- Berita
- Teknologi
- Hyundai Cipta Tinted Yang Lebih Efektif Tanpa Gelapkan Cermin?
Hyundai Cipta Tinted Yang Lebih Efektif Tanpa Gelapkan Cermin?
Nano Cooling Film halang ruang dalam kereta daripada cuaca panas di luar tanpa memerlukan 'kegelapan'
Syarikat automatif Korea, Hyundai, telah berjaya menghasilkan lapisan filem atau tinted cermin kereta Nano Cooling Film yang memiliki keupayaan penyejukan yang lebih baik daripada lapisan filem biasa.
Teknologi Nano Cooling Film yang dibangunkan ini mampu menghalang haba daripada luar dan memancarkan haba dalaman ke luar. Jadi, apa bezanya dengan lapisan filem biasa?
Menurut Hyundai, fungsi tersebut mampu dilakukan tanpa memberi kesan kepada tahap kejernihan cermin kereta.
“Lapisan luar filem ini memancarkan haba pada jarak gelombang inframerah pertengahan (mid-infrared wavelength) dari dalam kenderaan ke luar, manakala dua lapisan dalamnya memantulkan haba masuk pada jarak gelombang inframerah dekat, mengurangkan jumlah haba yang masuk ke dalam kenderaan,” terang Hyundai.
Berbeza dengan tinted lain, keupayaan penolakan haba lapisan filem Hyundai ini dapat dicapai tanpa mengurangkan kejernihan cermin, ini penting untuk pasaran dengan peraturan cermin gelap yang ketat.
Untuk membuktikan keberkesanannya, baru-baru ini, Hyundai telah menjalankan ujian dunia sebenar dengan memasang Nano Cooling Film pada 70 kenderaan pelanggan di Lahore, Pakistan. Walaupun suhu di negara tersebut boleh mencapai setinggi 50°C, Pakistan melarang pengguna kenderaan daripada memasang lapisan filem pada cermin.
Hasil daripada ujian ini menunjukkan Nano Cooling Film mampu menurunkan suhu di bahagian kepala pemandu sehingga 10.98°C berbanding dengan tinted biasa dan sehingga 12.33°C berbanding kenderaan yang sama tanpa tinted tingkap.
Tambah Hyundai lagi, filem ini lebih berkesan dalam mengurangkan suhu permukaan dalaman, menurunkan bacaan suhu crash pad sehingga 15.38°C berbanding dengan kenderaan yang menggunakan tinted konvensional, dan sehingga 22°C berbanding dengan kenderaan tanpa sebarang tinted.
Ujian yang telah diadakan di Pakistan ini bertujuan untuk memastikan kualiti dan keupayaan tinted yang dihasilkan dalam dunia sebenar. Hasil yang memberangsangkan ini mungkin menandakan Hyundai akan mengeluarkan produk ini secara besar-besaran tidak lama lagi.
Hyundai bagaimanapun tidak membuat sebarang pendedahan mengenai bilakah tinted ini akan dikeluarkan, namun syarikat itu memaklumkan bahawa sebaik ia dikeluarkan nanti, pengguna boleh memilih untuk menggabungkan tinted Nano Cooling Film dengan tinted konvensional lain untuk kesan penyejukan yang lebih tinggi.
Kami juga tidak menolak kemungkinan sekiranya kereta-kereta Hyundai dan mungkin juga Kia pada masa akan datang bakal dipasangkan dengan Nano Cooling Film.
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv