- Berita
- Teknologi
- Geely Perkenal G-Pilot: ADAS Canggih Dengan Navigasi Pintu-ke-Pintu
Geely Perkenal G-Pilot: ADAS Canggih Dengan Navigasi Pintu-ke-Pintu
Gergasi automotif China, Geely, telah memperkenalkan versi terkini sistem bantuan pemanduan (ADAS) G-Pilot. Ditawarkan dalam lima varian berbeza, sistem ini menjanjikan teknologi pemanduan autonomi yang lebih canggih, termasuk autonomi Tahap 3 dan navigasi pintu-ke-pintu.
Lima Varian dengan Ciri Berbeza
Varian asas, G-Pilot H1, dilengkapi ciri bantuan parkir automatik serta navigasi pandu auto (autopilot) di lebuh raya. Untuk memastikan kecekapan sistem, ia menggunakan sekurang-kurangnya 10 kamera dan lima radar gelombang milimeter.
Sementara itu, varian pertengahan seperti H3, H5 dan H7 menyokong navigasi pandu auto di lebuh raya dan jalan bandar. Namun, hanya H5 dan H7 yang dilengkapi sensor LiDAR, membolehkan navigasi pintu-ke-pintu tanpa keperluan peta definisi tinggi (HD).
Bagi varian paling premium, G-Pilot H9, ia menawarkan teknologi pemanduan autonomi Tahap 3 dengan pengalaman pemanduan sepenuhnya tanpa input pemandu. Sistem ini hadir dengan 13 kamera, tiga radar gelombang milimeter, serta beberapa sensor LiDAR. Walaupun begitu, Geely menyatakan bahawa ciri autonomi Tahap 3 hanya akan tersedia pada masa hadapan.
Model Pertama dengan G-Pilot
Geely mengesahkan bahawa model pertama yang akan menggunakan sistem G-Pilot ini ialah sedan elektrik Geely Galaxy E8 2025, yang akan dilengkapi sistem asas G-Pilot H1. Selain itu, teknologi ini juga akan diperluaskan kepada jenama lain di bawah Geely, termasuk Zeekr dan Lynk & Co.
Baca: Geely Galaxy Starship 7 PHEV Diperkenalkan Di China – Cecah 1,420 KM!
Potensi Ditawarkan dalam Model Proton
Buat masa ini, belum ada pengesahan sama ada sistem ini akan digunakan dalam model Proton. Namun, dengan spesifikasi keselamatan Proton e.Mas 7 yang hampir sama dengan kembarnya Galaxy, tidak mustahil ia akan diperkenalkan dalam model Proton pada masa akan datang.
Persaingan Semakin Sengit dalam Pembangunan Teknologi ADAS
Pengumuman Geely ini hadir ketika pesaing utama seperti BYD melancarkan sistem bantuan pemanduan BYD God’s Eye, serta Tesla yang memperluaskan sistem Full Self-Driving (FSD) mereka.
Sebelum ini, pasaran pemanduan autonomi di China lebih didominasi oleh Huawei dan XPeng, tetapi kini persaingan semakin sengit dengan lebih banyak jenama mula memperkenalkan teknologi masing-masing yang menyerlahkan pelbagai ciri menarik.
Baca: Huawei Bakal Keluarkan Pengecas EV Guna Robot Secara Besar-Besaran
Baca: Ciri 'Mata Tuhan' Didatangkan Standard Pada Semua Model BYD
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv