- Berita
- Teknologi
- Lampu Depan Tercanggih! Boleh Pantulkan Info Jalan Di Permukaan Jalan
Lampu Depan Tercanggih! Boleh Pantulkan Info Jalan Di Permukaan Jalan
Hyundai Mobis sedang berusaha untuk membangunkan teknologi lampu hadapan canggih yang dikatakan boleh memaparkan tanda jalan untuk laluan di hadapan. Teknologi Pencahayaan HD yang cuba dibangunkan ini diramalkan dapat mengurangkan kemalangan kereta pada waktu malam bukan sahaja untuk pemandu, tetapi juga pejalan kaki.
Sistem Pencahayaan HD ini dihasilkan menggunakan LED mikro HD sebagai sumber cahaya serta peranti digital cermin mikro (DMD) yang terdiri daripada cermin mikroskopik yang berfungsi sebagai reflektor atau pemantul. Peranti ini dapat mengesan dan memaparkan tanda-tanda jalan dalam bentuk teks atau gambar di permukaan jalan. Contohnya, ia dapat memaparkan isyarat kerja penyelenggaraan jalan di hadapan sebagai amaran kepada pemandu. Selain itu, ia turut boleh memantulkan tanda lintasan pejalan kaki untuk memudahkan pejalan kaki agar dapat menyeberang dengan selamat.
Teknologi canggih ini ternyata berbeza daripada yang sedia ada, kerana ia turut memberikan perhatian kepada keselamatan pejalan kaki. Ini kerana, sistem Pencahayaan HD ini turut menawarkan fungsi ‘komunikasi’ dengan pejalan kaki seperti yang dinyatakan tadi.
Kecanggihan teknologi Pencahayaan HD ini terletak pada penggunaan hampir 25,000 HD micro LED, setiap satu hanya memiliki kelebaran sehalus 0.04 mm, menjadikan sistem ini cukup sensitif. DMD, yang mempunyai cermin mikroskopik berukuran kira-kira 0.01 mm, dapat memantulkan cahaya dari LED untuk memaparkan maklumat yang jelas dan tepat di atas permukaan jalan raya sambil bertindak balas terhadap perubahan keadaan jalan.
Teknologi ini menggunakan data masa nyata daripada sensor kamera hadapan dan navigasi GPS. Dalam situasi seperti ketika mendekati kawasan pembinaan, ia dapat memaparkan "Dalam Pembinaan" atau “Under Construction” berkelebaran 1.5 meter sejauh 15 meter di hadapan pemandu, disertai maklumat had laju, sekaligus dapat meningkatkan penglihatan dan membantu pemandu mengetahui sesuatu situasi dengan lebih awal.
Selain itu, sistem Pencahayaan HD ini juga dapat mengurangkan kemalangan membabitkan pejalan kaki dengan fungsi sensor video yang boleh mengenal pasti mereka yang berada di jalan, dan memantulkan tanda lintasan untuk memudahkan mereka. Ciri ini dipanggil sebagai “pencahayaan komunikasi.”
Dalam era pemanduan autonomi, pembangunan teknologi sebegini cukup penting. Dalam hal ini, Hyundai Mobis berhasrat untuk kekal berada di barisan hadapan dalam invoasi automatif dan menjadi peneraju dalam pembangunan teknologi pencahayaan canggih.
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv