- Berita
- EV
- Penghantaran Leapmotor C10 ke Rantau Asia Pasifik Bermula – Lancar di Malaysia 16 Oktober ini
Penghantaran Leapmotor C10 ke Rantau Asia Pasifik Bermula – Lancar di Malaysia 16 Oktober ini
Stellantis Malaysia bakal melancarkan SUV elektrik Leapmotor C10 pada 16 Oktober 2024 ini.
Leapmotor, yang dimiliki 51% oleh Stellantis, merupakan syarikat pemula (startup) kenderaan elektrik (EV) ketiga terbesar di China, dengan lebih daripada 460,000 unit kenderaan telah diserahkan kepada pengguna setakat September 2024.
Kali ini jenama automotif ini membuat pencapaian penting dalam pengembangan globalnya melalui penghantaran pertama SUV C10 dari Shanghai ke pelabuhan di seluruh rantau Asia Pasifik, termasuk Malaysia.
Apa yang Menarik dengan Leapmotor C10?
C10 dibangunkan berdasarkan platform tercanggih Leapmotor, LEAP 3.0, yang dilengkapi dengan motor elektrik tunggal di bahagian belakang yang menghasilkan 215 hp. Ia juga dilengkapi dengan bateri LFP 69.9 kWj yang mampu mencapai jarak perjalanan sehingga sejauh 420 km berdasarkan ujian WLTP dengan satu pengecasan penuh. Ini menjadikan C10 sebuah SUV elektrik segmen D yang mampu memberikan saingan sengit kepada model elektrik lain seperti XPeng G6.
C10 versi eksport yang akan dipasarkan di Malaysia turut menampilkan teknologi termaju cell-to-chassis (CTC) yang merupakan asas kepada platform EV ini. Teknologi ini menawarkan beberapa kelebihan yang signifikan dalam rekaan dan prestasi seperti penggunaan ruang bateri yang lebih optimum, ini membolehkan pengurusan haba yang baik di mana sistem ini mampu menghalang penyebaran haba sehingga 720 minit, mengelakkan isu kepanasan yang menjejaskan prestasi bateri.
Selain itu, teknologi CTC turut menyokong pelbagai input pengecasan , termasuk teknologi supercharging 800V/400V dan 4C/2C, memberikan fleksibiliti kepada pengguna untuk memilih pengecasan yang lebih pantas dan efisien, sekali gus memendekkan masa pengecasan.
CTC juga membantu meningkatkan kestabilan kenderaan dengan memberikan kekukuhan kilasan yang sangat tinggi, iaitu 42,500Nm/darjah. Ini bermakna, kenderaan mempunyai keupayaan untuk menyerap daya dengan lebih baik, menjadikannya lebih stabil dan selesa untuk dikendalikan di pelbagai jenis permukaan jalan.
Lebih menarik, aspek kawalan dan pemanduan kenderaan ini telah ditala oleh Maserati, meningkatkan lagi pengalaman pemanduan.
Seni bina CTC turut diintegrasikan dengan sistem Leapmotor Four-Leaf Clover Central Electronic dan Electrical Architecture (E/E), yang didatangkan dengan cip Qualcomm Snapdragon. Semua kawalan kenderaan, termasuk kokpit, pemanduan, kuasa dan sistem badan dikelola melalui satu unit pengawal mikro (MCU) dan System-on-Chip (SoC), menjadikan pengendalian kenderaan lebih cekap dan responsif.
Selain daripada aspek teknologi, C10 turut diiktiraf di peringkat antarabangsa kerana reka bentuknya yang elegan, termasuk memenangi anugerah 2023 International CMF Design Award. Kenderaan ini juga telah menerima penarafan 5 bintang dalam E-NCAP.
Rancangan Masa Depan
Stellantis turut merancang untuk melancarkan sekurang-kurangnya satu model Leapmotor baharu setiap tahun untuk tiga tahun akan datang, menunjukkan visi jangka panjangnya dalam mentransformasikan mobiliti elektrik di rantau ini. Ini sejajar dengan usaha untuk memperkukuh kehadiran kenderaan elektrik di pasaran Malaysia dan serantau.
Baca: SUV EV Comel Leapmotor T03 Diperkenalkan Di Eropah – Malaysia Pasaran Seterusnya?
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv