- Berita
- Pandu Uji
- 5 FAKTA Ringkas Tentang IONIQ 6
Di sebalik kehadiran Tesla di Malaysia, Hyundai Sime Darby Motors pula bikin panas apabila firma itu membawa masuk kereta elektrik paling aerodinamik di dunia, Hyundai Ioniq 6 ke pasaran tempatan pada bulan lepas.
Untuk makluman, ia didatangkan dalam dua varian: Hyundai IONIQ 6 Max RWD - RM289,888 dan Hyundai IONIQ 6 Max AWD - RM319,888.
Apa yang pasti Hyundai Ioniq 6 bukan kereta yang calang-calang, sekali pandang, mesti anda nak pandang lagi.
Bagi sesi pandu uji kali ini, kami menerima Hyundai IONIQ 6 Max RWD untuk mengupas jentera ini dengan lebih lanjut.
Jadi, ini 5 benda yang anda patut tahu mengenai Ioniq 6 Max RWD.
Baca 6 PERKARA YANG anda patut tahu mengenai Hyundai Ioniq 6.
1. GAYA FUTURISTIK
Seperti yang saya katakan tadi, jika anda melihat Ioniq 6 ini, mesti anda nak pandang dua kali.
Ini kerana bentuk badan yang cukup membujur ke belakang yang dibuat adalah sebenarnya atas faktor aerodinamik.
Malah, ia dilihat membawakan persamaan rekaan dengan model konsep Prophecy yang pernah ditayangkan sebelum ini.
Menyentuh mengenai rekaannya, ia kelihatan minimalis kerana kehadiran kepak udara di depan, kamera sisi menggantikan cermin sisi konvensional, serta rekaan bahagian belakang membuatkan ia kelihatan hampir sama dengan kereta sports Porsche.
Betul tak?
Namun ada sebabnya mengapa Hyundai mereka cipta profil kereta ini paling aerodinamik di dunia setakat ini.
Gara-gara bentuknya itu, kadar pekali seretan adalah serendah 0.21, sekali gus merupakan angka terendah yang pernah dicatatkan oleh sebuah model Hyundai.
Apapun, rekaannya yang cukup memukau itu menyerlahkan lagi kecantikan yang tidak lapuk dek zaman dan ternyata sangat agresif.
Menjengah bahagian belakangnya, terdapat juga rekaan yang boleh dikatakan agak ikonik disebabkan lampu rekaan Parametric Pixel yang berkotak kecil.
Dari segi saiz, ia adalah sepanjang 4,855 mm, selebar 1,880 mm, ketinggiannya pula mencecah 1,495 mm manakala jarak roda sejauh 2,950 mm.
Begitupun, kedua-dua varian Ioniq 6 ini menerima rim aloi yang berbeza.
Ini kerana Max RWD yang diuji ini menerima set rim aloi yang lebih kecil iaitu Aero 18-inci bersama tayar 225/55 R18, manakala AWD pula dilengkapi dengan set rim aloi Performance 20-inci dengan tayar 245/40 R20.
2. KABIN MENGANCAM!
Sebaik penulis melangkah masuk ke dalam, saya cukup tertarik dengan bahagian papan pemukanya yang cukup futuristik.
Skrinnya yan panjang dan terdapat pelbagai info yang dipaparkan di dalam skrin infotainmennya, membuatkan saya sedikit sakit kepala.
Apa tidaknya, kabinnya cukup mengancam dan canggih.
Ketika membelek-belek fungsi-fungsi kereta ini, saya dapati ia dilengkapi dengan skrin berkembar bersaiz 12.3 inci.
Satu skrin sebagai paparan instrumen pemandu dan satu lagi untuk infotainmen – bersama sokongan Android Auto, Apple CarPlay serta Bluetooth yang boleh disambung dengan beberapa peranti dalam masa sama.
Antara kelengkapan lain ialah pad pengecasan tanpa wayar, penggunaan bahan mesra alam dan lampu suasana kabin 64 warna.
Bercakap mengenai lampu ambien, lampu itu bernyala di bahagian papan pemuka termasuk bahagian sisi dan bahagian bawah panel pintu.
Nyata jika dipandu waktu malam, ia cukup menyerlah dan anda mungkin tidak akan tertidur jika melakukan perjalanan jauh.
Bercakap mengenai ciri-ciri kereta ini, ia juga dilengkapi dengan sistem kawalan iklim automatik dua zon, sistem audo Bose dengan lapan pembesar suara, sistem kemasukan kunci pintar, skrin paparan head-up 10 inci , shift-by-wire dan paddle shifter untuk kawalan brek regenerative.
Ia turut menawarkan empat port USB Type C, upholsteri kulit, tempat duduk hadapan Premium Relaxion dengan larasan kuasa dengan dan sokongan lumbar, tempat duduk belakang boleh lipat dengan nisbah 60:40 dan pintu tailgate belakang berkuasa.
Biarpun, ia tidak dilengkapi dengan bumbung panoramik namun ia bukanlah satu masalah besar.
Namun ada sedikit slek di bahagian penumpang belakang kerana ruang kepala dilihat agak rendah disebabkan bumbungnya yang rendah.
Mengenai ruang but pula, ia menawarkan ruang buat seluas 401 liter dan ia agak kecil sedikit berbanding pesaingnya.
Begitupun, bagi penulis mungkin ada pemandu baharu yang mungkin akan berasa sedikit janggal dan akan mengambil sedikit masa untuk membiasakan diri dengan butang-butang yang ada di dalam kabinnya.
Misalnya, kedua-dua butang kunci pintu dan turun/naikkan cermin kereta ada di bahagian tengah manakala pilihan gear pula berada di bawah belakang stereng.
Apapun, penulis berasa dua tiga hari, si pemiliknya sudah mengetahui selok-belok fungsi-fungsi kereta ini. Asalkan anda ada minat, sudah pasti anda dapat menerokai ciri-ciri kereta ini dengan mudah.
3. LINCAH SANGAT:
Untuk makluman anda, penulis tidak berkesempatan untuk menguji kereta ini kerana kekangan masa.
Seperti biasa, pasukan media bahagian English diberi keutamaan kerana mereka melakukan sesi video dan fotografi dalam jangka masa yang agak panjang.
Kali ini, mereka membawa jentera ini ke Batu Gajah, Perak semata-mata untuk menguji ketangkasan dan kelincahan Ioniq 6 ini.
Namun, menurut rakan sekerja saya, Mukhlis Azman, selain penampilan yang lebih sporty, kelajuan jentera ini boleh tahan padunya dan agak lincah.
Mujur, ia menggunakan casis E-GMP proprietari Hyundai yang menjanjikan pemanduan dinamik yang cukup cemerlang.
Varian ini yang disumbat dengan motor tunggal dapat menghamburkan kuasa setakat 225 hp dan 350 Nm.
Untuk itu ia mampu memecut dari 0 – 100 kilometer sejam hanya dalam 7.4 saat.
Apa yang penting, ia didatangkan dengan peredam kereta dan kerangka badan yang cukup baik menyebabkan anda tidak perlu bimbang setiap kali mengambil selekoh tajam!
Apa yang dikhabarkan oleh Mukhlis, Ioniq 6 ini agak leceh untuk parkir kerana ia agak panjang dan cukup rendah menyebabkan anda tidak boleh sesuka hati meletakkan kenderaan anda seperti mana dilakukan pada kereta biasa.
Namun, jangan risau dengan adanya kamera 360 darjah, kerja-kerja parkir ini akan memudahkan si pemiliknya.
Selain itu, Hyundai Ioniq 6 dalam bentuk Max RWD ini sebenarnya mempunyai bakat besar dalam menawarkan pemanduan yang cukup baik walaupun ia merupakan tawaran yang memfokuskan kepada perjalanan jarak jauh.
Sebelum terlupa, tahap NVH (bising, getaran dan kekasaran) cukup baik, seperti mana yang diharapkan untuk mana-mana kenderaan elektrik (EV).
Walaupun bunyi angin dapat disekat dengan dua lapisan pada tingkat namun bunyi tayar masih boleh kedengaran jika kereta dipandu pada kelajuan 110 kilometer sejam.
Dari segi keselesaan, penumpang hadapan sememangnya selesa namun sedikit malang buat penumpang belakang kerana mereka dapat berasa jika kereta melalui kawasan tidak rata.
4. BATERI, PENGECASAN & JARAK
Seperti sedia maklum, platform E-GMP membolehkan Ioniq 6 menerima pakai beberapa teknologi EV paling mengagumkan yang terdapat di pasaran.
Untuk permulaan, pek bateri 800 volt membolehkan input pengecasan pantas DC setinggi 350 kW.
Ini menjadikan Ioniq 6 salah satu EV pengecasan terpantas di dunia.
Melalui kaedah ini, pek bateri polimer litium-ion 77.4-kWh boleh dicas daripada 10% hingga 80% dalam masa 18 minit sahaja.
Sementara itu, kaedah pengecasan AC 11 kW yang lebih perlahan akan mengecas bateri sepenuhnya dalam masa kira-kira tujuh jam.
Dikhabarkan team kami yang membawa jentera ini ke Ipoh dapat melakukan perjalanan sejauh 450 kilometer dengan hanya sekali cas .
Pendek kata, Hyundai Ioniq 6 Max RWD bukan sahaja mempunyai salah satu teknologi EV yang paling canggih dalam pasaran, tetapi ia menawarkan perjalanan yang agak jauh dalam segmennya.
5. SARAT DENGAN CIRI KESELAMATAN
Nampak gaya pun dan ummph! Maka tidak hairanlah, mengapa ia dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan bagi menjamin keselamatan si pemandunya.
Lagipun, sama seperti kebanyakan jenama Eropah dan China, pembuat kereta dari Korea Selatan agak maju dalam aspek keselamatan kenderaan, terutamanya pada sistem keselamatan aktif.
Maka, Ioniq 6 Max RWD juga tidak terkecuali, kerana fastback EV ini mendapat kedua-dua kit keselamatan aktif dan pasif.
Antaranya ialah Hyundai SmartSense ADAS ter baharu, yang menambah fungsi utama seperti Bantuan Pengekalan Lorong (LKA),Bantuan Pengelakan Pelanggaran Hadapan (FCA) dan Bantuan Pemanduan Lebuhraya (HDA2).
Terdapat juga ciri keselamatan seperti Kawalan Jelajah Pintar (SCC) dengan fungsi Stop & Go, Bantuan Pengelakan Pelanggaran Parkir (PCA), Sistem Pemantauan Keliling (SVM) dan Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS).
Dari segi kit keselamatan pasif pula, terdapat sistem brek anti kunci, tujuh beg udara, Agihan Brek Elektronik Kawalan Bantuan Mula Bukit(HSC), serta sistem kawalan cengkaman (TCS) dan kestabilan (ECS).
Disebabkan itu, Ioniq 6 telah mendapat markah penuh lima bintang dalam kedua-dua ujian nahas Euro dan ASEAN NCAP.
Secara ringkasnya, Hyundai Ioniq 6 adalah setanding dengan mana-mana kereta moden yang lain pada masa kini.
Ia sarat dengan kedua-dua teknologi keselamatan aktif dan pasif yang memberikan lebih keyakinan pemandu untuk memandu EV ini.
Bagi yang berminat untuk menempah jentera ini, ia didapati dalam lima pilihan warna: Abyss Black Pearl, Nocturne Grey Matte, Biophilic Blue Pearl, Dive Blue Solid, dan Gravity Gold Matte.
Ia hadir dengan jaminan standard dua tahun atau 50,000 km serta jaminan bateri EV lapan-tahun atau 160,000 km.
Pakej lanjutan jaminan dan servis ditawarkan dengan kos tambahan RM10,000, dan menjadikan tempoh jaminan lima-tahun atau 100,000 km, dan termasuk penyelenggaraan untuk tiga tahun atau 50,000 km. Jaminan bateri EV kekal sama.
SPESIFIAKASI
HYUNDAI IONIQ 6 MAX RWD EV
MOTOR |
1x Permanent Magnet Synchronous Motor (PMSM), Rear-Mounted |
TRENKUASA |
Rear-Wheel Drive (RWD) |
KUASA |
225 HP (168 kW) |
TORK |
350 NM |
0-100 KM/J |
7.4 saat |
V-MAKS |
185 KM/J |
BATERI & PENGECASAN |
Bateri: |
JARAK |
614 KM (WLTP) |
BERAT |
1,910 KG (didakwa) |
HARGA |
RM289,888 |
Gallery































Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Biarpun syarikat Utusan Melayu, tempat saya bekerja sudah ditutup namun semangat juang sebagai wartawan tetap mekar dalam sanubari