- Berita
- Teknologi
- NETA Bakal Guna Teknologi Kokpit Tercanggih Snapdragon, Meterai MoU Bangun Kilang CKD Di Rembau
NETA Bakal Guna Teknologi Kokpit Tercanggih Snapdragon, Meterai MoU Bangun Kilang CKD Di Rembau
NETA Auto, bersama-sama dengan Qualcomm dan AutoLink, telah melancarkan platform integrasi kokpit untuk pemanduan atau cockpit-to-drive, Snapdragon Ride Flex (SA8775P) semasa Auto China 2024. Platform ini merupakan satu pencapaian yang besar dalam teknologi kokpit pintar.
NETA Auto turut mengumumkan bahawa mereka merupakan peneraju dalam penggunaan teknologi terbaru ini dan merancang untuk memulakan pengeluaran kenderaan yang dilengkapi dengan teknologi ini secara besar-besaran pada suku kedua tahun 2025.
Platform Snapdragon Ride Flex merupakan sebuah teknologi yang dibangunkan dengan menggabungkan fungsi kokpit digital dan ciri pemanduan pintar ke dalam satu sistem pada cip (SoC). Ini menjanjikan kuasa pemprosesan yang lebih baik melalui CPU, GPU dan NPU-nya, membolehkannya untuk melaksanakan pelbagai ciri kokpit yang canggih yang termasuk render 3D yang imersif secara langsung, skrin 8K ultra HD dan kesan audio canggih yang responsif.
Dari segi keselamatan, platform ini memenuhi standard keselamatan berfungsi ASIL-D, yang merupakan tahap keselamatan automotif yang tertinggi, menjadikannya pemimpin dalam prestasi keseluruhan. Snapdragon Ride Flex merupakan satu kemajuan yang besar berbanding teknologi kokpit NETA Auto sebelum ini.
Teknologi ini, bersama dengan interaksi multi-skrin dan multi-modul eksklusif NETA Auto, menyediakan pengalaman pemanduan, hiburan, keselesaan dan keselamatan yang tiada tandingannya. Dalam masa yang sama, ia turut menjanjikan prestasi yang jauh lebih baik di samping memberikan perlindungan privasi dan keselamatan yang terbaik kepada pengguna.
Semasa acara pelancaran teknologi ini di Auto China 2024, NETA Auto juga telah menandatangani perjanjian dengan konglomerat Malaysia, Intro Synergy Sdn. Bhd untuk membangunkan kilang pengeluaran tempatan (CKD) di NexV Manufacturing Sdn Bhd (NMSB) yang baharu ditubuhkan, di Rembau, Negeri Sembilan.
Fasiliti CKD ini dijadualkan untuk memulakan proses pengeluaran kenderaan pada Januari 2025 dengan kapasiti tahunan sebanyak 30,000 kenderaan. Ini selari dengan pelan pengedaran global NETA untuk memenuhi permintaan yang meningkat dalam pasaran kenderaan elektrik.
NETA juga akan bekerjasama dengan rakan perniagaan tempatan untuk membina rangkaian industri yang lengkap di Malaysia, termasuk rantaian bekalan, saluran jualan, perkhidmatan selepas jualan dan kemudahan pengecasan, yang sekaligus dapat menyumbang kepada pertumbuhan industri EV Malaysia.
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv