- Berita
- Gaya Hidup
- Rumah Terbuka: Pemilik Proton e.MAS 7 Timba Ilmu Ekosistem EV
Anak syarikat pembuat kereta nasional PROTON, PRO-NET mengadakan rumah terbuka bersama pemilik Proton e.MAS 7 di seluruh negara, baru-baru ini.
Sebagai perjumpaan kali kedua untuk para pemilik e.MAS 7 tahun ini, majlis tersebut menjadi peluang istimewa untuk beramah mesra dalam suasana perayaan, berkongsi kisah, serta membincangkan masa depan mobiliti lestari secara bersama.
Di sebalik kemeriahan sambutan Hari Raya, acara ini turut menjadi platform perbincangan terbuka antara pemilik, wakil PRO-NET dan pakar teknologi.
Para tetamu diberi peluang untuk berkongsi maklum balas mengenai produk, ekosistem, serta ciri-ciri yang diharapkan pada kemas kini akan datang untuk memastikan Proton e.MAS 7 terus berkembang seiring dengan keperluan pengguna.
Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang berkata, sambutan ini bukan sekadar satu sambutan perayaan, malah ia adalah simbolik tentang penghargaan dan penyatuan.
“Proton e.MAS 7 tidak mungkin mencapai kedudukan Nombor 1 tanpa sokongan daripada pemilik e.MAS 7 ini. Anda semua adalah nadi kepada komuniti yang semakin berkembang ini,” katanya.
Sambutan ini turut memberi pelanggan gambaran lebih dekat tentang pelan Over-The-Air (OTA) PRO-NET untuk Proton e.MAS 7, termasuk kemas kini dan penambahbaikan ciri-ciri yang akan datang.
Antaranya ialah kawalan pengecasan yang lebih mudah melalui skrin sentuh dan aplikasi mudah alih, keselesaan pemanduan yang dipertingkatkan melalui penalaan ABS, serta penambahbaikan pada fungsi pra-pemanasan bateri dan kemas kini lokasi semasa kenderaan berada dalam mod pegun.
Satu lagi ciri baharu membolehkan perjalanan berjadual menjadi lebih lancar dengan fungsi buka kunci automatik sebaik sahaja bateri selesai dicas.
Pelanggan turut didedahkan dengan tip penjagaan bateri yang penting bagi kedua-dua jenis bateri LFP dan NMC, bagi membantu mereka memanjangkan jangka hayat dan prestasi bateri.
PRO-NET juga menekankan perkembangan ekosistem EV yang semakin meluas dengan lebih 2,300 poin pengecasan awam kini tersedia di seluruh negara—meliputi 90% kawasan di Malaysia.
Setakat suku pertama 2025, lebih 1,853 unit telah diserahkan pada Suku Pertama 2025 dan pegangan pasaran (YTD) mencecah 26%, Proton e.MAS 7 kekal sebagai EV paling laris di Malaysia.
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Biarpun syarikat Utusan Melayu, tempat saya bekerja sudah ditutup namun semangat juang sebagai wartawan tetap mekar dalam sanubari