Link Copiedcheck_circle
Pandu Uji

Perodua Alza 2022: Dari Kaca Mata Seorang Ibu

Suhana Veru

Kongsi melalui


Pandangan keseluruhan Perodua Alza 2022

Seperti sedia maklum, Perodua Alza serba baharu 2022 kini menjadi model paling panas setakat tahun ini.

Terbaharu Perodua mengumumkan bahawa jumlah tempahan bagi Perodua Alza 2022 untuk bulan Ogos sahaja mencecah sehingga 26,039 unit.


Fuh, lain macam penangan Alza ini. Ramai betul peminatnya.

Jika sebelum ini, penulis hanya membaca laporan berita mengenai Alza di dada akhbar selain mendengar pengalaman rakan-rakan  media yang baru sahaja selesai melakukan tugasan “test drive”.

Sudah menjadi lumrah, ada yang berpuas hati dan tidak kurang juga ada komen-komen yang kurang enak didengar!

Apapun, kami di Caricarz  ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) kerana sudi meminjamkan Alza varian AV GearUp 2022 untuk beberapa hari bagi menyempurnakan tugasan pandu uji.


Alhamdullilah, pada 29 Ogos lalu, kunci Alza 2022 sampai ke tangan saya  selepas rakan setugas, Thoriq Azmi, mengambil varian paling tinggi itu dari ibu pejabat Perodua di Rawang, Selangor.

Inilah masanya, saya berpeluang melihat dan merasai pemanduan sebenar Alza.

Pandangan depan

Saya cukup tertarik dengan rekaaan bahagian hadapannya kerana ia kelihatan seolah-olah bukan kereta keluaran Malaysia.

Dengan adanya rekaan jeriji hadapan dengan elemen L, bampar agresif, serta spoiler bumbung di bahagian belakang, ia kelihatan lebih menonjol.


Jeriji hadapannya didatangkan dengan elemen L.

Apa tidaknya, bampar dan gril Alza kelihatan cukup menarik dan sesuai dengan badannya yang besar berbanding Alza lama. Malah, grilnya juga dilihat tidak saling tumpah seperti Daihatsu Xenia.


Lampu kabus.

Pendek kata, pandangan hadapannya kelihatan agak futuristik kerana lampu hadapan LED tersusun kemas ia dilengkapi dengan lampu nyalaan siang berwarna putih.


Lampu LED tersusun rapi.

Sepatutnya lampu nyalaannya berwarna kuning. Apapun, rekaannya luarannya cukup menyerlah.

Secara standard, ia juga menggunakan fungsi Follow-me-home dan Leaving Home.

Jentera ini juga digandingkan dengan lampu hadapan LED yang berbentuk tirus dan lampu signal belok yang berada di atas pula dilihat mengikuti peredaran trend rekaan terkini.


Menjengah di bahagian belakangnya pula, ia dipadankan dengan spoiler bumbung dan rekaan lampu belakang jenis mendatar.


Mengenai rodanya, ia menggunakan rim bersaiz 16 inci yang dibalut dengan tayar Toyo Proxes CR1 dengan saiz 195/60. 


Jenama tayar Toyo.

Untuk info, ia merupakan kali pertama tayar jenama Toyo digunakan oleh Perodua dalam barisan produk mereka. 

Difahamkan semua rim Alza sekarang diikat dengan menggunakan nut 5 lubang.

Penulis juga ingin memaklumkan kepada pembaca bahawa pelekat RFID Touch 'n Go turut dibekalkan bersama bagi setiap unit Alza baharu ini.

Jika diteliti dengan lebih dekat, ia  ditampal pada kiri cermin pada bahagian atas.


Pelekat RFID dilekat pada bahagian kiri.

Terdahulu, Perodua telah memudahkan pengguna dengan integrasi SmarTAG pada model Myvi namun, kali ini ia diganti dengan RFID.

Kabin 

Menjengah ke ruang dalamannya pula, ketika saya melabuhkan punggung ke tempat duduk pemandunya, saya berasa seolah-olah duduk di dalam sebuah kereta mewah.


Tempat duduknya yang dilengkapi dengan kemasan kulit dan fabrik dihiasi dengan tona berwarna keperangan.


Tempat duduk dibalut dengan kulit dan fabrik.

Tidak ketinggalan, di sekitar papan pemukanya, kesemuanya dihiasi dengan tona coklat sekali gus menimbulkan suasana yang agak mewah di bahagian pemandunya.

Ketika mata saya melirik ke bahagian infotainmen dan paparan meternya, adik saya tidak percaya ini kereta buatan Malaysia.


Dengan adanyanya, paparan infotainmen 9-inci pada varian 1.5 AV Perodua Alza 2022,  ia juga dilengkapi dengan sistem ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto.


Ada sambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

Jangan terkejut, sistem ini sudah menjadi seperti salah satu ciri yang wajib ada pada semua kereta moden ketika ini.

Lagipun ciri Apple CarPlay dan Android Auto ini sebenarnya amat  memudahkan saya terutama ketika hendak menggunakan aplikasi navigasi seperti Waze atau Google Maps.

Ini bermakna, pemandu tidak lagi perlu membeli pemegang telefon bimbit yang kadangkala tidak boleh berfungsi dengan baik.

Selain itu, anda juga akan menemui kluster instrumen TFT tujuh inci pada varian ini termasuk port USB pada bahagian depan dan belakang.

Bercakap mengenai ruangnya, lebih elok jika anda tahu mengenai ukuran kenderaan ini.


Alza terbaharu ini sepanjang 4,425mm. 

Alza generasi kedua ini sepanjang 4,425 milimeter (mm), setinggi 1,670mm dan 1,730 mm lebar.

Jadi, model baharu ini lebih panjang 205 mm 35 mm lebih lebar berbanding versi Alza lama.

Sebelum terlupa, Perodua ada mengatakan bahawa jarak kelegaan Alza ditingkatkan kepada 160mm sekali gus menjadikan ia memiliki ketinggian terbaik untuk sebuah MPV.

Berbalik kepada cerita ruang dalamannya, saya dan anak-anak berasa cukup selesa ketika berada di tempat duduk barisan kedua.


Gambaran keseluruhan tempat duduk di barisan kedua.

Berdasarkan dengan pengalaman menaiki Alza lama dengan yang baharu, saya berpendapat ruangnya lebih besar berbanding pendahulunya.

Kusyen tempat duduknya juga boleh ditolak ke depan atau belakang selain boleh dilipat dan dipusing ke depan bagi memudahkan penumpang masuk ke barisan tempat duduk barisan ketiga.


Mudah melangkah masuk ke bahagian belakang kerana ruangnya terbuka luas.

Ada juga perehat tangan di barisan kedua dan mujur ia ada pada semua varian Alza.

Menyentuh mengenai barisan ketiga, ia memang sesuai jika anda menempatkan anak-anak berusia dari lima hingga 10 tahun.

Komen anak saya, ruangan barisan ketiga memang cukup selesa buat mereka namun ia tidak sesuai bagi yang bertubuh gempal kerana ia agak sempit untuk mereka.


Di sebalik membelek ruang tempat duduknya, saya cukup tertarik dengan reka bentuk penghawa dingin di bahagian belakangnya kerana kelihatan agak moden memandangkan adanya ventilator udara dan tombol laras turut disediakan atas siling kabin.


Ruang but pula mampu memuatkan sehingga 137 liter apabila ketiga-tiga baris kerusi ditegakkan, namun dengan kerusi baris ketiga yang dilipat dengan nisbah 50:50, pemilik boleh memuatkan barangan sehingga 498 liter.

Ingat, jika anda nak naik Alza serba baharu ini, anda wajib pakai tali pinggang walaupun berada di barisan tempat duduk kedua dan ketiga. 

Ini kerana jika anda gagal berbuat demikian, ia akan mengeluarkan signal yang boleh mengenal pasti penumpang yang mana satu tidak memakai tali pinggang.



Sekurang-kurangnya terdapat lima signal untuk penumpang belakang.


 Pemanduan

Untuk pemanduan kali ini, penulis memilih untuk melakukan pandu uji ke Nilai, Negeri Sembilan sempena sambutan Hari Kebangsaan baru-baru ini.

Jika orang lain sibuk berkumpul di Dataran Merdeka, saya pula sibuk melakukan test drive bersama anak-anak.

Pertama sekali yang ingin saya mahu maklumkan ialah jentera ini tidak didatangkan dengan larasan stereng jenis teleskopik (hadapan dan belakang).

Sebaik saya menekan pedal minyaknya, rpm sudah melonjak, pick up jentera ini langsung tiada masalah dan sistem suspensinya juga agak seimbang dan tidaklah terlalu lembut sampai kereta terhuyung-hayang.

Ketika saya cuba menguji kelajuan paling tinggi, kabinnya agak senyap namun bunyi tayar kurang kedengaran tetapi lain pula komen rakan media yang lain.

Kata mereka, ketika mereka memecut, kedengaran bunyi tayar dan angin dengan ketara tetapi apabila saya sangkal, mereka terkejut. 

Yalah, selera orang lain-lain bagi kita sedap, bagi mereka sebaliknya!

Pendek kata, pemanduannya seolah-olah Maggi secukup rasa! Bagi saya pemanduannya cukup hebat berbanding pendahulunya.

Menyentuh mengenai enjin, ia menggunakan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA), iaitu sama  seperti  Perodua Ativa, dan berkongsi platform dengan model Toyota Avanza, Toyota Veloz serta Daihatsu Xenia.


MPV tujuh tempat duduk ini digandingkan dengan enjin 2NR-VE 1.5-liter empat silinder Dual VVTi.


Maka, ia mampu menghamburkan kuasa pada takat 105 hp pada 6,000 rpm dan 138 Nm pada 4,200 rpm.

Dengan transmisi jenis D-CVT, ia dikatakan mampu memberikan bacaan penggunaan bahan api sekitar 22 kilometer seliter (km/l).

Sebagai tambahan, tiga mod pemanduan iaitu Normal, Eco dan Power disertakan pada varian AV untuk memberikan prestasi pemanduan yang lebih memuaskan.

Kalau nak komen lebih-lebih, penulis bukanlah amatur sangat bab-bab enjin. Apapun, secara keseluruhannya saya tercukup terhibur dengan Alza viral ini.

Ciri-ciri keselamatan

Datang kepada ciri-ciri keselamatannya, saya cukup berpuas hati kerana ia seolah-olah akan menjaga nyawa anda sekeluarga sepanjang masa!

Kenapa saya katakan begitu sebab ada alasan tersendiri.


Bayangkan dengan harga jualan varian AV  lebih RM75K, jentera ini didatangkan dengan pelbagai ciri keselamatan antaranya seperti pemantau pandangan panoramik 360 darjah, kawalan jelajah adaptif (ACC) dengan fungsi henti, pegun/mula, kawalan kekal lorong (LKC), pemantau titik buta (BSM), amaran lintasan trafik belakang (RCTA)  dan DVR depan.


Kesimpulan

Sebagai ibu kepada dua orang anak, saya secara peribadi memang berpuas hati dengan Alza 2022.

Apa tidaknya, dengan harga bermula RM75K, anda dihidangkan dengan pelbagai teknologi dan ciri keselamatan yang cukup canggih.

Bayangkan setiap inci pemanduan, anda akan dijaga baik . Bagi saya jika anda ada ahli keluarga yang ramai, Alza ini cukup sesuai dengan anda.


Saya gerenti anda tidak akan menyesal. Lagipun, dengar cerita Alza sekarang laku macam pisang goreng panas.

Cuma jenuh nak menunggunya sampai, gara-gara masalah bekalan cip yang dihadapi satu dunia. 

Adakah anda berminat untuk membeli Alza baharu? 

Sebagai info, Perodua Alza serba baharu yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada julai lalu itu dijual secara rasmi pada harga RM62,500 untuk varian X, RM68,000 untuk varian H dan RM75,500 untuk varian AV (harga di Malaysia Barat dan tanpa insurans).


Terdapat lima warna menarik yang ditawarkan iaitu Ivory White, Glittering Silver, Garnet Red, serta dua warna baharu iaitu Elegant Black dan Vintage Brown.

Apapun, ini adalah pandangan peribadi sepanjang saya menggunakannya selama tiga hari.

Saya cuma penulis biasa bukan jurutera atau mekanik yang boleh memberikan ulasan terbaik sehingga bab teknikal.

Kerja saya cuma menulis untuk meneruskan kelangsungan kehidupan.

Apa pula pandangan anda, kongsikan pandangan anda di bawah ruangan ini!





Kongsi Artikel Ini

Ditulis pada

Suhana Veru

Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/

Kongsi melalui

Berita Terkini

Pandu Uji

Pandu Uji Denza D9 Premium AWD, Patutlah Antara MPV Paling Laris Di Malaysia, Ini Sebabnya...

Beberapa media dijemput Denza Malaysia untuk merasai keupayaan sebenar Denza D9, baru-baru ini.

27-05-2025
Pandu Uji

[PANDU UJI] Hyundai Santa Fe 1.6 Turbo Hybrid Max – Bergaya, Jimat & Praktikal

Ini pendapat kami mengenai Hyundai Santa Fe 1.6 Turbo Hybrid Max.

27-05-2025
Pandu Uji

[PANDU UJI] 9 Sebab Kenapa Honda City e:HEV RS Facelift Kereta Balik Kampung Terbaik

Honda City e:HEV RS Facelift adalah pilihan ideal untuk pemandu moden yang mahukan lebih daripada sekadar rupa.

19-05-2025
Pandu Uji

Apa Kata Pemilik Proton X70 CBU 2019 Tentang Proton X70 2025?

Sebagai pemilik Proton X70 2019, ini komen saya berhubung X70 2025.

14-05-2025
Pandu Uji

[Pandu Uji Ringkas] Zeekr 009: MPV Elektrik Mewah Yang Canggih & Lincah

CariCarz berpeluang untuk memandu uji MPV elektrik mewah, Zeekr 009, dalam acara eksklusif bersama media anjuran Zeekr Malaysia.

15-04-2025
Pandu Uji

6 Sebab Kenapa Toyota Corolla Masih Berbaloi Untuk Dimiliki Pada Tahun 2025

Sejak diperkenalkan pada tahun 1966, Toyota Corolla telah menjadi salah satu model paling berjaya dalam sejarah automotif.

18-03-2025
Pandu Uji

Sudah Diuji: Kia Sportage CKD 2025

Kami berpeluang memandu uji Kia Sportage CKD 2025, baru-baru ini.

28-02-2025
Pandu Uji

[PANDU UJI RINGKAS] 6 Ciri Ini Menyerlah Pada Leapmotor C10

Dalam sesi pandu uji hari ini penulis berpeluang untuk merasai sendiri keistimewaan Leapmotor C10 walaupun hanya untuk beberapa jam. Teruskan membaca untuk kupasannya...

26-02-2025