- Berita
- Global
- BIMS 2025: Chery Tiggo Cross Hybrid Dipertontonkan – Malaysia Seterusnya?
BIMS 2025: Chery Tiggo Cross Hybrid Dipertontonkan – Malaysia Seterusnya?
Chery Tiggo Cross Hybrid yang dipamerkan di Bangkok International Motor Show 2025
Selain GWM dan BYD, Chery turut mengambil peluang untuk memperkenalkan model baharu, Chery Tiggo Cross Hybrid, di Bangkok International Motor Show 2025 (BIMS 2025). SUV kompak ini dijangka akan dilancarkan di Thailand dalam masa yang terdekat.
Berbeza dengan model Tiggo Cross yang sebelum ini diperkenalkan di Indonesia, unit yang dipamerkan di Bangkok ialah versi pra-pengeluaran dengan sistem hibrid yang kini dalam fasa akhir pembangunan.
Lebih Besar daripada Honda WR-V & Perodua Ativa
Dari segi dimensi, Tiggo Cross Hybrid lebih besar berbanding pesaing terdekatnya. Ia berukuran 4,320 mm panjang dan 1,831 mm lebar dengan jarak roda 2,610 mm, menjadikannya lebih besar berbanding Perodua Ativa dan Honda WR-V.
Dikenali sebagai Tiggo 4 Pro di beberapa pasaran, Tiggo Cross Hybrid mengekalkan bentuk crossover SUV kompak dengan elemen rekaan yang dipengaruhi oleh model Tiggo yang lebih besar.
Baca: Chery Tiggo 4 Pro Raih ANCAP 5 Bintang
Di bahagian depan, terdapat lampu depan LED yang ‘tajam’, gril berbentuk heksagon dengan corak berbentuk berlian, serta tiang belakang berwarna hitam yang memberikan ilusi bumbung terapung seperti Tiggo 7 Pro.
Dari tepi, jentera ini kelihatan sporty dengan rim aloi dua tona bersaiz 17 inci. Bahagian belakang pula kelihatan moden dengan jalur lampu LED berkelebaran penuh.
Kabin Berkonsep Moden dengan Dua Skrin Digital
Memandangkan unit yang dipamerkan ialah model pemanduan sebelah kiri (LHD), beberapa ciri untuk di ruang kabinnya mungkin masih belum muktamad. Namun, berdasarkan pemerhatian, Tiggo Cross Hybrid menampilkan rekaan kabin yang hampir sama dengan Tiggo 4 yang dipertontonkan di China tahun lalu.
Ia dilengkapi dua skrin digital, tempat duduk balutan kulit yang sporty, bumbung suria kecil, serta konsol tengah yang tinggi untuk menambah elemen premium dan moden.
Enjin Hibrid dengan Output 190HP
Perbezaan paling ketara antara Tiggo Cross Hybrid dan versi enjin pembakaran dalaman (ICE) di Indonesia terletak pada trenkuasa yang digunakan. Model hibrid ini menggunakan enjin aspirasi natural 1.5L 4 silinder yang dipadankan dengan motor elektrik tunggal, dikuasakan oleh bateri kecil 1.8 kWj yang terletak di bawah ruang but.
Gabungan ini menghasilkan output keseluruhan 190 hp dan 370 Nm, membolehkan SUV ini melakukan pecutan 0-100km/j dalam 10.8 saat.
Pelancaran Chery Tiggo Cross Hybrid di Thailand dan Malaysia
Chery Tiggo 4 facelift yang dipertontonkan di China tahun lalu
Setakat ini, Chery Thailand belum mengumumkan tarikh rasmi pelancaran Tiggo Cross Hybrid, namun model ini dijangka memasuki pasaran tersebut dalam masa terdekat.
Bagi pasaran Malaysia, Chery Malaysia telah lama merancang untuk membawa masuk model ini, dan sebaik ia dilancarkan nanti, model ini bakal menjadi SUV Chery paling mampu milik setakat ini. Dengan harga Omoda 5 bermula dari RM99,800, ada kemungkinan Tiggo Cross Hybrid akan ditawarkan pada harga lebih rendah, mungkin dalam sekitar RM89,900, hampir setanding dengan Honda WR-V.
Baca: Chery Tiggo Cross Dilancarkan Di Indonesia – Malaysia Seterusnya?
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv