- Berita
- Pandu Uji
- Proton S70, Harga Bawah RM100K, Ada ADAS! TAPI
Walaupun belum setahun jagung, namun model Proton S70 berjaya menggoda hati rakyat Malaysia.
Manakan tidak, model yang dilancarkan pada November 2023 ini telah berjaya dijual sebanyak lebih 10,000 unit setakat ini.
Bayangkan, belum setahun usianya, penulis juga agak terkesima kerana ramai betul yang bertanyakan kepada saya mengenai Proton S70.
Malah, ada yang terus menempah tanpa memandu uji jentera itu. Fuh, lain macam minat rata-rata pembeli sekarang!
Ini yang membuatkan saya tertanya-tanya apakah keistimewaan Proton S70 sehinggakan saya menerima soalan bertalu-talu hanya mengenai model baharu itu.
Setelah memandu uji, barulah saya faham kenapa ramai sangat yang bertanyakan tentang S70!
Oh, ya unit pandu uji ini ialah varian Flagship X S70.
Ada kelebihan…
1. REKA BENTUK HEBAT
Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pereka bentuk yang terlibat dalam mereka cipta model S70.
Ia sebenarnya hampir serupa dengan Geely Emgrand. Maka, tidak hairanlah mengapa model ini menggunakan spesifikasi asas daripada Geely Emgrand.
Malah, ia turut dibangunkan berdasarkan platform BMA yang dikhususkan untuk kenderaan segmen B.
Begitupun, wajahnya masih sama seperti adik-beradiknya yang lain seperti Proton Saga dan Waja terutama di bahagian punggung.
Jika anda mengamati dengan lebih dekat, struktur menegak yang memisahkan bahagian atas dan bawah but lampu belakang mirip dengan permukaan Proton Saga.
Malah, terdapat tingkap kecil berhampiran tiang-C yang menyebabkan ia kelihatan seperti Proton Waja.
Namun ia sedikit berbeza dengan mereka kerana ia didatangkan dengan bumbung panaromik menyebabkan ia kelihatan lebih moden dan premium.
Menjengah bahagian grilnya, ia didatangkan dengan corak elemen songket Infinite Weave yang sememangnya sudah menjadi signatur Proton.
Grilnya yang diapit dengan lampu depan jenis LED agak menarik. Ini kerana apabila anda membuka atau mengunci kenderaan ini, lampu depannya itu akan seakan-akan menari.
Selain itu,susunan lampu nyalaan siang hari dan lampu belakang kelihatan agak teratur membuatkan Proton S70 ini lebih tampan.
Ya, bagi penulis jentera ini agak segak mungkin kerana ia adalah kereta sedan. Dari segi dimensi, ia adalah sepanjang 4,638mm, 1,822mm (lebar) dan 1,460mm (tinggi).
Nampaknya, ia lebih besar berbanding Proton Preve. Dari sisi pula, ia didatangkan dengan rim bersaiz 17 inci namun saya cukup tertarik dengan ruang butnya.
Melihat kepada ruang butnya yang bersaiz 500 liter, ia sudah memadai untuk anda mengangkut pelbagai barangan untuk balik ke kampung .
Cuma yang kurang syok, apabila tutup ruang butnya kerana bunyinya kedengaran seperti kereta lama sedikit.
KABIN RINGKAS.
Ketika penulis melangkah masuk ke dalam kabinnya, bagi saya ia kelihatan cukup moden, tambah pula, dengan adanya bumbung panaromik.
Untuk menghidupkan enjinnya, ia menawarkan butang push start.
Beralih ke skrin infotainmen, ia didatangkan dengan skrin sesentuh 12.3-inci dengan arahan suara 'Hi Proton' selain menawarkan paparan untuk kamera 360-darjah, dan digunakan untuk pelbagai fungsi kereta.
Varian ini tidak ada banyak butang fizikal sehinggakan sistem penghawa dinginnya boleh dikawal menerusi skrin ini yang memberikan paparan digital yang lebih interaktif.
Secara jujurnya, penulis lazimnya kurang gemar menggodek bahagian infotainmen dengan terperinci.
Apa yang saya sempat melihat ialah di dalam skrin itu terdapat , peta navigasi, beberapa aplikasi muzik seperti Spotify dan Syiok, kamera 360 darjah dengan paparan 3D yang mendapat melihat persekitaran kenderaan.
Dari segi konsol tengah, jika anda duduk di belakang, anda berasa konsol tengahnya itu kelihatan agak senget tetapi desain itu yang menyebabkan ia kelihatan sedikit berbeza dengan sedan Proton lain.
Kebanyakan fungsi kereta ini sebenarnya mudah dikendalikan.
Menyentuh mengenai kerusi pemandu, kerusi penumpang hadapan dan belakang, ia adalah cukup selesa.
Sebelum terlupa, bahagian tempat duduknya pemandunya boleh dilaraskan secara automatik.
Saya sempat duduk di belakang bersama anak-anak sebelum memandu uji jentera ini ke Melaka.
Sebagai penumpang yang mempunyai ketinggian 157 sentimeter, bagi saya, tiada sebarang masalah.
Ruang kepala dan kaki cukup memadai buat saya. Manakan tidak, varian ini juga didatangkan dengan perehat tangan yang boleh dilipat.
Di bahagian belakang, terdapat juga penghawa dingin automatik dan dua slot USB pengecasan.
Jadi, jangan risau jika anda mungkin sekali-sekala terpaksa menjadi penumpang di belakang.
Berbalik kepada bahagian hadapan, ia sebenarnya menawarkan ruang penyimpanan yang cukup besar.
Bermula di bahagian sisi pintu, anda sebenarnya boleh meletakkan botol besar dan terdapat satu storan di bawah konsol terowong dimana anda boleh menyembunyikan barangan berharga.
Tapi kalau nak letak laptop memang tak muatlah. Sekadar nak letak beg duit atau beg tangan, bolehlah.
PANDU UJI
Setiap kali, saya menerima unit pandu uji, saya lebih gemar menikmati pemanduannya.
Sebagai makluman, Proton S70 enjin tiga silinder 1.5 liter turbo dengan kuasa 150hp dan 226 Nm tork yang dipadankan dengan transmisi klac berkembar (DCT) tujuh kelajuan.
Sebagai mak-mak, bagi saya, hamburan kuasa yang ditawarkan sudah memadai buat saya.
Pada mulanya, saya menyangka jentera ini tidak boleh dipecut namun sangkaan saya meleset sebaik sahaja menekan pedal minyak.
Rupa-rupanya, daya pecutan Proton S70 sebenarnya boleh bertanding dengan pesaing-pesaing model keluaran Jepun.
Ketika saya memecut pada kelajuan 160 kilometer sejam, model sedan ini sebenarnya tiada masalah dalam menjangkaui had laju lebuhraya.
Di saat cuba-cuba memecut, saya dapat merasakan kereta ini cukup ringan sehinggakan ada ketika itu saya lupa diri bahawa saya sebenarnya seorang ibu yang sedang membawa dua anak untuk sesi pandu uji kali ini.
Sepanjang pemanduan, saya tidak berasa kereta ini terbuai di tengah jalan dan boleh ambil corner dengan begitu baik.
Bagi bab daki bukit, penulis tidak berkesempatan untuk mengetahui sama ada dia larat daki atau tidak.
S70 TAK KUAT MAKAN MINYAK?
Ya, ketika saya mengambil unit pandu uji ini, pihak Proton menyerahkan kepada saya dengan tangki penuh dimana ia boleh melakukan perjalananan sejauh 680 kilometer.
Saya sempat merakam gambar meter sebelum keluar.
Pada hari pertama, saya membawa terus S70 dari COE, Shah Alam ke Putra Heights, Subang Jaya.
Pada hari kedua, saya diminta untuk hadir ke pejabat untuk membolehkan team shooting untuk membuat video.
Sebaik mereka selesai, saya membawa pulang ke rumah.
Pada keesokannya harinya, meter menunjukkan tangki minyak bahawa minyak yang ada boleh bergerak sejauh 500 kilometer lagi.
Saya kemudian memandunya ke Melaka ikut jalan lama memandangkan PLUS ketika itu agak jam teruk.
Sepanjang menelusuri kawasan kampung dan selekoh tajam, saya sempatlah menikmati pemanduannya yang cukup tenang.
Lepas pergi balik, minyaknya masih tinggal dalam 100 kilometer lebih.
Ketika itu, boleh tahan juga saya merayau di Melaka sehingga malam buta namun meter tangkinya cukup menjimatkan.
Ada juga yang menganggap saya seorang pemandu yang pandai jaga minyak?
Bagi saya, kalau kita bawa macam manusia, S70 memang jimat minyak kaw-kaw.
Kalau kau bawa macam pelesit, faham-faham jelah macam mana dia akan sedut minyak.
LENGKAP ADAS:
Untuk mereka yang mahukan sedan dengan spesifikasi lengkap, anda boleh mendapatkan S70 1.5T Flagship ini kerana ia mendapat ciri seperti kelengkapan ADAS.
Proton S70 sebenarnya lebih menarik dan mantap jika dibandingkan dengan varian sedan yang pernah dihasilkan pengeluar kereta nasional tersebut sebelum ini.
Ini kerana S70 memiliki Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) tahap dua. Jadi varian paling atas ini menerima pelbagai ciri keselamatan, antaranya seperti: Brek Kecemasan Autonomi (AEB), Amaran Rempuhan Depan (FCW), Kawalan Jelajah Adaptif (ACC) dengan Henti & Mula (Stop & Go) dan enam beg udara
Ia turut dilengkapi dengan Amaran Jelajah Pintar (ICC), Amaran Tukar Lorong (LDW), Elak Tukar Lorong (LDP), Kawalan Pemusatan Lorong (LCC), Maklumat Tanda Jalan (TSI) dan Kawalan Lampu Suluh Tinggi Pintar (IHBC).
Malangnya, ciri keselamatan ini hanya ditawarkan untuk varian FLAGSHIP!
Untuk itu, Proton telah dinamakan sebagai penerima Anugerah Kecemerlangan – Industri pada majlis Anugerah Grand Prix ASEAN NCAP 2024 atas komitmen berterusan syarikat untuk memajukan keselamatan kenderaan.
APA YANG TAK SYIOKNYER?
Setiap keluaran model ada kelebihan dan kekurangan. Begitu juga dengan Proton S70.
Salah satunya ialah tiada sambungan Apple Carplay dan Android Auto.
Ia adalah sesuatu yang mengecewakan namun bagi saya dengan adanya ‘infotainment’, ia sudah memadai untuk penggunaan harian.
Yang kedua ialah bunyi bising enjin.
Sebaik saya menghidupkan kedengaran bunyi enjin kuat seolah-olah enjin lori.
Ketika pandu uji, kedengaran bunyi bising yang meresap masuk ke dalam kabin tetapi bunyi bising itu hanya kedengaran jika anda memandu pada had kelajuan yang tinggi.
Bagi saya, jika anda menukar tayar yang berkualiti tinggi, kemungkinan besar bunyi bisingnya akan berkurangan.
HARGA MARHAEN
Bagi yang berminat, S70 didatangkan dalam empat varian: 1.5T Executive, 1.5T Premium, 1.5T Flagship dan 1.5T Flagship X.
Berikut adalah harganya:
• PROTON S70 1.5T Executive – RM 73,800
• PROTON S70 1.5T Premium – RM79,800
• PROTON S70 1.5T Flagship – RM89,800
• PROTON S70 1.5T Flagship X - RM94,800
S70 didatangkan dengan tujuh warna luaran yang ditawarkan oleh Proton namun ia bergantung kepada varian yang anda pilih.
Warna Snow White dan Space Grey tersedia untuk keempat-empat varian S70, namun Armour Silver dan Passion Red hanya ditawarkan untuk Premium dan Flagship.
Marine Blue dan Teal Bayou Green pula hanya untuk Flagship dan Flagship X manakala Quartz Black adalah eksklusif untuk Flagship X sahaja.
Secara kesimpulan, bagi saya ia adalah model sedan yang berbaloi di beli.
Dengan harga di bawah RM100,000, mana nak dapat kereta yang jimat minyak, bergaya dan cukup selesa.
Kalau anda dah jatuh hati, segeralah ke pengedar proton yang sah berdekatan dengan rumah anda!
Gallery




Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Biarpun syarikat Utusan Melayu, tempat saya bekerja sudah ditutup namun semangat juang sebagai wartawan tetap mekar dalam sanubari