- Berita
- Berita Auto
- Perodua Beri Amaran Mengenai Scam Terbaharu!
Pengeluar kereta nasional terbesar di Malaysia, Syarikat Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) mengesan sekurang-kurangnya dua penasihat jualan palsu dan memberi amaran kepada para pelanggannya supaya berhati-hati.

“Kami mendapati sekurang-kurangnya dua scammer yang menyamar sebagai penasihat jualan Perodua meminta pelanggan untuk membuat bayaran tempahan atau wang pendahuluan ke dalam akaun bank peribadi,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad.
Tambah Zainal, Perodua kini sedang bekerjasama dengan polis berhubung kes penipuan itu.
“Kami ingin mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan semua pelanggan kami yang dihargai untuk hanya membuat sebarang pembayaran ke dalam akaun syarikat rasmi atau di kaunter cawangan-cawangan kami sahaja,” katanya.

Oleh itu, Perodua memberikan panduan semasa pembelian kenderaan Perodua baharu seperti di bawah:
| Boleh | Tidak Boleh |
Sila hubungi atau kunjungi Pusat Jualan Perodua yang sah untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai produk dan perkhidmatan kami, atau layari perodua.com.my atau mana-mana halaman media sosial rasmi kami di Facebook dan Instagram. | Jangan segera menerima tawaran, sama ada atas talian atau cetak, tanpa mendapatkan pengesahan maklumat terperinci daripada penasihat jualan dan servis Perodua yang sah, atau platform atas talian rasmi kami di www.perodua.com.my, Facebook dan Instagram. |
Sila layari laman web rasmi kami di www.perodua.com.my untuk mendapatkan senarai terkini dan tepat pusat-pusat jualan dan servis kami di seluruh negara beserta maklumat untuk dihubungi. | Jangan berikan maklumat peribadi anda seperti nombor akaun bank, alamat rumah dan nombor kad pengenalan tanpa memastikan individu yang berurusan dengan anda adalah kakitangan Perodua yang sah. |
Sila hubungi Pusat Khidmat Pelanggan kami di 1-800-88-6600 pada waktu pejabat, atau kemukakan pertanyaan anda di https://www.perodua.com.my/contact- us.html, sekiranya ada individu yang mendakwa diri mereka sebagai wakil jualan atau servis Perodua dan meminta anda membuat pembayaran ke dalam akaun peribadi. | Jangan membuat sebarang pembayaran, termasuk wang pendahuluan atau wang tempahan ke dalam akaun bank peribadi. Semua pembayaran mesti dibuat ke akaun syarikat sahaja. |
Gallery
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/