 tahun) menerusi aplikasi Grab di Bukit Rambai untuk dihantar ke pekan Kuala Sungai Baru.
Bagaimanapun, pemandu wanita itu mula dihantui detik cemas apabila suspek mengarahkannya menukar laluan dan berhenti sebanyak dua kali di jalan yang sama sepanjang perjalanan.
"Setiba di kawasan berhampiran hutan di Kuala Sungai Baru, salah seorang suspek meminta mangsa memberhentikan kenderaan dengan alasan mahu mencari seseorang, selain memberi alasan tidak mempunyai wang untuk membayar tambang secara dalam talian," katanya.
Detik Cemas: Diperangkap Dalam Kereta
Suasana bertukar menjadi 'neraka' buat mangsa apabila tiga daripada suspek tiba-tiba bertindak agresif seperti dirasuk:
Suspek lelaki (17 tahun): Bertindak menjerut leher mangsa dari arah belakang dengan kuat.
Dua remaja perempuan (14 tahun): Menyerang dengan memukul mangsa menggunakan batang besi serta menarik rambutnya bertubi-tubi.
Ugutan kejam: Mangsa turut diugut supaya mendiamkan diri dan dilarang meminta pertolongan.
Seorang lagi remaja lelaki berusia 15 tahun bagaimanapun dilaporkan sempat melarikan diri dari lokasi kejadian sebelum serangan bermula.
Keberanian Mangsa Meloloskan Diri
Walaupun sedang menahan kesakitan akibat dipukul di bahagian hidung, leher, dan kedua-dua belah tangan, mangsa mengumpul sisa kekuatan yang ada. Dia berjaya melepaskan diri daripada cengkaman suspek dan terus memecut kenderaannya keluar dari kawasan hutan keras itu untuk mendapatkan rawatan di hospital serta membuat laporan polis.
Padah Menanti Suspek
Menolak tepi faktor usia mereka yang masih mentah, pihak polis bertindak pantas menahan kesemua suspek. Mereka kini direman di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau benda berbahaya. Jika sabit kesalahan, hukuman penjara dan sebatan menanti mereka.
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/
