- Berita
- Berita Auto
- SUARA HATI PENULIS: Proton X70 Tetap Dihati!

Sebagai pemilik Proton X70, saya cukup berkecil hati apabila membaca beberapa laporan portal berita automotif tempatan yang mengatakan nilai jualan semula (resale value) Proton X70 jatuh kaw-kaw.
Manakan tidak, selepas berhempas-pulas membayar ansuran selama tiga tahun keluar pula cerita yang kurang enak ini!
Walaupun sedar sudah menjadi lumrah berlakunya susut nilai kenderaan namun apa yang membuat sedikit ralat, ia berlaku dengan begitu pantas.

Bagi menyedapkan hati, saya meninjau beberapa laman web kereta terpakai dimana ada yang menjual X70 pada harga serendah RM56,800 iaitu bagi model 1.8 Executive 2WD keluaran tahun 2019.
Model itu ditawarkan pada harga cukup marhaen dengan perbatuan antara 75,000-99,999.

Hasil pemerhatian saya mendapati kebanyakan Proton X70 keluaran tahun 2019 dijual pada harga sekitar RM57,000.
Malah, ada juga yang menjual Proton X70 1.8 Premium 2WD dijual pada RM63,000 manakala varian Executive pula sekitar lebih RM78,000 iaitu keluaran tahun 2020.
Bagaimanapun, nilai Proton X70 terpakai sebenarnya bergantung kepada varian, perbatuan, keadaan kereta dari luar dan dalam serta rekod penyelenggaraan.

Rekod penyelenggaraan bermaksud penyelenggaraan yang dilakukan mengikut jadual boleh meyakinkan pembeli bahawa kereta anda berada dalam jagaan yang baik.
Antara faktor lain yang mempengaruhi susut nilai ialah tempoh waranti, bilangan pemilik yang bertukar tangan dan sebenarnya ada banyak lagi.
Menjengah ruangan komen X70OCM (Proton X70 Owner Club Malaysia), rata-rata ahli group itu meninggalkan komen positif dan tidak kurang juga yang menyindir!
“Kita beli kereta untuk keselesaaan dan kegunaan. Kalau niat nak jual, tak payahlah nak guna X70. Belum tentu yang sibuk komen ini pemiik X70. Proton X70 tetap di hati!

“SUV tak boleh compare dengan resell value sedan. Market sedan dia lebih tinggi daripada SUV. Malah CR-V pun barai juga harga trade in selepas tiga tahun pun drop sampai RM50,000,”kata Shazrul.
Seorang lagi ahli yang bernama Ajun pula menulis:
“Kereta ini bukan pelaburan yang nak kena tengok resale value, Kalau asyik tengok resale value, jalan kakilah,” tulisnya.

Bagi hemat saya, bukan sahaja Proton yang berhadapan dengan susut nilai sebaliknya semua jenama kereta.
Pendek kata, keluar sahaja dari showroom, harga dah turun.
Bagi penulis sendiri yang sudah menggunakan X70 sejak tahun 2019 , saya cukup selesa menggunakannnya sehingga ke hari ini.
Sejurus saya membeli kereta Proton, saya mendengar banyak cerita-cerita kurang enak tentang Proton, ada yang kata rugi besar beli kereta Proton.

Tidak kurang juga yang merunggut tentang perkhidmatan selepas pembelian (after sales service) kenderaan generasi baharu jenama itu.
Bukan itu sahaja, ramaj juga mengakui mereka berdepan masalah kesukaran mendapatkan alat ganti kenderaan, malah ada juga yang berkongsi bahawa kenderaan mereka kerap menghadapi kerosakan.
Mungkin nasib saya baik kerana ia terus sihat dan berjasa untuk saya. Bagi saya, jika kita jaga dia dengan baik, dia jaga kita dengan baik!


Sepanjang menggunakan Proton X70, saya melihat buatan air tangan nasional tidaklah seteruk mana.
Sebaliknya, saya sendiri cukup teruja melihat reka bentuk dan kemasan dalam kabin Proton X70
Biarpun, ada pihak yang menganggap harganya macam mahal, sebab apa mungkin sebab namanya PROTON.


Saya melihat ramai yang mempunyai tanggapan bahawa jenama nasional tidak boleh jual mahal lebih RM100,000.
Bagi saya, pemikiran begitu terdetik disebabkan mereka tidak melihat atau merasai pemanduan sebenar X70.
Memang betul kereta nasional patut berharga murah, tetapi mestilah sesuai dengan ciri dan spesifikasi yang ditawarkan diberikan.
Takkanlah nak bagi full spec, kabin premium dengan kerusi Nappa, ada bumbung panoramik, rim besar 19 inci dengan harga bawah RM100,000. Memang tak masuk akallah.


Lagipun, Proton X70 yang dilancarkan pada 12 Disember 2018 telah dinamakan sebagai Kereta Terbaik Keseluruhan 2019.
Itu adalah kali pertama model Proton memenangi pengiktirafan berprestij itu di Anugerah Kereta Tahunan Malaysia ke-18.
Proton X70, kenderaan utiliti sukan (SUV), segmen C yang serba mewah dan yang paling popular di Malaysia itu, turut menggondol pengiktirafan dalam kategori SUV 5 tempat duduk/sederhana.
Jika ada yang tak suka dengan jenama Proton, namun ia tetap menepati citarasa orang kita!
Selain harganya yang cukup murah dan mampu milik membuatkan pengeluar kereta nasional PROTON menutup tirai 2023 dengan mencatatkan prestasi jualan terbaiknya sejak tahun 2012 apabila ia mencapai pertumbuhan jualan bagi lima tahun berturut- turut.

Bayangkan pada tahun lepas sahaja, PROTON berjaya menjual 154,611 unit keretanya sekali gus ia adalah prestasi terbaik PROTON sejak tahun 2012.
Malah, tahun 2023 merupakan tahun yang mencatat rekod bagi industri automotif kerana jumlah jualan melonjak sebanyak 10.3% berbanding volum tertinggi sebelumnya yang dicapai hanya dua belas bulan sebelumnya.
Berdasarkan data, Proton X70 merupakan SUV segmen C kedua paling popular bagi tahun 2023 dengan 11,200 unit terjual.

Berdasarkan statistik jualan kereta Proton, ia membuktikan orang Malaysia tetap memilih Proton untuk kegunaan harian mereka mahupun ada yang menjadikannya untuk kegunaan jarak jauh.
Bagi penulis, pembelian kereta sebenarnya bertujuan untuk jangka panjang bukannya beli, pakai tiga, empat jual balik!
Asalkan tak buat hal, sedap dipandu, mampu bayar bulanan, itu sudah memadai dengan harga yang dibayar!
Apa pula pendapat anda?
Jangan lupa kongsikan pendapat anda di bawah ruangan komen ini!
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/