- Berita
- Pandu Uji
- [PANDU UJI] 8 Perkara Yang Anda Perlu Tahu Sebelum Beli Hyundai Tucson 1.6T Max
[PANDU UJI] 8 Perkara Yang Anda Perlu Tahu Sebelum Beli Hyundai Tucson 1.6T Max
Dalam segmen SUV-C yang kompetitif, Hyundai Tucson 1.6T Max mungkin tidak menerima perhatian yang sewajarnya. Namun, model generasi keempat ini menawarkan pelbagai kelebihan yang menjadikannya pilihan yang menarik. Bukan sekadar kata-kata, sebab kami sendiri berpeluang untuk pandu uji model ini selama beberapa hari baru-baru ini.
Ditulis berdasarkan pengalaman kami, di sini kami kongsikan 8 perkara yang anda perlu tahu sebelum membeli Hyundai Tucson 1.6T Max.
1. Reka Bentuk Yang Memukau Pandangan
Rekaan luaran Tucson ini cukup mencuri perhatian kami. Dari sudut hadapan terutamanya, model ini menampilkan sentuhan rekaan yang unik dengan gril bercorak geometrik yang digelar “Parametric Jewel” oleh Hyundai.
Sudut tepinya pula kelihatan menarik dengan garis badan yang jelas membuatkannya kelihatan sporty dan agresif. Di sini juga dapat dilihat penggunaan rim berukuran 19 inci.
Sentuhan agresif sama turut diberikan pada bahagian belakang dengan penggunaan bar lampu melintang berkelebaran penuh dan lampu belakang yang kelihatan seperti taring.
2. Ruang Kokpit Yang Praktikal dan Lengkap
Menjengah masuk ke bahagian dalam kabin, pemandangan yang disajikan sangat sedap dipandang. Sentuhan minimalis diberikan pada segenap sudut, skrin infotainmen bersaiz 10.25 inci terpasang kemas pada konsol tengah tanpa mengganggu pandangan pada ruang dashboard yang kelihatan lapang.
Sistem infotainmennya menyokong sambungan dengan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa menggunakan wayar. Di sebalik stereng, terdapat kluster instrumen digital berukuran 8 inci.
Bagaimanapun beberapa ciri penting seperti papar pandu (HUD) dan memori tempat duduk pemandu tidak disediakan. Tetapi ini bukanlah masalah besar, memandangkan ciri premium lain disediakan seperti tempat duduk hadapan yang boleh dilaraskan kepada 8 arah serta fungsi pemanas dan pengudaraan (yang penting untuk cuaca Malaysia).
Yang penting, walaupun sentuhan minimalis digunakan, kawalan untuk ciri penting seperti A/C dan fungsi memandu boleh diakses dengan butang fizikal, tidak ‘terbenam’ di dalam skrin.
3. Keselesaan Penumpang
Kesemua tempat duduknya diberikan upholsteri kulit yang mewah dan empuk. Tempat duduk belakang boleh direbahkan untuk keselesaan tambahan.
Dengan jarak antara roda 2,755 mm, SUV segmen C dari Korea ini menjanjikan ruang kabin yang luas terutamanya untuk penumpang belakang. Ruang kaki dan ruang kepala cukup lapang.
Untuk keselesaan maksimum, barisan tempat duduk belakang turut diberikan corong pendingin hawa dan juga port USB.
4. Ruang Bagasi yang Luas
Ruang kargo juga lebih luas dengan kapasiti 582 liter yang boleh ditingkatkan sehingga 1,903 liter apabila kerusi belakang dilipat.
Selain ruang kargo yang luas, apa yang turut menarik perhatian kami adalah ketersediaan ruang simpanan tayar serta tayar bersaiz penuh, yang boleh dikatakan jarang disediakan oleh kebanyakan model kereta terkini.
5. Mod Sport Menjanjikan Keseronokan Pemanduan Sebenar
Varian yang kami pandu uji, varian tertinggi 1.6T Max menggunakan enjin 1.6 liter turbo dengan output kuasa 178 hp dan 265 Nm yang menurut Hyundai boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa sepantas 8.8 saat.
Kuasa disalurkan kepada roda hadapan (FWD) melalui sistem transmisi automatik DCT tujuh kelajuan.
Semasa dipandu, sistem transmisi yang digunakan terasa agak kurang ‘kehalusan’ di dalam mod pemanduan Normal dan Eco, bagaimanapun, isu ini hilang apabila kami memandu menggunakan mod Sport. Mod ini memberikan kualiti kawalan dan respon pendikit (throttle) yang lebih baik.
6. Pengendalian dan Keselesaan Pemanduan
Dari segi pengendalian, Tucson yang diuji ini diberikan talaan suspensi yang lembut, sekaligus menjadikan perjalanan terasa selesa dan lancar, sesuai dengan ‘tema keseluruhan’ model ini sebagai sebuah jentera yang praktikal untuk seisi keluarga dan kegunaan harian.
Bagaimanapun, tayar standard yang dibekalkan agak bising dan kurang cengkaman pada permukaan jalan yang licin. Ada bajet lebih, boleh pertimbangkan untuk tukar kepada tayar yang lebih baik.
7. Ciri Keselamatan Aktif dan Pasif Lengkap
Sebagai varian teratas, 1.6T Max dilengkapi dengan pakej keselamatan ADAS Hyundai SmartSense yang termasuk Kawalan Pelayaran Pintar (SCC), Bantuan Kekal Lorong (LKA), Pengelak Perlanggaran Titik Buta (BCA), Bantuan Elak Perlanggaran Hadapan (FCA) dengan pengesanan di simpang (FCA-JT) dan banyak lagi. Tucson turut diberikan Sistem Pemantau Tekanan Tayar (TMPS).
Selain itu, model ini didatangkan dengan ciri kamera pandang belakang, namun tiada kamera 360 darjah yang dapat memudahkan lagi jentera sebesar ini dikawal di laluan sempit.
8. Penggunaan Bahan Api
Dari aspek ekonomi, enjin petrol dengan pengecas turbo tidak begitu terkenal dengan kecekapan bahan apinya, dan malangnya, Tucson juga tidak terkecuali.
Walaupun Hyundai mendakwa kadar penggunaan bahan api model ini adalah 7.2 liter bagi setiap 100 km, kami hanya berjaya mencatat 11 liter bagi setiap 100 km dalam tempoh seminggu pemanduan, yang kebanyakannya melibatkan pemanduan di kawasan bandar dengan sedikit pemanduan agresif.
Walau bagaimanapun, purata penggunaan bahan api yang lebih baik tidak mustahil untuk dicapai sekiranya anda memandu jentera ini seperti sebuah SUV keluarga yang praktikal, dengan kaki yang tidak terlalu agresif menekan pedal.
9. Harga Jualan & Waranti yang Ditawarkan
Diimport sepenuhnya (CBU) dari Korea Selatan, varian tertinggi Tucson ini ditawarkan pada harga RM195,888. Walaupun dalam julat harga yang sama dengan beberapa pesaing lain, Tucson 1.6T Max masih kekurangan beberapa ciri yang menjadikannya sedikit ketinggalan.
Pakej jaminan yang ditawarkan oleh HSDM untuk Tucson juga sedikit mengecewakan, dengan jaminan kenderaan standard selama 2 tahun atau 50,000 km. Pembeli boleh mendapatkan jaminan lanjutan dengan bayaran tambahan sebanyak RM10,000, untuk jaminan kenderaan selama 5 tahun atau 300,000 km serta servis percuma selama 3 tahun atau 50,000 km.
Walaupun begitu, kami masih berpendapat bahawa Tucson masih merupakan pilihan yang baik bagi mereka yang benar-benar mengutamakan ruang, keselesaan dan ciri praktikal.
SPESIFIKASI
2024 HYUNDAI TUCSON 1.6T MAX (NX4)
ENJIN | Petrol, 1.6 liter 4 silinder SmartStream TGDi |
TRANSMISI | DCT 7 kelajuan, pacuan roda hadapan (FWD) |
KUASA | 178 HP @ 5,500 RPM |
TORK | 265 NM @ 1,500 RPM |
0-100 KM/J | 8.8 saat |
V-MAX | 201 KM/J |
PURATA PENGGUNAAN BAHAN API | 7.2 liter/100 KM (atas kertas) |
BERAT | - |
HARGA | RM195,888 Tidak termasuk insurans |
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv