- Berita
- Pandu Uji
- Perodua Axia 2023, Ini Komen Awal Kami!
Diperkenalkan pada akhir Februari lalu, Perodua Axia 2023 menjanjikan penawaran ciri yang agak moden berbanding pendahulunya.
Kod projek pengganti Axia ini digelar sebagai D74A. Apa yang pasti kereta supermini ini menampilkan lebih banyak penambahbaikan dimana Perodua telah sedaya-upaya menangani beberapa kelemahan daripada pendahulunya.
Mujur, bahagian media CariCarz.com diberi masa selama seminggu untuk membelek model Perodua Axia 2023 varian AV dengan lebih terperinci.
Terima kasih Perodua!
Apapun sepanjang Axia berada dalam tangan, kami berkesempatan mengetahui beberapa perkara mengenai Perodua Axia 2023 ini.
Untuk itu, kami menyenaraikan enam perkara yang dapat kami korek, antaranya ialah:
1. Pemanduannya lebih baik berbanding pendahulunya.
Perkara ini adalah sesuatu yang tidak mengejutkan kerana Axia 2023 ini dibina berdasarkan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) bagi memberikan pengalaman pemanduan dan keselesaan serba baharu.
Biarpun, ia disumbat dengan enjin tiga silinder sebaris 1.0 liter namun ia sudah tidak lagi menggunakan transmisi automatik 4 kelajuan sebaliknya kini didatangkan dengan transmisi dual-mod CVT atau D-CVT.
Setakat ini model Perodua yang menggunakan transmisi D-CVT ialah Perodua Ativa, Perodua Myvi, dan Perodua Alza.
Malah, beberapa Axia baharu ini akan dibawa masuk ke sekolah memandu di seluruh negara.
Maka, adik-adik lepasan SPM sempatlah merasai keseronokan memandu kereta comel ini!
2. Sarat dengan Ciri Keselamatan
Sebelum ini, ada yang mengatakan kereta supermini keluaran Perodua tidak memiliki begitu banyak kemudahan dan ciri-ciri keselamatan.
Namun anda silap besar!
Varian AV Axia 2023 ini cukup sarat dengan pelbagai ciri keselamatan.
Varian paling tinggi ini dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan dimana ia tidak pernah disumbat oleh mana-mana kereta Perodua dengan harga yang cukup berbaloi!
Untuk info anda, ia dilengkapi dengan Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS), Pemantauan Titik Buta (BSM), Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA), Sistem Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW), Sistem Bantuan Kekal Lorong (LKA) dan Brek Kecemasan Autonomi (AEB).
Varian AV didatangkan dengan kabin yang serba lengkap memandangkan kesemua tempat duduknya dibaluti dengan separa kulit, ada paparan digital dan kemasukan tanpa kunci.
3. Warna Coral Blue Mengancam
Kali ini, Perodua memperkenalkan warna yang agak mengancam iaitu Coral Blue. Malah, ramai yang turut teruja dengan tona warna Perodua.
Namun adakah ia bakal melonjakkan jualan Axia nanti..Hanya masa akan menentukannya.
4. Nampak Segar
Generasi baharu sememangnya menjanjikan wajah baharu. Perkara itu nyata terbukti apabila saya menjengah bahagian hadapannya, ia kelihatan agak ganas.
Ini kerana gril hadapan berbentuk X yang digabungkan dengan lampu utama LED dan lampu nyalaan siang memberikan rupa agresif .
Ia juga didatangkan dengan rekaan bampar hadapan baharu selain jeriji yang berbentuk melintang dan rekaan di bawah lampu hadapan itu membuatkan ia lebih menonjol dan cukup segar.
Ia kelihatan agak sporty gara-gara spoiler belakangnya dan lampu belakangnya pula jenis halogen.
5. JIMAT KOS
Bercakap mengenai penjimatan kos, tidak dapat dinafikan bahawa Perodua dapat mengambil langkah ini dalam memastikan Axia baharu kekal mampu milik.
Untuk itu, Perodua tidak melengkapkan defogger pada jentera ini. Defogger adalah jalur-jalur di cermin belakang adalah untuk memberikan penglihatan maksimum pada cermin dan mengurangkan risiko kemalangan.
Selain itu, Perodua dilihat masih mengekalkan roda aloi 14-inci daripada versi facelift 2019 yang nampaknya turut digunakan pada Bezza.
Biarpun, varian ini sarat dengan pelbagai teknologi namun ia tiada sebarang sambungan Apple CarPlay atau Android Auto untuk unit infotainmennya.
6. MAHAL
Bagi varian AV, ia dijual pada harga RM49,500, tambah RM500 lagi, sudah genap RM50,000.
Nampaknya, ia lebih mahal berbanding Perodua Myvi 1.3 G yang dilengkapi ADAS namun hanya dijual pada harga RM48,500.
Isu harga mungkin tidak akan menjadi masalah buat yang mampu namun ia mungkin membuatkan pembeli kereta pertama terduduk seketika.
Namun penulis teringat kata-kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad yang menyatakan Perodua bukannya menjual kereta murah sebaliknya kereta optimis.
Apapun, kami sebenarnya ada lagi beberapa maklumat mengenai Perodua Axia AV namun ia akan didedahkan secara lebih mendalam dalam ruangan “review”.
Namun apa pula pandangan anda mengenai kereta supermini terbaharu ini?
Gallery





















Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Biarpun syarikat Utusan Melayu, tempat saya bekerja sudah ditutup namun semangat juang sebagai wartawan tetap mekar dalam sanubari