- Berita
- Pandu Uji
- Volvo XC40 Recharge Pure Electric 2022 - EV Pertama Volvo
Volvo XC40 Recharge Pure Electric 2022 - EV Pertama Volvo
Apabila menyebut mengenai pemanduan crossover kenderaan elektrik, apa yang terlintas di fikiran anda?
Adakah mengenai prestasi, reka bentuk atau ciri keselamatannya?
Untuk pengetahuan anda, pasukan media Caricarz mempunyai hasil keputusan tersendiri berdasarkan pengalaman pemanduan kami dengan Volvo XC40 Recharge Pure Electric.
Kami bernasib baik kerana dapat berpeluang menguji jentera baharu ini di Janda Baik, Pahang selama sehari baru-baru ini.
Pada mulanya, kesemua pasukan media dari pelbagai agensi di minta berkumpul di The Club Saujana Hotel, Ara Damansara.
Selepas selesai menikmati sarapan, kami diberi sedikit taklimat ringkas oleh Pengarah Urusan Volvo Car Malaysia, Charles Frump.
Sebagai tanda kenang-kenangan, sudah pasti sesi fotografi secara berkumpulan adalah wajib sebelum memulakan melakukan pandu uji.
Kami memulakan perjalanan dari Subang Jaya dengan menaiki model SX40 bewarna Crystal White Pearl yang sudah penuh dicas hampir 95 peratus.
Sebelum memulakan pandu uji, saya sempat menjengah bahagian hadapannya, saya mendapati XC40 ini menawarkan fasia dengan signatur gril hadapan, lampu hadapan dan belakang jenis LED.
Warna jentera serba putih ini dilihat lebih menyerlah dengan rim aloi bersaiz 19 inci.
Sebaik melangkah masuk ke bahagian tempat duduk pemandu, mata saya melirik ke arah kluster instrumen digital yang bersaiz 12.3 inci dan sistem infotainmen 9 inci yang menggunakan servis Google built-in.
Menyusun kaki di bahagian brek dan pedal, ia sebenarnya tidak mengambil masa yang lama untuk menyesuaikan diri dengan mod Pemanduan Satu Pedal kerana pemanduannya agak lancar.
Kami berhenti di satu perhentian dan ketika itu, kiraan bateri sebanyak 74 peratus. Kami menelusuri kawasan pembinaan di kawasan lebuh raya dimana jalan rayanya tidak rata namun pengendalian jentera ini dilihat agak baik dan tidak begitu bergegar.
Pasukan media kemudian meneruskan perjalanan ke Embun Villa, Janda Baik, Pahang untuk menikmati makan tengah hari.
Kawasan ini cukup menenangkan dan turut menawarkan pemandangan indah dimana ia sesuai dengan konsep Volvo dalam memulihara alam semula jadi.
Sebaik selesai berehat hampir satu jam, kami kemudian meneruskan perjalanan ke arah Genting Highlands.
Agak sedikit kaku menerokai selekoh tajam dan mendaki bukit yang agak cerum namun saya berterima kasih dengan ciri keselamatan Volvo.
Apa tidaknya, sistem bantuan kekal lorongnya membantu jentera crossover ini berada di dalamnya laluannya, setiap kali pemanduan saya susur keluar dari lorong.
Sistem radarnya cukup baik termasuk kamera 360 pandangan belakang kerana saya dapat melihat kesemua imej dari skrin digitalnya.
Ketika saya cuba memecut untuk merasai pecutan sebenarnya, penunjuk berwarna kuning dilihat sudah muncul.
Petunjuk itu keluar sebagai amaran apabila pemandunya memecut dengan laju.
Di sebalik pecutan jentera itu, saya dapat merasai ia tidak menghasilkan bunyi bising yang agak ketara.
Manakan tidak, sukar untuk mengetahui sama ada anda memandu laju atau tidak kerana kerana pemanduannya agak senyap biarpun meter kelajuan sudah menunjukkan pecutan110 meningkat kepada 120 kilometer sejam.
Selepas menghabiskan seharian di Genting Highlands, kami kemudian pulang semula ke Subang Jaya.
Ketika itu, kami bertukar pemandu dan dapatlah saya meluruskan kaki di bahagian belakang tempat duduk penumpang.
Saya mendapati bahagian belakangnya juga agak luas dan cukup selesa.
Terdapat juga tempat meletakkan kotak tisu dimana saya merehatkan lengan tangan dan turut disediakan tempat membuang sampah.
Bagi yang sudah berkeluarga dan mempunyai anak-anak kecil, saya berasa tempat membuang sampah ini sememangnya dapat dimanfaatkan dengan baik.
Sudah menjadi lumrah, bagi yang ada anak kecil kerana sering kali kita mendapati minuman akan tertumpah.
Maka, dengan adanya tempat membuang sampah ini, para penumpangnya boleh membersihkan kenderaan dengan mudah.
Terdapat juga wayarles Qi dan USB Port-C.
Malangnya, ia tidak mempunyai sokongan Apple Car Play namun ia tidak menjadi masalah kerana anda mempunyai sambungan Bluetooth dan Hey Google.
Kami juga tidak melepaskan peluang untuk membuka bahagian enjinnya.
Ketiadaan enjin pembakaran dalaman telah digantikan dengan motor elektrik berkembar dengan pek bateri berkapasiti 78 kWh.
Malah, XC40 Recharge Pure Electric ini dikatakan mampu menghamburkan kuasa 408 hp dan tork 660 Nm yang memacu semua roda!
Untuk makluman anda, jentera ini boleh dipandu sejauh 418 kilometer untuk sekali cas penuh.
Apa yang memeranjatkan ialah terdapat ruang penyimpanan barang di bahagian bonet hadapan.
Nampaknya, anda boleh menyimpan durian untuk mengelak bahagian kabin diselubungi bau yang kuat.
Menjengah bahagian belakangnya pula, ia menawarkan ruang but seluas 413 liter.
Ketika menyelongkar bahagian butnya untuk mencari tayar ganti, rupa-rupanya yang ada cuma kit baiki tayar.
Ya, anda kena terima hakikat bahawa jentera ini tidak mempunyai sebarang tempat untuk meletakkan tayar tambahan.
Sebaik kami sudah bersedia untuk pulang ke Subang Jaya, baterinya cuma tinggal 43 peratus selepas melakukan perjalanan sejauh 321 km.
Menurut tenaga pengajar XC40, perjalanan mereka cuma menelan belanja RM15.00 tanpa berhenti di mana-mana stesen pengecas.
Apapun, terima kasih kepada Volvo di atas sistem navigasi yang telah diubah suai.
Daya pecutan bukanlah yang kami cari namun tindak balas stereng yang agak pantas sudah memadai.
Harga jualan kenderaan ini masih belum didedahkan dan ia akan diumumkan pada 4 April nanti.
*Ini adalah pandangan peribadi penulis kami, Jessica Sendai yang mengikuti pandu uji XC40 baru-baru ini.
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Biarpun syarikat Utusan Melayu, tempat saya bekerja sudah ditutup namun semangat juang sebagai wartawan tetap mekar dalam sanubari