- Berita
- Pandu Uji
- Volkswagen Golf GTI 2022, Penilaian Prestasi Sebenar!
Sebut sahaja nama kodok, Bug ataupun katak, ia mengembalikan nostalgia kisah klasik model pertama Volkswagen. Tahukah anda, sebelum diberi nama Beetle, ia cuma dikenali dengan nama Type 1 di awal pengeluaran.
Namun saya bukan nak cerita pasal kodok atau Beetle tetapi mengenai model Volkswagen Golf GTI. Ia adalah legasi hot-hatch yang kekal sebagai legasi ikonik dan salah satu jenama yang cukup terkenal dalam dunia kereta.
Lagipun, lencana GTI sebenarnya tidak perlu diperkenalkan lagi. Lambang itu sudah cukup sinonim bagi Volkswagen Golf sebagai sebuah kereta berprestasi tinggi dengan status lagenda sebagaimana model Beetle.
Apapun ada berita baik buat peminat kereta Volkswagen. Ini kerana model versi pemasangan tempatan (CKD) yang dipasang buat pertama kali di Malaysia dijual pada harga yang lebih berbaloi berbanding sebelum ini.
Pendek kata, model ini adalah “Buatan Malaysia kerana dipasang di Pekan, Pahang, maka harganya sudah pasti murah sedikit. Ingat, walaupun murah namun ini tidak bermakna, ia kurang laju.
Jadi, bagi mengetahui keupayaan jentera ini, penulis berkesempatan memandu uji Volkswagen Golf GTI pada tahun lalu.
Ketika itu, saya cukup teruja kerana dapat menguji jentera yang baru keluar dari “Oven” sejurus pelancarannya pada Februari tahun lalu.
Cuma saya baru sahaja sempat untuk menulis pengalaman reviu mengenai jentera itu memandangkan banyak sangat kereta yang perlu dipandu uji sehinggakan bab-bab menulis tertinggal sekejap.
Tetapi ia masih belum terlambat bagi yang masih teragak-agak untuk membeli Volkswagen GTI. Mana tahu, selepas baca reviu saya, anda mungkin boleh berubah hati!
PANDU UJI
Sebelum kaki saya menekan pedal minyak, saya sedar ia bakal menaikkan ledakan adrenalin sejurus pedal minyaknya ditekan disebabkan enjin hot-hatch ini memberikan tahap respon yang cukup pantas menerusi kotak gear DSG 7-kelajuan yang dipadankan.
Bagi saya pertukaran gear cukup responsif ketika mod pemanduan jenis Eco digunakan.
Bagi melihat kelajuannya, saya cuba menekan pedal minyak sehingga 180 kilometer sejam (km/j), fuh semacam ia meluncur ke hadapan.
Menerusi prestasi yang cukup mengagumkannya itu, saya dapat memotong kenderaan yang berada di hadapan dengan begitu mudah selain tidak teragak-agak untuk berbuat demikian.
Keseronokan pemanduan bertambah apabila saya menggunakan mod Sport, di situ saya dapat merasakan kelincahan sebenar jentera ini.
Sebaik tiba di beberapa selekoh jalan, saya dapat merasakan kotak gear Golf GTI membantu menyampaikan kuasa ke roda dengan cukup cekap dan efektif menyebabkan saya tidak mempunyai sebarang masalah ketika melalui kawasan selekoh.
Pendek kata, kesemua selekoh dapat dibuat dengan mudah kerana casisnya ditala dengan begitu baik dan tajam.
Sebelum terlupa, brek cakera depan dan belakang juga menghasilkan kuasa pemberhentian yang cukup mengagumkan.
Cuma penulis kurang berkenan dengan rekaan tombol gear yang agak pelik, bukan apa sebagai pemandu kereta manual, saya sudah biasa menggenggam tombol gear kerana ia membuatkan lebih yakin untuk memandu.
Biarpun, berulang kali terpaksa menjenguk tombolnya untuk menukar gear namun secara keseluruhannya, saya cukup berpuas hati dengan Golf GTI.
Seperti pendahulunya, tidak dinafikan ia sememangnya menawarkan pemanduan versatil yang menyeronokkan dan boleh dijadikan sebagai kegunaan harian.
Bagaimanapun, saya tidak dapat komen lebih-lebih mengenai prestasi jentera ini kerana saya bukannya pemandu yang professional ia cuma ulasan jujur sepanjang saya dapat menikmati pemanduannya selama dua jam.
ENJIN TURBO 2.0TSI
Mungkin ramai yang tertanya-tanya mengenai spesifikasi enjinnya. Untuk pengetahuan pembaca, ia dibezakan dengan enjin 2.0TSI pengecas turbo suntikan terus empat silinder.
Untuk itu, ia mampu menghamburkan kuasa 242 hp pada 5,000 hingga 6,000rpm dan tork 370Nm pada 1,600 hingga 4,300rpm.
Meskipun memiliki kuasa kilasan yang padu, tahap penggunaan bahan api adalah sekitar 7 liter bagi setiap 100 kilometer (km).
Melalui transmisi kotak gear tujuh kelajuan DSG, ia didatangkan dengan Pilihan Mod Pemanduan, Pengurusan Dinamik Kenderaan dengan Kawalan Casis Dinamik.
Ia juga datang dengan brek penjanaan bateri enjin, kekunci pembezaan hadapan untuk cengkaman dan pengendalian lebih baik serta suspensi sport hadapan McPherson serta suspensi belakang Multilink.
Ketika memegang jentera yang disumbat dengan enjin turbo 2.0TSI, ia dilihat mampu memecut dari 0-100 kilometer sejam (km/j) hanya dalam 6.3 saat.
Patutlah, saya mampu berdesup meninggalkan kereta-kereta lain dalam sekelip mata.
Selain itu, terdapat empat pemanduan pada GTI iaitu Sport, Eco, Comfort dan Custom.
Jika anda mahu menguji kejantanan GTI, maka jangan lupa merasai mod Sports kerana ia amat sesuai digunakan ketika berada di kawasan berliku.
Kenapa saya katakan begitu kerana mod Sport menguatkan lagi peredamnya bagi mendapat respons yang baik bersama stereng kuasa elektroniknya.
Malah mod Sport juga memberi daya cengkaman yang kuat pada tayar Bridegestone Potenza yang bersaiz 18 inci.
Bukan itu sahaja, dengan adanya cakera dengan liang ventilator 340mm dapat mencabar sistem brek.
LUARAN
Bagi saya, bahagian luarannya tidaklah begitu agresif sebaliknya ia kelihatan agak matang.
Jika melihat di bahagian hadapan, Golf GTI ini dilengkapi gril depan sarang lebah (honeycomb) dan aksen merah sebagai signatur varian GTI.
Tidak ketinggalan kaliper merah dan lampu hadapan serta belakang jenis LED.
Sementara itu, ruang kargo dilihat agak besar dan saiznya dikatakan sekitar 374 liter.
Apapun, jika sekilas pandang bahagian punggungnya kelihatan agak tonggek sedikit kerana terhadap bahagian tajam di atas lampu belakang.
BAHAGIAN KABIN
Menjengah ke dalam kabin, ruang dalaman Golf GTI ternyata progresif, inovatif dan intuitif.
Melihat kepada bahagian kerusinya, hot hatch ini disalut dengan fabrik dan kulit dan didatangkan dengan ciri memori dan sokongan lumbar yang boleh dilaras secara elektrik.
Mengenai sistem infotainmen 10 inci pula menawarkan navigasi binaan dalam 3D, CarPlay dan Android Auto tanpa wayar serta tujuh unit pembesar suara berkualiti tinggi.
Sementara itu, Digital Cockpit generasi baharu 10.25 inci digandingkan dengan pelbagai pandangan serta warna tema termasuk penggayaan spesifik GTI.
Ia juga dilengkapi dengan ciri arahan suara ‘Hello Volkswagen’. Sistem ini kemudian akan memberikan respons kepada arahan suara intuitif itu.
Apa yang cukup menarik ialah anda boleh mengurangkan atau meningkatkan sistem penyaman udara jenis Climatronic 3-zon hanya dengan sentuhan jari atau arahan suara.
Apa yang pasti, ia mempunyai konektiviti wayarles Apple CarPlay dan Android Auto termasuk port pengecas USB – C.
Kelengakapan ialah sistem masuk tanpa kunci dengan butang pemula enjin,
CIRI-CIRI KESELAMATAN:
Difahamkan Golf GTI tidak didatangkan dengan sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) namun ini tidak bermakna ia tidak selamat untuk digunakan.
Namun, jangan risau ia masih dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan yang lain seperti Isofix, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), kawalan cengkaman dan kestabilan dan enam beg udara.
Malah, terdapat juga Kunci Diferensial Elektronik (XDS) dan sistem brek pra pelanggaran.
HARGA
Ia ditawarkan pada harga RM227,021.
Volkswagen GTi ditawarkan dalam lima warna iaitu Kings Red (merah), Atlantic Blue (biru) dalam kemasan metalik, Moonstone Grey (kelabu) bukan metalik, serta mutiara Deep Black (hitam) dan Oryx White (putih).
Pembelian Volkswagen Golf ini turut didatangkan dengan penyelenggaraan percuma selama tiga tahun, jaminan tanpa had perbatuan dan bantuan tepi jalan selama lima tahun.
Untuk maklumat lebih lanjut dan tempahan, boleh kunjungi mana-mana pengedar sah Volkswagen di seluruh negara atau layari Volkswagen eShowroom di https://eshowroom.volkswagen.com.my/.
Volkswagen Golf GTI 2022
ENJIN |
2.0-litre
TSI 4-Silinder Turbo |
TRANSMISI |
7-kelajuan
DCT automatick, FWD |
KUASA |
242
HP (245 PS) @ 6,200 RPM |
TORK |
370
NM @ 1,600 RPM |
0-100
KM/J |
6.3
saat |
KELAJUAN
MAKS |
250
KM/J |
EKONOMI |
7.4
Liter/100 KM |
BERAT |
1,463
KG |
HARGA |
RM227,012 (tidak
termasuk insurans) |
Gallery






















Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Biarpun syarikat Utusan Melayu, tempat saya bekerja sudah ditutup namun semangat juang sebagai wartawan tetap mekar dalam sanubari