- Berita
- Teknologi
- EV smart #5 Bakal Guna Sistem Audio 20 Speaker Sennheiser
EV smart #5 Bakal Guna Sistem Audio 20 Speaker Sennheiser
Sejak kenderaan elektrik (EV) smart #1 diperkenalkan, jenama ini telah sinonim dengan penggunaan sistem audio Beats, sistem sama ditawarkan pada crossover coupe smart #3. Namun, tidak lagi pada masa akan datang kerana smart baru-baru ini mengumumkan kerjasama dengan syarikat audio terkenal, Sennheiser, dalam usaha untuk “meningkatkan hiburan audio dalam kereta pada masa hadapan.”
Sennheiser Signature Sound Sytem untuk Smart #5
Melalui kerjasama ini, sistem audio premium Sennheiser akan ditawarkan pada EV smart yang akan dikeluarkan pada masa akan datang. Model pertama yang bakal menerima ciri ini ialah SUV smart #5 yang akan membuat kemunculan global tidak lama lagi.
Dikenali sebagai Sennheiser Signature Sound System, sistem audio ini hadir dengan 20 unit speaker, jauh lebih banyak daripada 13 speaker yang ditawarkan oleh Beats sebelum ini. Dengan output lebih daripada 2,000 watt, sistem audio premium ini turut menampilkan teknologi paten Sennheiser seperti Concerto dengan Ambeo dan algoritma audio Contrabass, serta sokongan audio sekeliling, Dolby Atmos.
Susunan Speaker dan Integrasi dengan Pencahayaan Ambien
20 unit speaker Sennheiser ini disusun dengan teliti untuk memberikan pengalaman audio yang mengasyikkan. Speaker ini akan dipasang pada pintu dan satu unit lagi pada papan pemuka. Seperti speaker Beats, speaker Sennheiser juga diintegrasikan dengan sistem pencahayaan ambien kereta, yang mana cahaya boleh mengikut rentak muzik yang dimainkan.
Mengulas mengenai kerjasama ini, Ketua Pegawai Pemasaran Global smart, Mandy Zhang, berkata, “Kerjasama kami dengan Sennheiser menandakan permulaan era baharu untuk teknologi hiburan dalam kereta smart dan permulaan baharu dengan rakan global yang luar biasa. Kami yakin dapat menyediakan pengalaman audio yang tiada tandingan.”
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Sennheiser, Andreas Sennheiser, berkata, “Kami teruja untuk terus membawakan audio Sennheiser yang luar biasa ke dalam ruang automotif melalui kerjasama dengan smart. Di Sennheiser, kami menghasilkan produk dan pengalaman yang dapat mebangkitkan rasa kagum. Dalam kerjasama ini, kami bersedia untuk menawarkan pengalaman yang imersif, meletakkan pemandu dan penumpang di tengah-tengah muzik kegemaran mereka.”
Gambaran Ruang Kabin Smart #5
Secara ‘tidak sengaja,’ foto sistem audio Sennheiser ini turut memberikan gambaran ruang kabin smart #5. Dari foto yang dikongsikan, kita dapat melihat penggunaan kemasan venier kayu mewah, ini berbeza dengan material sentuhan lembut yang terdapat pada model #1 dan #3.
Untuk melihat rekaan smart #5 dengan lebih terperinci, kita nantikan sahaja penampilah global pertamanya yang bakal berlangsung di Australia tidak lama lagi.
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv