- Berita
- Berita Auto
- KLIMS 2026: Jetour G700 Malaysia Bakal Buat Kemunculan Di KLIMS 2026
KLIMS 2026: Jetour G700 Malaysia Bakal Buat Kemunculan Di KLIMS 2026

Pasaran SUV premium dan lasak di Malaysia nampaknya bakal menerima sebuah lagi 'raksasa' jalanan yang tidak boleh dipandang remeh.
Terbaharu, Jetour Auto Malaysia secara rasmi telah memuat naik sebuah video acahan (teaser) ringkas di platform media sosial mereka, sekali gus memberi bayangan jelas mengenai ketibaan model flagship terbaharu mereka, Jetour G700.


"Surprise, surprise! There’s more than 1 new exciting event to look forward to at KLIMS2026," tulis kapsyen hantaran video berkenaan.
Hantaran tersebut menjadi pengesahan bahawa Jetour G700 bakal membuat penampilan rasmi pertamanya di Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS 2026) tidak lama lagi!
Reka Bentuk 'Boxy' Yang Agresif & Sasa
Bagi mereka yang menggemari imej SUV tegap dan 'macho', Jetour G700 pastinya mudah memikat pandangan. Ia menampilkan rekaan SUV berkotak (boxy) tegap yang digabungkan dengan elemen gaya off-road yang sangat agresif.
Menjengah ke bahagian luaran, kehadiran model ini di atas jalan raya pasti sukar diabaikan berikutan:
Gril hadapan mega yang dipadankan dengan lampu utama LED berbentuk segi empat.
Pelindung bawah badan (skid plate) rekaan agresif untuk perlindungan pemanduan lasak.
Rim gergasi 20 inci yang dibalut tayar HT (Highway Terrain).
Penutup tayar gantian (spare tyre cover) ikonik yang dipasang pada pintu but belakang.
Saiz Gergasi: Lebih Besar Daripada Land Cruiser 300!
Sebagai sebuah SUV 4x4 bersaiz penuh (full-size), Jetour G700 dibina di atas casis ladder-frame yang sangat tegap. Dimensinya memegang rekod fizikal yang cukup menggerunkan:
| Dimensi | Jetour G700 |
| Panjang | 5,198 mm |
| Lebar | 2,050 mm |
| Tinggi | 1,956 mm |
| Jarak Roda | 2,870 mm |
Ukuran ini sekali gus menjadikannya lebih besar dan lebar berbanding pencabar terdekatnya seperti GWM Tank 500 mahupun model legenda Toyota Land Cruiser 300!
Walaupun luarannya tampak sasa dan bersedia untuk meredah hutan, bahagian kabin G700 menawarkan kemewahan bertaraf 'private jet'. Di pasaran global, ia hadir dengan konfigurasi tempat duduk dua atau tiga baris, termasuk susun atur 6-tempat duduk (2-2-2) yang mementingkan keselesaan premium bagi setiap penumpang.
Rangkaian Kuasa Menggerunkan: 904 PS / 1,135 Nm!
Jangan tertipu dengan saiznya yang seberat lebih 3 tan, kerana di sebalik bonet hadapan Jetour G700 tersembunyi sistem hibrid plug-in (PHEV) Kunpeng milik Chery.
Sistem ini menggabungkan enjin 2.0 liter turbo diesel empat silinder (208 hp / 340 Nm) bersama dua motor elektrik berkuasa tinggi serta Transmisi Hibrid Khusus (DHT) 2-kelajuan.
Gabungan mantap ini menghasilkan output keseluruhan yang sangat 'gila' iaitu:
Kuasa Maksimum: 904 PS (892 hp / 665 kW)
Tork Maksimum: 1,135 Nm
Pecutan 0-100 km/j: Hanya 4.6 saat!
Jarak Pemanduan Sehingga 1,400 KM!


Bukan sekadar laju, ia juga sangat efisien. Dibekalkan dengan pek bateri LFP berkapasiti 34.13 kWh daripada CATL, SUV ini mampu dipandu menggunakan mod elektrik sepenuhnya (EV Mode) sejauh 150 km.
Apabila bateri gergasi ini digabungkan bersama tangki bahan api berkapasiti 100 liter, Jetour G700 mampu mencatatkan jarak pemanduan keseluruhan sehingga 1,400 km (mengikut kitaran CLTC) sebelum perlu berhenti mengisi minyak atau mengecas semula. Malah, ia turut menyokong pengecasan pantas DC sehingga 170 kW yang mampu mengecas dari 30% ke 80% dalam masa 10 minit sahaja.
Adakah Jetour G700 bakal menjadi pencabar terhebat dalam segmen SUV mewah tempatan apabila dilancarkan nanti? Sama-sama kita nantikan kemunculan sulungnya di KLIMS 2026!
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/

