- Berita
- Pandu Uji
- [PANDU UJI] 9 Sebab Mengapa smart #3 Brabus EV Sporty Paling Berbaloi Untuk Dimiliki
[PANDU UJI] 9 Sebab Mengapa smart #3 Brabus EV Sporty Paling Berbaloi Untuk Dimiliki
Selepas kejayaan smart #1, smart Malaysia (PRO-NET) telah memperkenalkan smart #3, sebuah SUV crossover elektrik yang lebih besar, lebih sporty dan lebih canggih.
Setelah diberikan peluang untuk pandu uji varian tertinggi EV ini baru-baru ini, dalam artikel kali ini kongsikan 9 sebab mengapa smart #3 Brabus adalah antara EV premium terbaik yang ditawarkan di pasaran Malaysia buat masa ini.
1. Rekaan Lebih Sporty dan Menarik
Smart #3 Brabus memiliki garis bumbung yang lebih landai, memberikannya gaya coupe yang lebih sporty berbanding model terdahulu, smart #1. Bentuk badan kali ini juga lebih aerodinamik dengan pekali seret (coefficient drag) hanya pada 0.27 cd berbanding 0.29 untuk #1.
Untuk sesi pandu uji, kami telah diberikan unit berwarna Photon Orange yang eksklusif hanya ditawarkan untuk varian Brabus. Varian teratas ini juga diberikan rim ‘Synchro’ 20 inci, logo berwarna hitam dan aerokit yang menambah daya tarikannya.
Selain itu, dari segi ukuran, smart #3 berukuran 4,440 mm panjang, 1,800 mm lebar, 1,600 mm tinggi dan dengan jarak antara roda 2,785 mm, menjadikannya lebih rendah, tetapi lebih panjang daripada smart #1.
2. Kabin yang Lapang & Futuristik
Seperti smart #1, sentuhan minimal masih dikekalkan. Tiada sebarang butang kawalan fizikal dapat dilihat pada konsol tengah kerana kebanyakan fungsi kereta boleh dikawal melalui sistem infotainmen dengan beberapa ciri yang sering digunakan seperti kekuatan audio boleh dikawal pada stereng.
Bersesuaian dengan harga jualannya, ruang kabinnya terasa premium dengan penggunaan upholsteri gabungan gentian mikro dengan kulit. Stereng pula sedap dipegang dengan balutan Alcantara. Kesemua balutan ini dikemaskan dengan jahitan kontra berwarna merah. Warna merah turut digunakan pada tali pinggang dan sulaman tulisan Brabus pada perehat kepala.
Menambahkan lagi gaya premium model kali ini adalah penggunaan corong pendingin hawa berbentuk bulat di bahagian tengah seperti dalam Mercedes-Benz, berbeza dengan smart #1 yang diberikan corong berbentuk bujur.
3. Meluncur Laju dengan Kuasa Lebih 400 HP!
Digerakkan oleh dua motor yang menghasilkan kuasa 428 hp dan 543 Nm, smart #3 Brabus mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.7 saat, yang setanding dengan kemampuan pecutan kereta sport.
Keseronokan yang sebenar dapat dirasakan apabila mod pemanduan Brabus diaktifkan terutamanya semasa melalui selekoh. Dalam mod ini, berat stereng diubah secara automatik agar lebih sesuai dengan kuasa dihamburkan. Selain itu, pelarasan tork depan-belakang menjadi lebih pantas. Semua ini turut dibantu oleh keseimbangan berat casisnya, 50:50, serta tetapan suspensi yang lebih keras, sempurna untuk sebuah varian berprestasi tinggi.
Turut membantu adalah penggunaan brek besar yang memberikan cengkaman kuat untuk memberhentikan #3 Brabus serta-merta sekiranya perlu. Yang menariknya, kaliper brek ini dicat dalam warna merah menyala, menyerlahkan lagi gaya sporty varian ini.
4. Bateri Capai 80% Kurang 30 Minit
Menggunakan senibina elektrikal yang mampu menampung 800 volt dan bateri berkapasiti 66 kWj, smart #3 Brabus boleh mencapai jarak perjalanan sehingga 415 km dengan cas penuh. Untuk mendapatkan jarak pemanduan yang sejauh mungkin, tekanan pedal yang terlalu agresif perlu diminimumkan.
Dengan pengecas DC 150 kW, kereta dapat dicas daripada 10% hingga 80% dalam masa kurang daripada 30 minit, manakala dengan pengecas AC 22 kW pula, ia boleh dicas penuh dalam masa kurang daripada empat jam.
5. Satu-Satunya Jenama yang Memudahkan Rancangan Perjalanan dengan EV
Ramai yang masih ragu-ragu untuk membeli EV sebab bimbang sekiranya kereta yang dipandu tidak sempat sampai ke destinasi dengan bateri yang mencukupi.
Namun, isu ini tidak wujud dengan EV smart kerana jenama ini menyediakan kemudahan untuk pengguna mencari lokasi pengecas di sepanjang perjalanan, yang turut menyatakan anggaran baki bateri yang tinggal apabila tiba di sesebuah stesen pengecasan.
Sistem ini boleh diakses melalui skrin infotainmen besarnya yang berukuran 12.8 inci dan aplikasi Hello smart melalui telefon pintar. Selain pencarian stesen, pengguna juga boleh membuat bayaran dan mengaktifkan pengecasan melalui sistem yang sama.
6. Selesa & Praktikal
Walaupun suspensi Brabus lebih keras (untuk tujuan prestasi) berbanding varian di bawahnya, ia tetap menjanjikan keselesaan, terutamanya untuk penumpang belakang kerana ruang kaki yang lebih luas.
Akses ruang but juga lebih mudah dengan adanya 'butang tersembunyi,' selain boleh dibuka dengan butang pada kunci dan sensor tendangan.
Ruang but juga lebih besar iaitu 370 liter (323 liter pada smart #1) yang boleh ditingkatkan kepada 1,160 liter sekiranya kerusi belakang dilipat.
Satu-satunya kekurangan pada EV premium ini adalah ketiadaan penutup bumbung kaca panoramik automatik, namun ini bukanlah masalah besar kerana penutupnya disediakan untuk dipasang secara manual dengan mudah.
7. Keselamatan Terjamin
Pelbagai sensor radar dan optik dipasang di sekeliling smart #3, yang membolehkan 21 ciri ADAS pada model ini. Turut disertakan adalah kamera parkir pandangan keliling 360 darjah.
Dengan 21 ciri ADAS, smart #3 menjanjikan tahap keselamatan yang tinggi. Ciri ini adalah termasuk Brek Kecemasan Autonomi (AEB), Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW), Pengesanan Titik Buta (BSD) dan Lampu Tinggi Automatik (AHB).
Ciri keselamatan yang padat ini membolehkan pemanduan separa autonomi. Walau bagaimanapun, sistem yang canggih ini mungkin memerlukan masa untuk difahamkan dan dimanfaatkan dengan cekap.
8. Parkir Automatik
Selain ciri keselamatan yang dinyatakan, EV smart turut didatangkan dengan keupayaan parkir secara automatik. Hanya pilih petak parkir, lepaskan stereng dan tenangkan fikiran, "tiba-tiba" kereta dah masuk petak dengan "kemas."
9. Harga yang Berpatutan dengan Ciri Premium yang Ditawarkan
Smart #3 Brabus ditawarkan di pasaran pada harga RM255,000, tidak termasuk insurans. Bukan sekadar sarat dengan ciri mewah dan menjanjikan prestasi yang tinggi, pembelian juga termasuk jaminan bateri EV selama 8 tahun atau 200,000 km, di samping jaminan komponen EV selama 8 tahun atau 150,000 KM. Ini semua didatangkan dengan jaminan standard kenderaan selama 4 tahun tanpa had perbatuan dan dengan bantuan jalan raya 24/7.
Dengan segala kelebihan yang ditawarkan, smart #3 Brabus memang wajar dipertimbangkan jika anda mencari sebuah SUV elektrik premium yang sporty dan praktikal.
SPESIFIKASI
smart #3 Brabus
MOTOR | 2x motor elektrik |
TRENKUASA | Satu nisbah, pacuan semua roda (AWD) |
KUASA | 428 HP |
TORK | 543 NM |
0-100 KM/J | 3.7 saat (launch control) |
V-MAX | 180 KM/J (dihadkan secara elektronik) |
BATERI & PENGECASAN | Bateri: NMC 66 kWj Masa Pengecasan: AC @ 22 kW - 0-100% dalam masa 3 jam 30 min DC @ 150 kW - 10-80% dalam masa 30 min |
JARAK PERJALANAN | 415 KM (atas kertas, WLTP) |
BERAT | 1,910 KG (atas kertas, bersih) |
HARGA | RM255,000 |
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv